Ahad, 4 September 2016 | 12:00am

Tanjung Dawai punya tarikan tersendiri

ORANG ramai mengangkat mangsa bot karam yang terbalik dalam perjalanan dari Tanjung Dawai ke Pantai Merdeka, pagi tadi.
ORANG ramai mengangkat mangsa bot karam yang terbalik dalam perjalanan dari Tanjung Dawai ke Pantai Merdeka, pagi tadi.

TANJUNG Dawai di Kedah, bukanlah destinasi pelancongan popular tetapi bagi penulis ia tetap menarik untuk dikunjungi.

Kalau Lumut dan Pangkor terkenal dengan pengeluaran ikan masin dan bilis, begitulah juga dengan Tanjung Dawai kerana aktiviti utama penduduknya adalah sebagai nelayan.

Belacan Tanjung Dawai adalah produk yang memperkenalkan perkampungan nelayan ini.

Walaupun tidak dianggap destinasi pelancongan utama, tetapi penulis mendapat ramai pengunjung dari luar datang ke Tanjung Dawai sama ada sekadar bersiar-siar atau mahu menikmati makanan laut selain mencari produk segar dari laut.

Bagi penggemar makanan laut atau hasil laut yang diproses seperti ikan masin, bilis mahupun belacan, Tanjung Dawai adalah destinasi percutian atau persinggahan yang menawarkan lebih banyak pilihan, segar dan memenuhi selera, selain harganya yang jauh lebih murah.

ARKED Tanjung Dawai sentiasa dipenuhi penggemar ikan masin. - Foto Zunnur Al-Shafiq
ARKED Tanjung Dawai sentiasa dipenuhi penggemar ikan masin. - Foto Zunnur Al-Shafiq

Meriah pada waktu senja

Arked Tanjung Dawai yang diselenggara Majlis Perbadanan Sungai Petani, terletak bersebelahan Jeti Tanjung Dawai adalah pusat jualan pelbagai produk hasil laut termasuklah ikan kering, keropok udang, keropok lekor, telur masin dan yang paling popular ialah ikan masin talang padi.

Bangunan dua tingkat ini kelihatan tenang di bahagian bawah, namun sebaik saja menjejakkan kaki di tingkat dua, pengunjung terlalu padat, berjalan pun bergesel bahu!

Mereka yang 'hantu' ikan masin, di sinilah 'port' terbaik untuk memborong gara-gara harganya yang murah! Justeru, tidak hairanlah kawasan penjaja kecil ini sentiasa dipenuhi pengunjung yang sanggup ke Tanjung Dawai semata-mata untuk memperoleh ikan atau telur masin gred A, selain keropok lekor yang kaya dengan inti ikan parang.

Penulis terserempak dengan pengunjung yang datang dari Johor Bahru ke Tanjung Dawai demi ikan masin!

Suasana lebih meriah menjelang senja apabila restoran ikan bakar dan makanan laut yang baru memulakan perniagaan memasang lampu berwarna- warni di sepanjang jalan menuju ke Tanjung Dawai, seolah-olah ada pesta laut. Cuma anda perlu bijak memilih untuk singgah di gerai yang paling sedap hidangannya.

Mudah jika hendak tahu restoran mana paling sedap, ada ramai pengunjung atau banyak kereta tepi jalan, ikan bakarnya pasti 'meletup'!

Laluan ke Pantai Merdeka

Peningkatan pelancong menyebabkan restoran ikan bakar tumbuh bagai cendawan selepas hujan di sepanjang jalan ke pekan Tanjung Dawai.

Penulis sempat berkunjung ke pusat pemprosesan ikan kering dan belacan di kampung nelayan yang terletak tidak jauh dari Jeti Tanjung Dawai. Pengusaha hasil laut, Mokhtar Mohamed berkata, beliau hanya menggunakan ikan gred A ketika menghasilkan ikan kering atau bilis kerana tidak mahu pelanggan setia 'lari'.

"Pusat pemprosesan kami hanya menggunakan ikan talang padi untuk dijadikan ikan masin kerana rasanya lebih enak apabila digoreng, selain lebih tahan lama. Pelanggan setia, selalunya akan terus datang ke pusat pemprosesan kerana mereka membeli secara pukal, sekali gus harga yang ditawarkan pasti lebih murah.

"Tapi, pelanggan dari luar Kedah atau Pulau Pinang, mereka lebih senang berkunjung ke Arked Tanjung Dawai," katanya.

Selain menjadi tempat pengumpulan hasil laut, Tanjung Dawai juga menjadi akses kepada pengunjung yang mahu ke Pantai Merdeka. Jika berkereta perlu pusing jauh ke pantai peranginan itu. Namun, dengan bot laju dari Jeti Tanjung Dawai, menjadi pilihan pelancong yang ingin bercanda ke Pantai Merdeka.

Kepada kaki pancing, anda boleh menghabiskan malam anda di Jeti Tanjung Dawai. Antara ikan yang boleh dipancing di sini ialah gelama, sembilang dan ikan duri. Penginapan pula tiada masalah kerana banyak chalet bajet disediakan di Tanjung Dawai.

FAKTA NOMBOR

* 30 km

jarak Tanjung Dawai dari bandar Sungai Petani

* 10 orang

penumpang dibenarkan menaiki bot laju ke Pantai Merdeka

* RM2

bayaran sehala yang dikenakan bot laju

* 3 minit

masa ke Pantai Merdeka dengan bot laju

ORANG ramai membantu mangsa bot karam yang terbalik dalam perjalanan dari Tanjung Dawai ke Pantai Merdeka, pagi tadi.
ORANG ramai membantu mangsa bot karam yang terbalik dalam perjalanan dari Tanjung Dawai ke Pantai Merdeka, pagi tadi.

INFO

  • Dipercayai nama Dawai berasal daripada perkataan bahasa Siam iaitu Than Wai yang bermaksud tempat pertahanan awal.
  • Ia mungkin merujuk kepada kedudukannya di hujung tanjung di muara sungai yang dianggap strategik sebagai kubu pertahanan.
  • Penduduk Tanjung Dawai kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan petani kerana kedudukannya yang strategik iaitu terletak di muara Sungai Muda.
  • Antara perkampungan nelayan yang terdapat di Tanjung Dawai termasuklah Kampung Bagan Belat, Kampung Sungai Pial dan Kampung Segantang Garam.
Berita Harian X