Sabtu, 15 Oktober 2016 | 12:13am
ENOT sangat rindu untuk berlakon. - Foto Adi Safri
ENOT sangat rindu untuk berlakon. - Foto Adi Safri
ENOT menjalankan perniagaan di pejabat kerajaan sekitar Putrajaya pada waktu tengah hari. - Foto Adi Safri
ENOT menjalankan perniagaan di pejabat kerajaan sekitar Putrajaya pada waktu tengah hari. - Foto Adi Safri
ENOT melayan pelanggan di pejabat kerajaan sekitar Putrajaya pada waktu tengah hari. - Foto Adi Safri
ENOT melayan pelanggan di pejabat kerajaan sekitar Putrajaya pada waktu tengah hari. - Foto Adi Safri

Digelar artis 'sendu', dua tahun Enot tak berlakon


ARTIS pelbagai bakat, Enot, 38, mengaku dirinya terasa hati apabila ada sesetengah pihak yang menyifatkan beliau sebagai pelakon yang sudah tidak mempunyai harga dalam dunia hiburan tempatan.

Ekoran tanggapan berkenaan, Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah, semakin kurang menerima tawaran menjayakan program televisyen. Jika ada undangan dihulurkan sekalipun, harga yang diberikan kepadanya amat rendah, seolah-olah beliau tidak lagi bernilai.

"Jujurnya, saya sangat rindu untuk berlakon. Bagaimanapun, jika diikutkan, sudah dua tahun saya tidak masuk ke set penggambaran.

"Begitupun, apa yang boleh dilakukan? Mungkin dek lambakan pelakon baharu, yang lama dibiarkan. Kalau ada sekalipun tawaran yang diberikan, harganya jauh lebih rendah. Daripada buat kerja secara tak ikhlas, lebih baik saya tolak.

"Memang saya terasa hati apabila ada yang berkata, saya pelakon yang tiada gred. Sedangkan, saya seorang yang sangat berdisiplin dalam kerjaya," katanya meluahkan perasaan.

ARTIS pelbagai bakat, Enot. - Foto Adi Safri
ARTIS pelbagai bakat, Enot. - Foto Adi Safri

Begitupun tambah Enot, beliau percaya rezeki akan berpihak kepadanya selagi beliau berusaha untuk bekerja.

Menurut wanita yang pernah berdepan kanser usus, sejak tahap kesihatannya lebih baik, beliau mengambil pendekatan untuk berfikiran positif. Beliau tidak lagi mahu berada dalam suasana yang memaksanya memikirkan masalah.

Justeru, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Mat Despatch sekitar 1998 itu memulakan perniagaan menjual makanan Melayu dan Barat.

"Banyak perkara yang saya belajar ketika jatuh sakit. Apabila sakit, kita mengharapkan orang yang berada di sekeliling kita datang. Namun, sangkaan itu meleset.

"Orang kata saya menipu kononnya ditimpa sakit yang teruk. Sedangkan, anak-anak yang menjadi saksi. Biarlah apa orang nak cakap apa pun, paling penting saya harus bangkit demi anak-anak.

ENOT atau nama sebenarnya Alliza Abdullah. - Foto Adi Safri
ENOT atau nama sebenarnya Alliza Abdullah. - Foto Adi Safri

"Saya dapat rasa, apabila terlalu kerap berkurung di rumah, ada saja perkara negatif yang difikirkan. Ia berbeza dengan suasana berada di luar dan berniaga kerana ketika itu, semangat kita semakin membara," katanya.

Menggunakan kemahirannya memasak, Enot berjinak-jinak dalam perniagaan sejak 2009 secara kecil-kecilan menerusi penerimaan tempahan.

Kini, beliau memberikan fokus kepada jualan sambal bilis petai cili api, lasagna daging, biskut, kek dan beberapa jenis makanan lain di pejabat kerajaan sekitar Putrajaya pada waktu tengah hari.

Sementara itu, Enot memberitahu, memandangkan sudah biasa dengan perniagaan kecil-kecilannya itu, beliau tetap membawa makanan yang diniagakan ketika bercuti bersama keluarga. Dengan cara itu, beliau masih boleh membuka perniagaannya di lokasi bersesuaian.

"Contohnya, kalau mahu ke Taiping, saya akan berhenti di tasik dan buka but kereta untuk menjual makanan yang sudah pun siap dibungkus di rumah. Kemudian, apabila semua makanan sudah habis dijual, barulah kami boleh berjalan-jalan. Tidak kisah ke mana saja kami pergi, saya akan buka but kereta dan berniaga terlebih dulu sebelum bersuka-ria.

"Dengan cara ini juga, saya dapat mendekatkan diri dengan peminat di luar ibu kota," katanya.

Berita Harian X