Selasa, 27 September 2016 | 12:14am
KABEL penyambungan haram di kawasan setinggan Kampung di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KABEL penyambungan haram di kawasan setinggan Kampung di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KABEL elektrik yang dipasang secara haram oleh penduduk setinggan disembunyikan dalam semak untuk mengelak kabel dirampas ketika operasi. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KABEL elektrik yang dipasang secara haram oleh penduduk setinggan disembunyikan dalam semak untuk mengelak kabel dirampas ketika operasi. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Sambungan elektrik haram setinggan Sabah umpama perangkap maut

SANDAKAN: Umpama perangkap maut! Begitulah keadaan kegiatan penyambungan elektrik secara haram di penempatan setinggan di sini yang cuma menanti masa untuk meragut nyawa sesiapa sahaja.

Pelbagai cara digunakan pihak terbabit untuk mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa termasuk menanam kabel dalam tanah.

gn4id:16289836

Kabel pelbagai saiz yang digunakan juga berselerakan dalam semak dan longkang selepas disambung ke talian bekalan voltan rendah Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk disalurkan ke rumah penduduk.

Kabel digunakan pula membabitkan pelbagai saiz daripada kecil hingga sukar dilihat dan besar seperti batang paip.

Ia digunakan untuk membekalkan elektrik haram kepada sekurang-kurangnya 20 hingga 40 rumah di kawasan setinggan.

KABEL elektrik yang dipasang secara haram oleh penduduk setinggan disembunyikan dalam semak yang boleh mengundang maut. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KABEL elektrik yang dipasang secara haram oleh penduduk setinggan disembunyikan dalam semak yang boleh mengundang maut. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Tinjauan BH ke perkampungan setinggan Mangkalinau, di sini, mendapati penyambungan haram dilakukan penduduk di kawasan berkenaan bukan setakat di tiang bekalan voltan rendah, malah pencawang SESB diceroboh bagi mendapatkan bekalan elektrik secara percuma.

Kampung berkenaan adalah antara 14 kawasan di sini yang dikenal pasti SESB terbabit dalam kegiatan mencuri elektrik dalam skala besar.

Jarak kabel yang disambung pula jauh daripada rumah setinggan melalui longkang atau ditanam dalam tanah, dipercayai untuk menyukarkan pihak penguat kuasa bertindak.

Tinjauan juga mendapati di kawasan itu kebanyakan penyambungan haram dilakukan berhampiran kawasan industri.

gn4id:16289843

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 40-an, mengakui kegiatan itu.

"Dalam batang paip, ada banyak kabel kecil yang disambung ke beberapa rumah lain. Sampai di kawasan perumahan, kabel disambung di bawah jambatan atau menerusi kolong rumah.

"Batang paip digunakan sekadar untuk mengelirukan pihak penguat kuasa sebab sekali pandang, macam saluran bekalan air," katanya sambil mendakwa penduduk di kawasan berkenaan tahu kawasan dipasang kabel dan cuba mengelak menggunakan laluan itu.

Mengakui walaupun beberapa kes renjatan elektrik berlaku di kawasan itu, katanya, mereka tiada pilihan selain melakukan penyambungan secara haram untuk mendapatkan bekalan lantaran penempatan setinggan tidak dibenarkan mendapat kemudahan itu.

KABEL elektrik haram yang disambungkan ke talian SESB. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KABEL elektrik haram yang disambungkan ke talian SESB. - Foto Poliana Ronnie Sidom

 

PENCAWANG elektrik turut diceroboh oleh penduduk setinggan bagi mendapatkan bekalan elektrik secara percuma. - Foto Poliana Ronnie Sidom
PENCAWANG elektrik turut diceroboh oleh penduduk setinggan bagi mendapatkan bekalan elektrik secara percuma. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Kegiatan curi elektrik sukar dikawal

Sebanyak 199 penempatan setinggan membabitkan 16,086 rumah di seluruh Sabah dikesan melakukan penyambungan elektrik secara haram.

Penempatan setinggan tertumpu di lima daerah negeri ini iaitu Kota Kinabalu, Semporna, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau.

Pengarah Kawasan Suruhanjaya Tenaga (ST) Pantai Timur Sabah, Mohd Yusrul Yusof, berkata penyambungan elektrik secara haram oleh penduduk setinggan bukan saja memberi kesan ke atas keselamatan orang awam, malah kepada ekonomi negeri ini.

"Kegiatan ini sukar dikawal selagi wujud setinggan kerana walaupun operasi kerap dilakukan, penduduk akan membuat semula penyambungan kabel sama ada pada hari sama selepas operasi atau dalam tempoh lima hari," katanya kepada BH.

KABEL penyambungan haram di kawasan setinggan Kampung di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KABEL penyambungan haram di kawasan setinggan Kampung di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Mohd Yusrul berkata, modus operandi digunakan penduduk setinggan adalah dengan menyambung kabel ke talian voltan rendah Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sekali gus mendedahkan pelbagai bahaya kepada orang awam, khususnya kanak-kanak.

Katanya, apabila kabel elektrik tidak bersalut penebat dipasang dalam longkang, ia menyebabkan air di sepanjang longkang terbabit mengandungi arus elektrik yang mampu membunuh.

"Kabel yang dipasang di tanah dan dalam semak boleh mendedahkan bahaya kepada orang awam jika terpijak," katanya.

Katanya, sejak tahun 2011 sehingga kini, satu kes kecurian di negeri ini sudah didakwa ke mahkamah, manakala dua lagi masih dalam proses pendakwaan.

KABEL penyambungan haram di kawasan setinggan Kampung di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KABEL penyambungan haram di kawasan setinggan Kampung di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Mohd Yusrul berkata, empat kes lagi dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut, manakala dua kes dalam proses siasatan akhir lanjutan operasi bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) tahun lalu.

Katanya, selain mendakwa pesalah, pelbagai usaha diambil menangani isu ini termasuk meningkatkan operasi penanggalan sambungan haram dengan kerjasama SESB dan ESSCOM.

Mencuri elektrik menyalahi Akta Bekalan Elektrik (Pindaan) 2015 yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan denda RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi kesalahan ulangan.

Kronologi kemalangan elektrik di Kampung Mangkalinau

- 25 Julai 2016 - Remaja lelaki berusia 14 tahun maut terkena renjatan elektrik di bahagian leher selepas tersangkut dengan kabel yang dipasang secara haram.

- 9 Oktober 2015 - Kanak-kanak 12 tahun ditemui maut dipercayai terkena renjatan elektrik.

- 3 Oktober 2013 - Lelaki berusia 30-an ditemui maut dalam semak ketika melakukan penyambungan elektrik haram.

Berita Harian X