Ahad, 24 Julai 2016 | 1:38am
ALLAHYARHAM Norsehah Abu Bakar atau dikenali Seha Freedom. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ALLAHYARHAM Norsehah Abu Bakar atau dikenali Seha Freedom. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Karissa Iris Lund bersama ibunya, Allahyarham Norsehah Abu Bakar. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Karissa Iris Lund bersama ibunya, Allahyarham Norsehah Abu Bakar. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Karissa Iris Lund. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Karissa Iris Lund. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Anak Seha Freedom, Karissa teruja abang balas mesej FB

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Bagaimanapun, Karissa Iris Lund terlalu muda berdepan dengan perpisahan abadi.

Pada usia 10 tahun ketika itu, Karissa kehilangan ibunya yang juga vokalis kumpulan Freedom, Allahyarham Norsehah Abu Bakar atau Seha. Ini diikuti bapa tirinya, Azmi Tambi Chik dan bapanya, Chris Lund Abdullah.

Kesedihannya bagaikan tidak berpenghujung apabila satu persatu insan yang dikasihi meninggalkannya tahun demi tahun.

Masih terbayang di depan mata kesengsaraan ibunya yang juga penyanyi, pelakon dan pengacara popular era 1980-an dan 1990-an bertarung dengan penyakit kanser paru-paru selama beberapa bulan. Seha akhirnya dijemput Ilahi pada 11 Oktober 2006 di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Karissa Iris Lund ketika kecil bersama ibunya, Allahyarham Norsehah Abu Bakar atau dikenali Seha Freedom. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Karissa Iris Lund ketika kecil bersama ibunya, Allahyarham Norsehah Abu Bakar atau dikenali Seha Freedom. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Enam bulan kemudian, bapa tiri yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Industrial Estate Berhad yang menjadi tempatnya menumpang kasih ketika kecil, Azmi Tambi Chik, pula menghembuskan nafas terakhir selepas menghidap penyakit sama.

Menambah derita, setahun kemudian, bapanya, Chris Lund Abdullah yang terpisah dengannya sejak berusia tiga tahun pula menyusul akibat serangan jantung. Segala kedukaan dipikul ketika usia Karissa masih kecil.

Bagaimanapun, itu cerita satu dekad lalu. Walaupun bergelar yatim piatu dalam usia kanak-kanak, kini, anak dara arwah Seha itu sudah berusia 20 tahun.

Cantik dan membesar dalam tatangan minyak yang penuh oleh adik ibunya, Mohd Norbi Abu Bakar, 52, dan isterinya, Nor Azah Ahmad Nordin, 44, serta ahli keluarga yang lain.

Karissa Iris Lund menatap koleksi gambar arwah ibunya. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Karissa Iris Lund menatap koleksi gambar arwah ibunya. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Kali terakhir dilihat ketika pengebumian arwah ibunya, selepas itu, Karissa tidak muncul lagi.

BH berjaya menjejaki Karissa yang sedang menjalani latihan amali di Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M). Anak kedua arwah Seha itu menuntut dalam Fakulti Sebaran Am pada tahun akhir di Universiti HELP, Kuala Lumpur.

Lembut berbicara, senyuman manis Karissa saling tidak tumpah arwah ibunya. Bagaimanapun, raut wajah Karissa lebih kemelayuan mengikut wajah ibu saudara yang menjaganya dengan penuh kasih sayang.

Keluarga ibu saudara jaga sempurna

Tanpa berselindung, Karissa mengakui:

"Saya tidak menonjolkan diri sebagai anak arwah Seha. Bagi mereka yang tahu, tahulah. Bukan saya tidak suka, tetapi nama ibu terlalu besar dan hebat.

"Saya tidak suka ada yang menganggap saya mahu menumpang popularitinya. Bukan saya lupa pada ibu yang mengandung dan melahirkan saya, tetapi perasaan sedih sudah berlalu pergi. Saya sudah lama reda atas pemergian ibu bapa dan bapa tiri saya.

