Selasa, 1 November 2016 | 12:01am

Kaka kaji filem hidupkan watak pelacur dalam Interchange

APABILA penyanyi yang terkenal dengan sifat manja dan lembut, Kaka Azraff, membuat pengakuan beliau bakal muncul sebagai pelacur dalam filem Interchange, tentu saja ramai peminat yang tergamam mendengarnya.

Namun itulah hakikatnya apabila penyanyi ini mengesahkan pembabitannya dalam naskhah terbaharu arahan Dain Said, yang bakal menemui penonton pada Disember nanti.

Dalam filem terbabit, beliau ditampilkan dalam babak yang turut membabitkan pelakon terkenal Indonesia, Nicholas Saputra.

Menurutnya, walaupun sekadar penampilan istimewa, pengalaman ditimba ketika menjayakan filem berkenaan cukup berharga buat dirinya.

"Saya sendiri terkejut apabila ditawarkan berlakon dalam filem ini. Saya lebih dikenali sebagai penyanyi. Justeru apabila ditawarkan berlakon watak Melur dalam filem ini, di bawah arahan sutradara hebat seperti Dain dan berlakon pula bersama-sama Nicholas, sudah tentu saya teruja walaupun sekadar satu babak," katanya.

PENYANYI, Kaka. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PENYANYI, Kaka. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Ditemui pada majlis Konsert Amal AirAsia dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) di Kuala Lumpur, Ahad lalu, pemilik nama penuh Nor Atiqa Noor Azraff ini berkata, bukanlah mudah untuknya menjayakan watak seorang pekerja seks, apatah lagi gandingannya bagi babak berkenaan ialah aktor pujaan ramai. Sudah tentu segala faktor itu membuatkannya dilanda kebimbangan.

"Dain seorang yang sangat serius ketika bekerja, tetapi yang seronoknya beliau tidak menyekat kreativiti saya dalam membawakan watak berkenaan. Beliau hanya memberikan penerangan mengenai watak itu, selebihnya terserah kepada saya untuk menghidupkannya.

"Saya selesa dengan caranya bekerja di lokasi dan saya juga tidak berasa tertekan dengan amanah yang diletakkan di bahu ini. Ia sudah semestinya mencabar, namun pada masa sama memberikan pengalaman yang amat bagus.

"Nicholas juga banyak membantu ketika di lokasi, manakala produksi mereka pula sangat profesional dan bertaraf antarabangsa," katanya.

Akui anak saudara kepada Ratu Rock, Ella ini, beliau banyak menonton filem bagi mendapatkan ilham untuk menjayakan watak berkenaan.

KAKA akan memegang watak Melur dalam filem Interchange. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KAKA akan memegang watak Melur dalam filem Interchange. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Kebetulan, saya sendiri suka menonton filem sejak dari kecil. Jadi, saya mengumpul segala input yang diperoleh menerusi tontonan filem untuk digunakan ketika di lokasi.

"Filem seperti Coyote Ugly sebenarnya turut membantu saya dalam menghidupkan karakter terbabit. Maklumlah, watak pelacur itu memerlukan saya melakukan babak menggoda. Saya juga kena pegang rokok. Apabila difikirkan balik, takut juga jika ada yang tidak gemar saya bawa watak sebegitu.

"Namun buat masa ini, saya tak nak fikir dulu soal itu. Saya kena keluar dari zon selesa, sekali gus mencabar diri sendiri dengan membawakan watak sedemikian," katanya yang pernah muncul dalam drama bersiri Dunia Generasi Baru.

Awal tahun ini, lagu Bukan Hal Aku berjaya membawa Kaka ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30, bersaing bersama 11 karya lain. Sebagai bakat baharu, berjaya ke pentas AJL menjadi kejayaan cukup besar dan penuh bermakna buatnya.

Justeru, apakah single terbaharunya, Terima Kasih, mampu mengulangi kejayaan sama buat penyanyi ini?

KAKA membuat persembahan pada majlis Konsert Amal AirAsia dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) di Kuala Lumpur, Ahad lalu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KAKA membuat persembahan pada majlis Konsert Amal AirAsia dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) di Kuala Lumpur, Ahad lalu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Menjawab pertanyaan itu, gadis ranggi ini enggan terlalu memikirkan soal berkenaan. Jelas Kaka, misinya terhadap lagu itu lebih besar daripada sekadar berjaya ke pentas pertandingan.

"Sejujurnya saya enggan terlalu memberikan tekanan pada diri semata-mata kerana mahukan lagu ini berjaya seperti Bukan Hal Aku. Saya lebih menaruh harapan terhadap lagu ini dari segi mesej yang cuba disampaikan di dalamnya. Kemenangan dalam pertandingan bukanlah objektif utama saya.

"Bagi saya, mesej lagu ini sangat mendalam dan penuh makna. Kalau pendengar boleh memahami mesej disampaikan, ia sudah menjadi satu kejayaan buat saya," tuturnya.

Selepas memikat hati peminat dengan beberapa lagu termasuk kolaborasinya dengan Zizan Razak menerusi Bawa Daku Pergi, Kaka berkata, sudah tiba masanya untuk beliau muncul bersama album solo.

"Sekarang, saya sedang dalam proses merakamkan lagu. Ada tiga lagu baharu disediakan, termasuk sebuah karya duet bersama seorang penyanyi lelaki. Siapakah dia? Itu kena tunggu," ujarnya berahsia.

Berita Harian X