Ahad, 18 September 2016 | 12:04am

Menjejak Rafflesia Pos Hau

MEREDAH hutan balak dengan jalan tanah merah berdebu, laluan berlopak malah bukan sekali dua kenderaan pacuan empat roda terhenjut-henjut mengharungi selut dan lumpur, hampir terhumban ke jurang serta cerun tinggi sekiranya pemandu hilang fokus, nyata bukan perjalanan biasa.

Setiap kali kenderaan melanggar lopak dan becak, lumpur kering, laluan curam berbatu kerikil serta meranduk sungai dan kepala pula hampir terhantuk pada bumbung dan cermin kereta andainya terlelap walaupun hanya beberapa saat.

Itulah perjalanan menuju ke perkampungan Orang Asli, Kampung Ladoi. Ia memang benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental, lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak biasa dengan aktiviti pengembaraan agak lasak ini.

Selepas melalui jalan tar sejauh 26 kilometer dari bandar Gua Musang ke Kuala Betis, penulis bersama-sama dengan rakan media lain terpaksa bersabar berada dalam kenderaan meredah laluan balak dan belukar untuk masuk dan keluar hutan hampir enam jam.

Walaupun meletihkan, tetapi itulah antara keseronokan penulis ketika dibawa menjejaki bunga yang menjadi buruan seluruh dunia, Rafflesia atau dikenali juga sebagai bunga pakma.

Sukar ditemui

Kampung Ladoi menempatkan kurang sepuluh rumah menjadi persinggahan pertama bagi mengintai spesis Rafflesia kerrii.

Pemandu pelancong, Bukhari Mat atau Bob mengingatkan kami kebarangkalian bunga berkenaan sudah mati dan busuk lantaran tempoh hayat kurang dari seminggu.

"Ada beberapa lagi yang masih bertunas dan belum terbuka kelopaknya di denai yang sama. Kalau bernasib baik akan terserempak yang berukuran sehingga 90 sentimeter," katanya.

Bunga Rafflesia lazimnya memiliki purata diameter sebesar 50 sentimeter (sm) hingga 90 sm, namun yang ditemui penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Mat Dr Kamaruddin Mat Salleh pada April 2004 di tanah rata Lojing tidak jauh dari situ, lebar ukur lilitnya kira-kira 111 sm.

Namun, kata Bob, mereka gagal mengesan kehadiran bunga itu di Lojing, berkemungkinan musimnya sudah berlalu menyebabkan ekspedisi menjejaki bunga yang turut diberi jolokan bunga mayat, dilencongkan ke kawasan Pos Hau.

Trek tegak, dan curam

Perburuan mencari Rafflesia kerri tidak mudah kerana untuk sampai ke habitatnya, kami perlu mendaki lebih sejam di laluan trek curam, meranduk air, melompat batu licin dengan sesetengahnya berstruktur tajam, menempuh hutan buluh, rotan berduri dan bermacam ujian lagi.

Ada kalangan rakan yang tersungkur kerana tidak dapat mengimbangi tubuh ketika memijak daun kering selain mengadu lelah mendaki laluan menegak dan berbukit.

Namun, kesukaran dan jerit-perih berbayar sebaik terserempak tunas pertama yang menunggu lebih kurang dua tiga minggu lagi untuk membuka kelopaknya.

"Rafflesia ini mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk membesar namun hayatnya hanya seminggu. Ia banyak ditemui ketika musim kering," kata Bob selain memberitahu Kampung Ladoi kini menjadi tumpuan bukan saja penyelidik bahkan pelancong yang berhasrat melihat secara dekat bunga itu.

Katanya, ini adalah tahun pertama kawasan hutan itu membenarkan orang ramai berkunjung bagi menjejaki itu.

Ada mitos mengatakan Rafflesia sering menjadi ramuan penting dalam perubatan masyarakat Orang Asli di negara ini malah ada dakwaan memberitahu bunga berkenaan sering dijual kepada pengamal perubatan tradisional Melayu.

Namun, dalam tempoh beberapa jam menghabiskan masa di Kampung Ladoi untuk menjejaki hutannya yang menyimpan bunga dikhuatiri kian pupus itu termasuk menikmati sajian tradisional ubi yang dimasak dalam buluh dan membasah tekak dengan air kelapa muda, penulis sempat memerhatikan jual-beli ubatan diperbuat daripada akar kayu.

Peserta bersama bunga Rafflesia di hutan kampung Ladoi ketika Kembara Eko Kelantan, Dekat Je.
Peserta bersama bunga Rafflesia di hutan kampung Ladoi ketika Kembara Eko Kelantan, Dekat Je.

FAKTA

* Ahli botani pertama yang menemui spesis Rafflesia adalah pengembara Perancs iaitu Louis Auguste Deschamps.

* Deschamps adalah antara pasukan saintis Perancis yang membuat penjelajahan ke Asia dan Pasifik. Dia menghabiskan masa tiga tahun di Jawa.

* Pada tahun 1797, dia mengambil contoh (specimen) yang dicatatkan sebagai R.patma.

* Ketika dalam pelayaran balik pada 1798, kapalnya dirampas oleh pelayar British kerana ketika itu sedang berlaku peperangan. Semua kertas dan nota penyelidikannya dirampas.

* Deschamps tidak melihat hasil kajiannya sehinggalah pada tahun 1954 ia ditemui di Muzium Sejarah Semula Jadi (Natural History Museum), London.

* Ahli botani British, Joseph Arnold dan Thomas Stamford Bingle Raffles mengutip sampel spesies bunga ini yang ditemui oleh seorang pegawai Melayu di Sumatera pada tahun 1818.

* Arnold meninggal dunia kerana demam panas. Isteri Raffles atau Lady Raffles mengutip, melukis semula dan kemudian mula menanamnya sebelum dihantar ke British Museum.

* William Jack, penggati Arnold di Sumatera menyedari bunga itu sudah ditemui Deschamps, segera merangka draf satu deskripsi bagi memastikan penemuan dilakukan oleh orang British.

* Nama Rafflesia dicadangkan oleh kurator British Museum, Robert Brown sebagai penghormatan kepada Raffles, tetapi yang sebenarnya mahu dikenali dengan nama Arnoldii sempena nama Joseph Arnold.

* Buat pertama kalinya pada tahun 1821, Brown secara rasmi menamakan bunga pakma sebagai Rafflesia arnoldii.

Berita Harian X