"Lagipun, ibu dan bapa saudara saya menjaga saya dengan sempurna. Tidak pernah sedikitpun kurang kasih sayang yang dicurahkan. Takdir saya kehilangan ibu bapa dalam sekelip mata. Tetapi Tuhan memberikan insan lain untuk menjaga, mendidik dan menyayangi saya dengan sepenuh hati.

Karissa Iris Lund kini berusia 20 tahun. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Karissa Iris Lund kini berusia 20 tahun. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya tidak mahu orang merasa simpati pada saya. Ya, saya tahu naluri manusia apabila mendengar anak yatim piatu mereka mudah rasa kasihan, tetapi saya dibesarkan dengan sempurna. Sebagaimana kasihnya ibu pada saya, begitu juga kasihnya mereka pada saya.

"Hingga saya dikurniakan Tuhan wajah seiras dengan ibu saudara yang menjaga saya. Bayangkan betapa mendalamnya kasih sayang dan hubungan kami."

Bagaimanapun, akui Karissa, dia seperti memberontak pada awal pemergian orang yang dikasihinya itu.

"Saya berdepan dengan kehilangan setiap tahun. Saya terlalu muda untuk memikul segala kesengsaraan. Saya sering bersedih dan terlebih emosi. Saya tidak mendengar cakap ibu bapa saudara. Sifat saya bagaikan memberontak.

"Saya menjadi pemarah dan lebih sensitif apabila bapa saya pula meninggal dunia. Kenapa satu persatu meninggalkan saya? Bertahun-tahun lamanya saya berperang dengan perasaan. Mujurlah saya memiliki ibu bapa saudara sentiasa bersabar dengan kerenah saya. Mereka faham perasaan saya.

"Apabila membesar, saya mula faham, segala-galanya adalah takdir. Kematian ada sebab dan hikmah di sebaliknya. Mungkin jika ditakdirkan ibu masih hidup, saya tidak sanggup melihat kesengsaraannya. Jadi, saya kena jadi sekuat arwah ibu," katanya.

Arwah Seha jaga solat

Karrisa masih ingat, setitis air mata tidak tumpah ketika hari pengebumian arwah ibunya.

"Saya bukannya tidak bersedih, tetapi saya sudah puas menangis selepas melihat ibu menderita sakit. Setiap hari saya bersamanya.

"Saya tahu ibu akan meninggalkan saya suatu hari nanti, tetapi saya tidak terfikir dia pergi dalam tempoh sesingkat tiga bulan selepas disahkan mengidap penyakit kanser paru-paru.

"Mulanya ibu menghidap kanser kulit di kaki, kulit di bahagian perut diambil untuk ditampal di kaki. Bagaimanapun, ketika itu, arwah masih aktif.

"Beberapa tahun kemudian, arwah berdepan penyakit kanser paru-paru pula. Saya masih terbayang bagaimana rambutnya gugur dan menjadi botak. Tubuhnya kurus dan kulitnya semakin kendur," katanya.

Namun, Karissa berkata, ibu masih menjaga dirinya seolah-olah sihat.

"Arwah masih menjaga saya seperti biasa, masak dan menemani saya menonton televisyen (TV) tetapi keadaannya tidak bermaya. Apabila makan ubat membuatkan arwah seperti tidak sedar dan meracau. Ketika itu, hati saya sudah terdetik ibu akan meninggalkan saya nanti," katanya.

Membesar di kediaman ibu bapa saudaranya di Ampang, Selangor, Karissa berkata, dia melihat perubahan ketara pada arwah ibunya sebelum menutup mata.

"Arwah bapa tiri saya seorang yang warak. Jadi, arwah ibu juga sentiasa menjaga solat pada penghujung hayatnya. Arwah banyak berubah, dia jarang keluar rumah dan tidak mahu orang lain melihat kesengsaraan ketika bertarung sakit.

