Khamis, 28 Julai 2016 | 12:03am
SEBAHAGIAN daripada hasil yang diperoleh dijual kepada orang ramai di Pasar Ikan Kampung Bako dekat Kuching.
SEBAHAGIAN daripada hasil yang diperoleh dijual kepada orang ramai di Pasar Ikan Kampung Bako dekat Kuching.

Hasil di luar jangkaan

DARI kiri; Norman, Junaidi dan Omar bersama hasil tangkapan dalam trip memancing santai malam minggu di Pulau Lakei, dekat Kuching, hujung minggu lalu
DARI kiri; Norman, Junaidi dan Omar bersama hasil tangkapan dalam trip memancing santai malam minggu di Pulau Lakei, dekat Kuching, hujung minggu lalu

KUALA LUMPUR: Kalau sudah dikatakan rezeki, trip memancing santai pada malam minggu oleh empat sahabat yang dilakukan semata-mata untuk mengisi masa lapang, berjaya membawa pulang lebih 70 ikan, jumlah yang di luar jangkaan.

Sebahagian daripada ikan yang diperoleh seperti umpak atau gerutgerut, pari dan jenahak dapat dijual kepada rakan yang secara kebetulan sedang mencari ikan segar di Pasar Ikan Kampung Bako, dekat Kuching pada sebelah paginya.

Pasar itu yang terletak berhampiran Terminal Jeti Bako menjadi tumpuan penduduk sekitar Kuching, pada setiap pagi minggu, untuk mendapatkan ikan segar yang dijual terus daripada nelayan atau pemancing yang baru pulang dari laut.

Biarpun tujuan asal terminal itu dikhaskan untuk pelancong yang akan menaiki bot ke Taman Negara Bako, namun ia juga menjadi tempat bot memancing mendarat apabila pulang dari laut.

Empat sahabat yang menyertai trip memancing pada malam minggu di sekitar Pulau Lakei itu ialah Junaidi Edek, Awang Khalik Hashim, Norman Abdullah dan Omar Shahid.

Trip selama 12 jam itu yang bermula pada jam 6 petang nyaris dibatalkan kerana bot memancing yang selesa untuk empat hingga lima pemancing yang sudah ditempah tidak dapat keluar kerana enjin sangkut 60hp (kuasa kuda), rosak.

Sejurus pemilik dan tekong bot itu, Abd Rahim Wan Ambi memaklumkan bot yang ditempah tidak dapat ke laut, wajah mereka yang tiba di jeti itu, seawal jam 4 petang kelihatan kecewa, namun masih belum membuat keputusan pulang ke rumah.

AWANG Khalik dengan jenahak yang diperolehnya.
AWANG Khalik dengan jenahak yang diperolehnya.

Cuaca baik, laut tenang

Bagaimanapun, hubungan rapat antara mereka dengan Abd Rahim membolehkan trip itu dapat diteruskan dengan menaiki sebuah lagi bot memancing yang saiznya agak kecil dan menggunakan enjin 40hp.

Nasib baik terus berpihak kepada mereka apabila cuaca pada waktu itu sungguh baik dan keadaan laut tenang umpama permaidani yang terhampar di majlis perkahwinan.

Abd Rahim yang lebih dikenali sebagai Ijam, terus membawa bot mereka ke sebuah kawasan unjam untuk mendapat sotong segar bagi dijadikan umpan.

Selepas lebih 45 minit menangguk sotong, mereka mendapat lebih 2 kilogram (kg) sotong, kemudian terus belayar ke lubuk MRZ kira-kira 40 minit dari jeti.

Abdul Rahim memberitahu, selepas tiba di lubuk kira-kira jam 6 petang, beberapa pemancing mula menaikkan gerut-gerut yang bersaiz dua hingga tiga kg seekor.

"Oleh kerana trip ini hanya untuk santai pada malam minggu, empat pemancing terbabit lebih banyak berborak berbanding trip biasa kurang bercakap untuk memberi tumpuan kepada joran yang menunggu disentap mangsa.

"Namun, rezeki Allah terus diperoleh selang beberapa minit sehingga tengah malam malam, sebelum kami tidur sekejap," katanya.

Abdul Rahim berkata, sebelum Subuh, mereka berjaya menaikkan lebih 70 gerut-gerut, empat pari dan seekor jenahak.

Berita Harian X