Sabtu, 30 Julai 2016 | 12:05am

Inovasi rawat diabetes dengan pankreas tiruan

Pankreas.
Pankreas.

LAPORAN terkini mengenai kejayaan menghasilkan pankreas tiruan dalam tempoh dua tahun lagi memberikan harapan kepada pesakit diabetes jenis 1.

Pankreas tiruan berupaya memantau secara berterusan tahap glukos atau gula dalam darah, selain menghantar insulin ke tubuh apabila diperlukan.

Penyelidik awal bermula tahun 2011 sehingga kini turut menjelaskan bahawa pankreas tiruan itu berkemungkinan diluluskan untuk merawat diabetes tahap 1 seawal tahun hadapan.

Dalam laporan yang diterbitkan di dalam Jurnal Debatologia, Dr Roman Hovorka dan Dr Hood Thabit menjelaskan bagaimana pankreas tiruan boleh memberikan rawatan kurang invasif (menyakitkan) dan lebih berkesan untuk diabetes jenis 1.

Jurnal yang diterbitkan oleh Kesatuan Eropah bagi kajian diabetes itu turut menyatakan, rawatan itu boleh menghapuskan keperluan pesakit yang secara berterusan mengukur kadar glukos darah dan menyuntik insulin hanya apabila diperlukan.

Pankreas tiruan kini jalani ujian

PANKREAS tiruan.
PANKREAS tiruan.

Terdapat pelbagai bentuk pankreas tiruan sedang diuji dalam ujian klinikal masa kini.

Awal tahun ini, sekumpulan penyelidik dari Universiti Pendidikan Virginia Amerika Syarikat pula, mendedahkan bahawa pembangunan pankreas tiruan yang boleh dikawal oleh telefon pintar.

Kawalan menerusi dua ujian klinikal itu berupaya menguji keselamatan dan keberkesanan peralatan berkenaan.

Selain berbeza bentuk, pankreas tiruan berfungsi dengan asas sama iaitu menggabungkan sistem 'gelung tertutup' yang memantau secara berterusan kadar glukos dan algoritma yang mengawal bila insulin perlu disuntik.

Dr Hovorka berkata, setakat ini, teknologi berkenaan menunjukkan prestasi yang baik dalam kajian klinikal yang sudah diuji dalam pelbagai sudut termasuk kajian makmal, kem diabetes dan pesakit luar.

Menerusi ujian itu beliau berkata, pengguna positif mengenai bagaimana menggunakan pankreas tiruan memberikan pesakit 'bercuti' daripada diabetes.

"Ini disebabkan sistem berkenaan berupaya menguruskan gula di dalam darah secara berkesan tanpa perlu memantaunya secara berterusan," katanya.

Fungsi pankreas

- Mengeluarkan hormon termasuk insulin dan glukagon

- Menghadam enzim yang membantu memecahkan makanan.

Bagaimana diabetes jenis satu berlaku:

- Sel beta pankreas berhenti mengeluarkan insulin.

- Insulin berfungsi memindahkan gula daripada darah dan mengangkutnya terus ke sel. Ini digunakan untuk tenaga.

- Tanpa insulin, tahap gula dalam darah menjadi terlalu tinggi.

- Pesakit dengan diabetes jenis 1 memerlukan dos insulin setiap hari, sama ada melalui suntikan atau pam insulin.

- Pankreas tiruan bakal diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) pada tahun 2017.

- Kajian klinikal masih dijalankan bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan alat terbabit.

- FDA dalam proses meneliti pankreas tiruan.

- Institut Penyelidikan Kesihatan Kebangsaan (NIHR) di United Kingdom mengumumkan pankreas tiruan boleh digunakan menjelang penghujung tahun 2018.

- Pankreas tiruan adalah alternatif untuk suntikan dan pam insulin.

- Kadar glukos pesakit menurun dua kali ganda selepas menggunakan pankreas tiruan selama satu malam.

Kelemahan yang masih dikaji:

- Teknologi sistem gelung tertutup tidak selalu dapat menghantar insulin dengan cepat.

- Terdedah kepada ancaman keselamatan siber

Rawatan:

- Suntikan kekal sebagai bentuk pengambilan insulin

- Suntikan dua kali sehari tetapi jumlah suntikan meningkat kepada tiga atau empat dalam jangka panjang.

- Pam insulin lebih maju yang membekalkan insulin selama 24 jam melalui tiub yang dimasukkan di bawah kulit.

24 - pesakit diabetis jenis 1 menggunakan pankreas tiruan di rumah selama enam minggu.

11% - pesakit hampir mencecah kadar glukos yang optimum

2 jam untuk membawa gula dalam darah ke tahap optimum.

Berita Harian X