"Dia sentiasa menjaga solat dan mengaji al-Quran. Arwah mengajar saya cara bersolat dan mengaji. Apa yang saya ingat, arwah selalu meletak kertas di depan dan suruh saya ikut bacaan yang ditulis ketika kami solat.

"Saya terbayang tempat arwah selalu bersolat. Itu adalah petunjuk arwah akan pergi yang tidak pernah saya sedar sehinggalah kematiannya," katanya.

KARISSA Iris Lund. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
KARISSA Iris Lund. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Abang belum dapat terima kehilangan ibu, ayah

Karissa berkata, dia sedih apabila mengenangkan kerinduan arwah ibunya terhadap abang sulungnya, Misha Kyrie Lund yang ketika itu sudah lebih lapan tahun tidak ditemui.

"Arwah selalu beritahu saya, dia teramat rindu dan ingin bertemu Misha sebelum menutup mata. Bagaimanapun, arwah akhirnya pergi mengusung rindu yang tidak tertahan.

"Apa yang saya tahu, arwah bapa membawa abang ketika bercerai pada 1998. Saya masih bayi dan tidak dapat mengingat detik indah kami. Bagaimanapun, arwah selalu mengingatkan saya mengenai abang kandung yang terpisah jauh.

"Saya tidak tahu punca arwah ibu dan bapa bercerai. Di awal perceraian, saya diberitahu arwah ibu masih lagi dapat berhubung dengan Misha yang ketika itu berpindah ke Jakarta, Indonesia. Malah, arwah ibu juga pernah mengunjungi abang di Jakarta.

"Bagaimanapun, apabila arwah bapa berkahwin dengan seorang wanita Indonesia, hubungan mereka terus terputus. Mereka khabarnya berpindah ke negara kelahiran bapanya di London," katanya.

Bagaimanapun, katanya, arwah ibunya ceria apabila dapat berhubung dengan Misha melalui emel, sebulan sebelum meninggal dunia.

Itupun selepas BH melalui sisipan B*POP menyiarkan kisah Seha berusaha menjejaki anaknya ketika sedang bertarung nyawa.

"Atas usaha yang dilakukan, arwah dapat berinteraksi dengan Misha menerusi beberapa kiriman emel. Sedihnya, mereka tidak sempat bertemu. Dia tahu Misha berada berada di United Kingdom. Perbualan terpaksa dirahsiakan kerana tidak mahu mereka terpisah lagi," katanya.

Katanya, dia dan abangnya tidak pernah bertemu sejak mereka berpisah pada tahun 1998.

"Saya sejujurnya tidak dapat mengingat kenangan bersama abang. Wajah dan visual suaranya pun saya tidak mampu nak membayangkan. Saya hanya tengok beberapa foto yang tersimpan.

"Saya cuba berhubung dengan abang ketika berada di tingkatan empat. Saya dapat mengesannya melalui laman Facebook. Saya menghantar mesej padanya tetapi tiada balasan bertahun lamanya.

"Awal tahun ini, saya sekali lagi menghantar mesej padanya selepas dinasihati ahli keluarga. Bagaimanapun, saya terkejut apabila mesej saya mendapat balasan. Abang meminta maaf pada saya, bukannya dia melupakan saya tetapi dia masih belum mampu menerima kehilangan ibu dan bapa ketika itu.

"Dia juga tengah berserabut dengan masalah tidak dinyatakan. Apa yang saya tahu, abang kini berada di London dan bekerja di sebuah universiti. Dia juga sibuk dengan kerja sukarelawan yang menyebabkannya selalu terbang dari sebuah negara ke negara lain.

"Selepas kematian arwah bapa, Misha tinggal bersama ibu tiri dan mempunyai adik beradik lain. Saya tengok wajahnya seperti lelaki Inggeris. Dia berbeza dengan saya, kerana saya lebih kemelayuan. Misha belum berkahwin dan kini berusia 25 tahun," katanya yang mahu mendekati abangnya terlebih dulu, sebelum merancang bertemu.

Berita Harian X