Rabu, 28 September 2016 | 12:12am
ANGGOTA bomba membawa keluar mayat mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik dari sungai di Kampung Mangkalinau, Sandakan. Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba membawa keluar mayat mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik dari sungai di Kampung Mangkalinau, Sandakan. Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba memadamkan sisa kebakaran yang melibatkan beberapa buah rumah setinggan di Kampung Linsuk, Putatan. Pada kejadian itu seorang pegawai bomba, Rudy Mekii, cedera selepas terpijak kabel elektrik ketika memadam kebakaran. - Foto Mohd Adam Arinin.

Kecurian elektrik sudah ragut 18 nyawa di Sabah

SANDAKAN: Kegiatan penyambungan elektrik secara haram di Sabah, menyebabkan sekurang-kurangnya 18 mangsa, maut akibat renjatan, dalam tempoh lima tahun sejak 2011.

Ia membabitkan dua kes pada 2011, 2012 dan 2014; empat kematian pada 2013 dan 2015, manakala setakat Ogos tahun ini, sudah lima mangsa maut akibat perbuatan itu.

Angka kematian itu termasuk seorang anggota bomba, Apolos Jeremos, 25, yang terkena renjatan ketika memadam kebakaran belukar di Taman Kenari, Batu 7 di sini, tahun lalu.

Dalam kejadian terbaharu, pegawai bomba, Rudy Mekii, cedera selepas terpijak kabel elektrik ketika memadam kebakaran rumah setinggan di Kampung Linsuk Baru dekat Putatan pada 5 Julai lalu.

ANGGOTA bomba membawa keluar mayat mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik dari sungai di Kampung Mangkalinau, Sandakan. - Foto Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba membawa keluar mayat mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik dari sungai di Kampung Mangkalinau, Sandakan. - Foto Ihsan JBPM

Tiada SOP tetap

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Zuraidah Latip, berkata tiada prosedur operasi standard (SOP) tetap diwujudkan kepada anggota bomba berkaitan kes kebakaran yang berpunca daripada penyambungan elektrik secara haram.

Bagaimanapun, katanya, susulan kejadian yang menimpa anggotanya, pendekatan baharu diambil JBPM dengan tidak membenarkan pasukan penyelamat memasuki kawasan berisiko kecuali dipastikan tiada bahaya yang boleh mengundang kematian atau kecederaan.

"JBPM tetap respon kepada kes berkaitan sama ada kebakaran atau kemalangan jiwa akibat penyambungan haram, cuma kami kini lebih berwaspada dengan memastikan terlebih dulu kawasan terbabit tiada risiko kepada anggota bertugas.

"Kes meragut nyawa anggota bomba tahun lalu memberi pengajaran dan kesedaran kepada kami agar sentiasa berwaspada ketika menghadiri panggilan kecemasan," katanya kepada BH.

ANGGOTA bomba memadamkan sisa kebakaran yang melibatkan beberapa buah rumah setinggan di Kampung Linsuk, Putatan - Foto Mohd Adam Arinin
ANGGOTA bomba memadamkan sisa kebakaran yang melibatkan beberapa buah rumah setinggan di Kampung Linsuk, Putatan - Foto Mohd Adam Arinin

Risiko kepada anggota penyelamat

Zuraidah mengakui anggota bomba sentiasa berdepan risiko keselamatan ketika melakukan tugas, namun kecuaian, kelalaian dan sikap tidak bertanggungjawab penduduk setinggan yang melakukan penyambungan haram adalah tidak wajar.

Katanya, risiko daripada aktiviti penyambungan elektrik bukan saja kepada penduduk sekitar, malah pasukan penyelamat yang bertarung nyawa terutama anggota bomba ketika melakukan operasi pemadaman.

"Penyambungan elektrik secara haram di kawasan setinggan adalah tidak selamat. Ia mengundang pelbagai risiko lain seperti kebakaran, renjatan elektrik, kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda," katanya.

KABEL penyambungan haram di kawasan setinggan Kampung Lupak Meluas Darat, di Batu Sapi, Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KABEL penyambungan haram di kawasan setinggan Kampung Lupak Meluas Darat, di Batu Sapi, Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Setinggan curi elektrik

Sementara itu, Kampung Lupak Meluas Darat dekat Batu Sapi di sini, adalah antara penempatan di Sabah yang berdepan isu penyambungan elektrik secara haram.

Daripada 500 rumah di situ, hanya 200 terletak atas tanah kerajaan negeri, selebihnya adalah kediaman setinggan yang dibina secara haram atas tanah persendirian.

Walaupun wujud sejak 20 tahun lalu, penduduk perkampungan itu hanya mendapat bekalan elektrik tahun lalu susulan inisiatif Suruhanjaya Tenaga (ST) menggalakkan pemasangan elektrik dengan menyediakan prosedur lebih mudah dan pada kadar murah.

Dilema yang kini masih menghantui penduduk kawasan berkenaan adalah penempatan sekelilingnya yang bergantung kepada penyambungan elektrik secara haram, sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai bahaya terutama renjatan elektrik dan kebakaran.

ANGGOTA SESB merampas wayar yang disambung secara haram oleh penduduk setinggan di perkampungan atas air di Sandakan. : Foto: IHSAN SURUHANJAYA TENAGA
ANGGOTA SESB merampas wayar yang disambung secara haram oleh penduduk setinggan di perkampungan atas air di Sandakan. : Foto: IHSAN SURUHANJAYA TENAGA

Pemasangan meter baharu masih berjalan

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lupak Meluas Darat, Mansor Aukasa, berkata hanya 200 rumah membabitkan lebih 1,000 penduduk di kawasan itu yang mampu mendapat bekalan elektrik.

"Di kawasan kiri dan kanan kami adalah penempatan setinggan yang melakukan penyambungan elektrik secara haram.

"Memang kami sedar bahaya sebab beberapa kali berlaku percikan elektrik pada talian SESB akibat penyambungan haram. Bimbang juga boleh mengundang kebakaran besar sebab di sini rumah dibina terlalu rapat," katanya kepada ditemui BH.

KABEL penyambungan haram di kawasan setinggan Kampung Lupak Meluas Darat, di Batu Sapi, Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KABEL penyambungan haram di kawasan setinggan Kampung Lupak Meluas Darat, di Batu Sapi, Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Setinggan curi secara pancing kabel

Tinjauan ke kampung itu mendapati proses pemasangan bekalan elektrik menerusi meter masih lagi berjalan.

Selain itu, tinjauan mendapati rumah setinggan di tepi bukit pula melakukan penyambungan elektrik haram dengan 'memancing' kabel ke talian SESB sebelum disambungkan dari rumah ke rumah.

Difahamkan, sejak perkampungan terbabit diwujudkan, dua kebakaran besar berlaku di kawasan berkenaan pada tahun lalu.

INFO: Kebakaran Kampung Lupak Meluas Darat, Batu Sapi

- 4 Okt 2015 - Kebakaran lebih 25 rumah setinggan babitkan 100 penghuni

- 14 Sept 2015 - 30 penghuni empat rumah setinggan musnah kebakaran 

Berita Harian X