Khamis, 11 Ogos 2016 | 12:03am
ANTARA ikan yang berjaya dibawa naik. - Foto NSTP
ANTARA ikan yang berjaya dibawa naik. - Foto NSTP

Memancing bantu lepaskan tekanan

HADI Zanusi bersama kawannya sedang memancing di Kemaman. - Foto NSTP
HADI Zanusi bersama kawannya sedang memancing di Kemaman. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Selepas lima hari dengan pelbagai kerenah pelajarnya, empat guru melepaskan tekanan itu dengan beriadah dan mencari ketenangan di laut sambil menduga beberapa lubuk ikan gred A di perairan Kuantan dan Kemaman.

Itulah kaedah yang dipilih empat guru terbabit, melepaskan ketegangan yang dialami ketika sesi pengajaran dengan memancing, sekali gus `memperbaharui' tenaga untuk melaksanakan tugasan seterusnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak Indah.

Mereka ialah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Azmiran Alias, Penolong Kanan Kokurikulum, Muhamad Fauzi Yunus, dan dua guru iaitu Hadi Zanusi Ab Hadi serta Fadli Shafie.

Trip dua hari pada awal bulan ini, untuk menduga hampir 10 lubuk menghasilkan pulangan lumayan juga apabila mereka membawa pulang lebih 30 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan, antaranya ebek, kaci, kerapu, tenggiri, jenahak, aruan tasik, gerong belang dan pari.

Guna kaedah jigging

FADLI Shafie (kiri), Mohd Fauzi (kanan) dan Hadi Zanusi bersama hasil tangkapan. - Foto NSTP
FADLI Shafie (kiri), Mohd Fauzi (kanan) dan Hadi Zanusi bersama hasil tangkapan. - Foto NSTP

Hadi selaku ketua trip berkata bagi mereka, jumlah 30kg ikan itu sudah cukup banyak.

Lagipun, katanya trip mereka lebih kepada hanya suka-suka dan untuk melepaskan segala ketegangan sepanjang lima hari bekerja sambil menikmati pemandangan matahari turun di laut dan pada masa yang sama, memperoleh rezeki dari laut.

"Tugasan seharian kami sebagai guru macam-macam dan memenatkan. Jadi, memancing adalah salah satu cara untuk kami berehat dan mencari ketenangan.

"Secara peribadi laut adalah tempat untuk saya menghilangkan tekanan kerja dan pada masa yang sama, saya mendapat kepuasan diri yang sukar digambarkan," katanya.

Menurutnya, dia mula memancing di laut dalam sejak kecil dengan mengikut jejak ayahnya, yang kerap memancing bersama kawan-kawan pada hujung minggu dan cuti umum.

Hadi berkata, antara ikan yang kerap dijinaknya ialah kaci, gerong belang, kerapu, merah, jenahak, pari dan aruan tasik.

Dalam trip itu, mereka menggunakan kaedah jigging dan dasar berumpankan sotong, udang dan ikan kembung hidup.

Tali jorang kerap putus

TEKONG Faiz Saad bersama dua ikan kerapu bara yang diperolehnya. - Foto NSTP
TEKONG Faiz Saad bersama dua ikan kerapu bara yang diperolehnya. - Foto NSTP

Mereka menaiki bot memancing milik tekong Faiz Saad, 34, dan naik di Jeti Pangkalan Balok, Kuantan, Pahang.

Antara lubuk yang mereka kunjungi di perairan Kuantan dan Kemaman ialah Batu Usin, Karang Luas dan Unjam Pak Awi.

"Kami berlepas ke laut pada jam 2 petang dan mengambil masa 45 minit untuk sampai lubuk pertama.

"Keadaan laut agak beralun, tetapi kami tetap bersemangat untuk terus memancing kerana banyak mendapat sentapan daripada penghuni lubuk yang diduga dengan lima sentapan gagal dinaikkan apabila tali putus," katanya.

Hadi berkata, dalam trip itu, Azmiran yang paling malang kerana banyak kali tali jorannya putus selepas aksi berlawan tarik dengan ikan yang menyentap jorannya.

"Laut yang beralun disebabkan angin kencang menyebabkan Azmiran dan Fauzi mabuk laut dan mengambil keputusan untuk tidur bagi melegakan `penyakit' yang dialami mereka.

"Yang menariknya, mereka berdua kelihatan segar dan ceria ketika masuk bertugas di sekolah pada hari Isnin," katanya.

Berita Harian X