Rabu, 2 November 2016 | 12:07am
PENSYARAH Kesusasteraan dan Ombudsman USM, Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
PENSYARAH Kesusasteraan dan Ombudsman USM, Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
PENSYARAH Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Emeritus Dr Hashim Musa. - Foto Shiraz Ali
PENSYARAH Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Emeritus Dr Hashim Musa. - Foto Shiraz Ali

Tokok tambah punca polemik Hang Tuah

ILUSTRASI Alfonso de Albuquerque yang mencatat mengenai kewujudan dan keperibadian Hang Tuah sehingga dilantik sebagai laksamana Melaka pada 1774. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
ILUSTRASI Alfonso de Albuquerque yang mencatat mengenai kewujudan dan keperibadian Hang Tuah sehingga dilantik sebagai laksamana Melaka pada 1774. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee

TOKOK tambah dalam karya agung Melayu menyebabkan percanggahan fakta sehingga menimbulkan keraguan menjadi punca polemik Hang Tuah yang tidak berkesudahan.

Sejarawan, Abdul Rahman Ismail, berkata keraguan disebabkan tokok tambah demi memadatkan lagi jalan cerita juga mengubah persepsi masyarakat sehingga kurang percaya sumber tempatan.

"Seperti dalam karya agung Hikayat Hang Tuah contohnya, terdapat unsur faktual atau berdasarkan kenyataan tetapi ia tidak menyeluruh.

"Sebenarnya Hang Tuah ialah manusia biasa tetapi mempunyai kelebihan yang luar biasa sehingga diangkat martabatnya menjadi Laksamana Melaka sebelum berlaku serangan Portugis pada 1509.

"Nama Hang Tuah pula ialah gelaran bagi tokoh itu, manakala laksamana menjadi panggilan masyarakat dahulu terhadap seseorang yang dianugerahkan pangkat oleh sultan atau raja di sesebuah negeri sebagai tanda penghargaan," katanya pada Seminar Hang Tuah dalam Wacana Mutakhir di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini.

Yang turut hadir Pensyarah Kesusasteraan dan Ombudsman USM, Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar dan Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Emeritus Dr Hashim Musa.

Pada wacana itu juga, ketiga-tiga tokoh bersepakat mengakui wira bangsa itu bukan kisah dongeng atau mitos rekaan semata-mata, sekali gus memperaku kebenaran kewujudan pahlawan yang berkhidmat di bawah kuasa empat Sultan Melaka bermula 1446.

Sementara itu, Hashim berkata, kewujudan Hang Tuah dibuktikan melalui sumber data primer yang disokong data sekunder, sekali gus menafikan dakwaan pihak yang mempertikaikan kewujudannya.

Katanya, rekod rasmi kerajaan Ryukyu (Okinawa) mengandungi catatan bertulis oleh Hang Tuah pada abad ke-15 dan catatan Alfonso de Albuquerque pada 1774, sekali gus diterima dengan sokongan kuat oleh data sekunder penemuan keris berluk sembilan tanpa hulu dan sarung di Pusat Arkeologi Okinawa.

Keris berluk sembilan

"Penyelidikan terhadap keris berluk sembilan yang ditemui di pekarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu berhampiran Istana Shuriji itu membuktikan Melaka dan Ryukyu mempunyai hubungan kukuh.

"Rekod rasmi Ryukyu yang diterjemahkan kepada bahasa Inggeris mengandungi 19 surat daripada Ryukyu kepada Melaka dan 11 surat daripada kerajaan Melaka berkaitan secara langsung dengan Laksamana Hang Tuah.

"Perkara sama turut terkandung dalam catatan Alfonso de Albuquerque yang menceritakan sifat dan keperibadian Hang Tuah sehingga dilantik sebagai Laksamana Melaka," katanya.

Mengenai dakwaan nama Tuah tidak wujud sekitar zaman wira Melayu yang hidup antara tahun 1431 sehingga 1511 sebelum kedatangan Portugis di Melaka, Hashim berkata perkataan tuah sudah wujud dalam kamus bahasa Maori keluarga Melayu Polinesia sejak 2,000 tahun lalu.

"Perkataan petuah pula wujud di dalam manuskrip Rencong sebelum munculnya skrip jawi di kalangan masyarakat Rejang di Sumatera, yang membawa maksud penanda tuah," katanya.

Pandangan itu disokong Md Salleh yang menegaskan, bukti kesahihannya terdapat dalam karya Sulalatus Salatin yang mencatatkan kepahlawanan Hang Tuah, selain memetik kajian sarjana Australia, Prof John Miksie dalam laman Berita Harian Singapura yang membenarkan kewujudan tokoh berkenaan berdasarkan surat bertulis yang dikirim kepada pemerintah Jepun.

"Kedudukan Hang Tuah dalam peradaban Melayu sentiasa tersemat, selain ia adalah ikon keunggulan yang sering mendapat perhatian bukan saja di negara ini, bahkan seluruh pelusuk benua yang mengagumi sifat ketaatan, kepahlawanan dan kebijaksanaan," katanya.

Seminar anjuran Kelab Sejarah dan Sastera USM itu, dihadiri kira-kira lebih 50 pelajar, sekali gus memberikan pendedahan dalam menjana pemikiran lebih progresif  mengenai pengenalan Hang Tuah.

Berita Harian X