Isnin, 10 Oktober 2016 | 12:06am

Kaji ilmu perkasihan Melayu

DR Harun Mat Piah.
DR Harun Mat Piah.

TEKS sastera termasuk manuskrip Melayu menyimpan khazanah ilmu tinggi, tetapi ratusan manuskrip Melayu termasuk di luar negara, masih belum dilakukan kajian mendalam sehingga tidak dapat dimanfaatkan masyarakat hari ini.

Ikuti pandangan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang juga pengkaji teks sastera klasik Dr Harun Mat Piah yang ditemubual wartawan Sastera & Budaya, Siti Haliza Yusop.

Soalan: Kita kaya khazanah ilmu dalam manuskrip Melayu tetapi mengapa masih terlalu sedikit transliterasi oleh pengkaji supaya dapat dibaca dan dimanfaatkan masyarakat.

Jawapan: Kajian manuskrip tradisional mengambil masa lama dan saya sendiri memerlukan sehingga tiga bulan untuk memahami manuskrip setebal 300 halaman, tetapi itu belum termasuk masa untuk mengkaji manuskrip lain yang mempunyai hubungan dengan kajian berkenaan. Kerja memahami teks dan melakukan transliterasi daripada jawi ke rumi pula hanya boleh dilakukan ahli filologi sedangkan tidak ramai terdidik dalam disiplin itu, manakala jumlah pengkaji pada masa kini sangat sedikit, iaitu sekitar 10 orang yang masih aktif.

Setiap transliterasi memberi cabaran tersendiri. Ada ketikanya manuskrip yang disalin mempunyai teks konsisten dari awal sehingga akhir halaman, namun ada terlalu dahsyat kerana bukan sahaja tulisan penyalin sendiri tidak memungkinkannya untuk dibaca, bahkan usia manuskrip mencecah ratusan tahun walaupun usaha memuliharanya sudah dilakukan sama ada oleh perpustakaan atau muzium.

Transliterasi manuskrip lama perlu dilakukan dengan penuh wibawa, disiplin dan kesabaran tinggi malah saya sendiri pernah mengambil dua hingga tiga hari untuk menentukan huruf yang dieja dengan lam, nga, dal dan ya yang rupanya membawa maksud lenggundi, iaitu sejenis herba pahit dan banyak digunakan dalam rawatan perubatan. Masalah transliterasi adalah apabila kita tidak tahu makna sesuatu perkataan dan tidak dijumpai dalam kamus, kita perlu membaca kitab lain kerana ia tidak boleh diagak daripada segi konteks saja.

Malah pengkaji tidak boleh melakukan secara bersendirian tetapi perlu membabitkan kerjasama dengan pihak lain, termasuk 'illustrator' untuk melukis rajah dengan tulisan Arab dan angka, pakar dalam ilmu dalam Al-Quran dan hadis kerana kebanyakan manuskrip tradisional mengandungi doa dalam bahasa Arab tetapi tidak semestinya menggunakan ayat Al-Quran. Jika kajian bahan lain boleh dilakukan di pejabat atau di hadapan komputer, ia sangat berbeza dengan kajian manuskrip kerana pengkaji perlu berulang-alik ke perpustakaan setiap hari.

Kebanyakan penerbit juga tidak mempunyai keghairahan untuk menerbitkan transliterasi manuskrip kerana tidak ramai yang membacanya sedangkan kandungan ilmu yang dibawa begitu besar. Bagaimanapun, berdasarkan transliterasi yang saya lakukan misalnya Kitab Tib Perubatan Melayu dan Manuskrip MSS 2515, saya lihat maklumat yang didedahkan kepada masyarakat mula mendapat perhatian. Masyarakat juga sebenarnya sedar akan nilai ilmu dalam naskhah ini tetapi disebabkan tidak memahami tulisan jawi lama yang digunakan, khazanahnya tidak dapat dinikmati.

S:Kitab Tib bukan sahaja mengenai ilmu perubatan malah meliputi ilmu ramalan mengenai astrologi dan astronomi. Namun mengapa antara cabang ilmu perubatan, iaitu seksologi atau ilmu perkasihan tidak diketengahkan?

