Ahad, 23 Oktober 2016 | 12:02am
SELADANG betina paling berusia di pusat konservasi diberi nama Novi.
SELADANG betina paling berusia di pusat konservasi diberi nama Novi.

Seladang kian pupus di Malaysia

BEKAS Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (kanan) ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi
BEKAS Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (kanan) ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

SEKITAR 10 atau 20 tahun lalu, pelancong yang berkunjung ke Malaysia, mudah bertemu seladang kerana haiwan bovin besar dan berkulit gelap seakan-akan berminyak ini hidup liar di habitatnya dalam hutan hujan tropika Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Kini, seladang semakin pupus, gara-gara pemburuan tidak terkawal, hanya sebilangan kecil ditempatkan di hutan simpan atau zoo untuk tatapan umum, sekali gus dianggap antara haiwan warisan negara.

Kewujudan Pusat Konservasi Hidupan Liar (Seladang) di Jenderak Selatan, Jenderak, Pahang berperanan meningkatkan populasi seladang yang terancam dan hampir pupus ini dengan menjalankan pembiakan dalam kurungan.

Pusat konservasi seladang di Jenderak Selatan, kira-kira 25 kilometer (km) dari bandar Temerloh, tidak dibuka kepada orang awam mahupun pelancong untuk sebarang tujuan.

BEKAS Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (kanan) ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi
BEKAS Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (kanan) ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

Penulis bersama jurugambar dan wakil dari Taman Negara Kuala Tahan, baru-baru ini diberi peluang hampir sejam untuk menerokai ladang pembiakan dan melihat sendiri habibat sebenar seladang.

Setiap hari semua seladang di pusat konservasi ini diberi makan daun mengkirai dan rumput napier sebanyak 750 kilogram (kg) setiap satu, selain 150 kg dedak untuk memastikan tumbesaran dan tahap kesihatan seladang yang dikategorikan daripada spesies lembu liar terbesar ini, berada pada tahap terbaik serta mampu membiak dengan sihat.

Seladang betina paling kecil di ladang ini berusia kira-kira dua minggu dan diberi nama Dahvy. Warna kulitnya keperang-perangan.

Tumpuan untuk pembiakan, kajian

Warna kulit seladang bertukar menjadi hitam berkilat seperti diselaputi minyak ketika usianya memasuki empat bulan. Kulitnya mengeluarkan sejenis minyak sebagai perlindungan daripada serangan serangga. Hidungnya pula sentiasa berair. Sekiranya hidung seladang kering, bermakna ia tidak sihat.

Pegawai Hidupan Liar, Muhammad Idham Sahiron berkata, tugas utama atau objektif pusat konservasi seladang ialah membiak spesies berkenaan supaya tidak pupus, sekali gus memastikan 'warisan' negara sepertinya membuka lebih banyak peluang terutama industri pelancongan safari di Malaysia mampu berdaya saing di peringkat global.

"Apabila sudah cukup matang dan mampu berdikari, kami melakukan proses pelepasan ke rizab hidupan liar seperti di Krau dan Kompleks Taman Negara di Tasik Kenyir.

"Sebahagian lagi dihantar ke pusat pameran seperti Zoo Melaka dan Zoo Negara. Pusat memang tidak dibuka kepada orang awam kerana kami fokus kepada pembiakan dan kajian saja.

"Kami harap, seladang yang dihantar ke pusat pameran tetap, mampu memenuhi permintaan sektor pelancongan, sekali gus menimbulkan kesedaran awam mengenai keperluan dan kepentingan pemuliharaan hidupan liar serta habitatnya," kata Muhammad Idham.

FAKTA NOMBOR:

* 32 ekor - bilangan seladang di Jenderak Selatan

* 15 hektar - keluasan pusat konservasi

* 1.5 tan - jumlah makanan sehari semua seladang

* 18 - 20 tahun - jangka hayat seekor seladang

INFO:

* Pemeliharaan seladang atau nama saintifiknya, bos gaurus secara tersusun di Jenderak Selatan dianggap penjagaan 'warisan' negara kerana bilangannya semakin pupus.

* Seladang di Jenderak Selatan adalah daripada spesies bos gaurus hubbacki yang hidup liar di Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.

* Faktor membezakan seladang jantan atau betina adalah berdasarkan tanduk yang melebar, saiz badan besar dan berat sekitar satu tan bagi seladang jantan, manakala tanduk menguncup ke dalam, badan yang kecil sedikit serta beratnya kira-kira 700 kilogram (kg) bagi seladang betina.

* Di Pusat Konservasi Seladang Jenderak Selatan ada seekor seladang betina berusia 25 tahun dan diberi nama Novi.

Berita Harian X