Ahad, 25 September 2016 | 12:06am

Roti canai membawa Padil kembara ke luar negara

MOHD Padil menunjukkan kemahiran menebar roti canai.
MOHD Padil menunjukkan kemahiran menebar roti canai.

HANYA dengan menebar roti canai, tapi mampu membawa anak muda ini mencipta nama di luar negara selain menjana pendapatan lumayan.

Itulah tuah dan bakat yang dimiliki oleh Mohd Padil Omar yang memiliki kemahiran tersendiri menebar roti canai.

Jejaka berusia 30 tahun ini mengakui pada mulanya tidak pernah terfikir dengan menebar roti canai boleh membawanya ke luar negara dan berhadapan dengan pemimpin negara.

Padil sebenarnya bukan sekadar menebar roti canai biasa tetapi juga mampu beraksi dengan memutar dan menerbangkan roti canai sebelum menyambutnya kembali.

Katanya, roti canai sudah sebati dengan dirinya kerana sedari usia 10 tahun lagi sudah belajar membuat dan menebar roti canai dengan ayah saudaranya namun hanya pada tahun 2008 beliau mula terbabit secara serius dalam persembahan roti canai.

MOHD Padil bangga dengan kemahiran menebar roti canai.
MOHD Padil bangga dengan kemahiran menebar roti canai.

"Saya mula tertarik dengan persembahan roti canai terbang ini sejak menonton satu video persembahan roti canai. Saya tengok dia boleh melambung, membuat aksi menari sambil memusingkan roti canai.

"Dari situ saya mula terfikir sampai bila nak menjadi penebar roti canai biasa. Saya perlukan perubahan dan sejak itu mula belajar aksi menebar roti canai.

"Saya belajar hanya menerusi video serta bertanya dengan penebar roti canai terbang yang lain melalui Facebook.

"Pada mulanya saya gunakan tepung tapi sebab rasa rugi tepung itu tak boleh digunakan kembali, saya terfikir untuk berlatih menggunakan tuala," katanya.

Berlatih guna tuala

Padli harus kreatif untuk mencari kemahiran menebar roti canai kerana pergelangan tangan mesti 'lembut' tetapi pantas dan kuat.

Beliau menggunakan tuala menggantikan doh roti canai. Setiap hari Padil berlatih memutar dan melambung tuala untuk memberikan kemahiran pergerakan tangannya selain memastikan tuala yang digunakan itu tidak berlipat atau bergulung.

Beliau berlatih sehingga tuala itu tetap kembang dan bila diputar ia terbuka dengan sempurna. Latihannya itu membawa perubahan kepada Padil dari hanya menjadi penebar roti canai biasa kepada penebar profesional.

Dua minggu di luar negara

Katanya, kemahirannya itu mula disedari dan dikenali dalam kalangan penebar roti canai profesional sebelum mereka mengajaknya menyertai pertunjukan di dalam dan luar negara.

"Masa pertama kali dijemput membuat persembahan roti canai terbang, saya bagai tidak percaya ada juga pihak yang menghargai bakat penebar roti canai ini.

"Paling manis adalah saya diberi peluang untuk membuat persembahan di luar negara. Walaupun masih baru dalam dunia persembahan roti canai terbang tapi saya sudah pergi empat negara seperti Australia dan China.

"Paling banyak adalah ke Australia, saya membuat persembahan di beberapa tempat di sana. Setiap kali pergi saya akan tinggal selama dua minggu atau lebih. Selain membuat persembahan saya juga menyajikan roti canai," katanya.

Gementar di hadapan VIP

Anak muda ini berbangga kerana kemahirannya dihargai selain berpeluang menaikkan nama negara di luar, walaupun hanya sebagai penebar roti canai.

Masyarakat di luar negara sangat menghargai bakat dan kemahiran yang dimilikinya, sehinggakan ramai yang menyangkakan roti canai ini berasal dari Malaysia walaupun hakikatnya ia berasal dari India.

"Paling tidak boleh dilupakan saya adalah membuat persembahan roti canai terbang di hadapan Sultan Johor dan beberapa pemimpin negara dalam satu majlis di istana Johor.

"Memang sangat berdebar, risau jika persembahan tidak menjadi apatah lagi di hadapan golongan kenamaan.

"Tapi saya jadikan itu sebagai satu semangat dan pengalaman baru untuk diri," katanya.

Info

- Roti canai dikatakan berasal dari selatan India, dibawa masuk dan diperkenalkan oleh penduduk dari wilayah sana ketika mereka berhijrah ke Malaysia.

- Di India dan Singapura pula, roti canai dikenali sebagai roti pratha.

* Perkataan canai pula dikatakan berasal daripada nama bandar Chennai, India disebabkan ramai yang mahir sebagai pencanai roti berasal dari sana.

- Penggunaan perkataan canai dalam bahasa Melayu adalah hasil dari tingkah laku pencanai roti tersebut dalam meleperkan, menganginkan dan menebar doh roti

- Ada juga menyatakan perkataan canai di belakang roti ini asalnya dari jenis dal yang digunakan bersama roti ini, yakni "Channal"

- Pada versi yang lain, perkataan canai ini datangnya dari nama bandar Chennai, India disebabkan ramai pencanai roti ini kebanyakannya berasal dari sana

- Roti canai di India dan Singapura, ia lebih dikenali sebagai roti pratha. Rupa roti pratha dengan roti canai adalah sama dan bentuknya masih lagi bulat.

Berita Harian X