J: Persoalan mengenai babul jimak atau kita panggil ilmu perkasihan ini memang terdapat dalam Kitab Tib tetapi tidak terkumpul dalam satu manuskrip sebaliknya bercampur aduk.

Berbanding tanggapan ramai, ilmu perkasihan sebenarnya tidak hanya mengandungi bab berkaitan wati atau jimak seperti perlakuan dan posisi tetapi lebih menyeluruh mencakupi petua dan pantang-larang pemakanan, awet muda, penyakit sakit tuan serta puan, cara menggoda suami dan isteri, ubat, rawatan, riadah serta bacaan doa.

Ilmu perkasihan yang juga khazanah ilmu dalam naskhah Melayu tradisional ini masih belum dikaji secara ilmiah sepenuhnya tetapi meskipun dianggap tabu dalam masyarakat, ada banyak buku di pasaran yang menyentuh aspek itu tetapi saya dapati tidak merujuk kepada kepada manuskrip awal. Tulisan berkenaan mendakwa ia turut mengandungi sunnah Rasulullah sedangkan apabila diteliti ada yang tidak memaparkan maklumat betul.

Ilmu perkasihan yang terkandung dalam Kitab Tib ini turut merujuk dua kitab terdahulu, iaitu Bustan al-Salatin oleh Sheikh Nuruddin al-Raniri dan al-Tibb al-Nabawiyy (Ibnu al-Qayyim) yang mencatatkan amalan yang menjadi sunnah Rasulullah membabitkan hal itu.

Disebabkan manfaat ilmu yang wujud ratusan tahun dulu dalam tradisi ilmu warisan Melayu, saya kini dalam usaha mengumpul dan mentransliterasi ilmu perkasihan yang terdapat dalam pelbagai sumber termasuk Kitab Tib, Tajul Muluk dan Mujarabat. Usaha ini sudah bermula sejak awal tahun ini dan dijangka selesai pada 2018 dan diterbitkan oleh PNM. Naskhah ini apabila diterbitkan nanti bukan sahaja memaparkan hukum sunat, harus, makruh dan haram yang dibenarkan Islam berkaitan aspek wati, bahkan menggabungkan khazanah ilmu masyarakat Melayu yang begitu berharga.

S:Apakah saranan Dr bagi memastikan gagasan ilmu dalam manuskrip tradisional ini tidak berkubur?

J: Jumlah pengkaji dalam bidang filologi masih sangat sedikit, malah institusi yang mengadakan kursus berkaitan pembacaan teks sastera tradisional dan klasik sudah tidak begitu banyak sejak 10 tahun kebelakangan ini. Ini berbeza ketika saya mengajar sebelum ini yang saya sendiri membawa pelajar meneliti manuskrip lama sehinggalah ia boleh ditransliterasi ke rumi. Usaha ini sebenarnya tidak boleh dikerjakan pengkaji secara bersendirian sebaiknya perlu didukung oleh semua pihak.

Bagaimanapun, saya melihat perkembangan positif misalnya melalui kerjasama saya dan rakan, Dr Abdul Ghani Hussain dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi mengenal pasti tumbuhan yang digunakan untuk perubatan di Semenanjung Malaysia seperti dirujuk manuskrip daripada Muzium Terengganu. Ini kaedah yang sangat baik dalam memelihara penemuan daripada khazanah ilmu yang terdapat dalam teks tradisional, apatah lagi ia kajian serius mengenai kitab perubatan berbanding kajian awal sebelum ini yang hanya membabitkan kajian sosiologi. Ia dinilai secara saintifik dan saya sendiri melihat bagaimana kagumnya saintis dengan penemuan ilmu perubatan masyarakat tradisional Melayu 400 tahun lalu.

Selain itu, kami juga kini merencanakan penubuhan Persatuan Filologi Malaysia hasil daripada resolusi Seminar Antarabangsa Manuskrip Melayu 2014. Persatuan ini akan mengumpulkan sarjana bidang filologi dan pengkaji manuskrip bagi membolehkan lebih banyak kajian mengenai manuskrip lama ini dilakukan. Ia diharap dapat memperbanyakkan pengkajian dan penelitian manuskrip serta diterbitkan untuk disebarkan kepada masyarakat.

Berita Harian X