Jumaat, 15 Julai 2016 | 12:06am

Guna akal dan keupayaan berbicara untuk dakwah

AL-QURAN mengajar manusia supaya mempertahankan adab dan ketinggian akhlak ketika berdialog atau berhujah. - Foto hiasan
AL-QURAN mengajar manusia supaya mempertahankan adab dan ketinggian akhlak ketika berdialog atau berhujah. - Foto hiasan

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan?

Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkan dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim." (Surah Al-Baqarah, ayat 258)

Allah SWT menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain. Antara keistimewaannya yang paling utama ialah Allah SWT menciptakan akal untuk manusia berfikir dan lidah untuk berbicara.

Akal dikurniakan kepada setiap manusia untuk mereka menggunakan nikmat pemberian tersebut dengan sebaik-baiknya dalam meniti kehidupan di atas muka bumi ini. Dengan adanya akal manusia mampu mentadbir alam ini dengan sempurna supaya kehidupan ini mampu dilalui dalam keadaan yang harmoni dan teratur.

Akal perlu digunakan

Sesungguhnya akal pemberian Allah kepada manusia perlulah digunakan dengan sebaik-baiknya. Allah menceritakan perihal hamba-Nya yang digelar sebagai Ulul al-Bab juga Ulul Nuha, mereka ialah manusia yang beriman kepada Allah SWT dan menggunakan akal pemikiran dengan sebaik-baiknya dalam rangka mentaati segala perintah-Nya.

Keupayaan berbicara dan berhujah adalah nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia. Manusia perlu menggunakan lidahnya untuk membicara perkara yang berfaedah.

Antaranya ia satu wasilah paling berkesan untuk menyampaikan mesej dakwah Islam. Dalam dakwah mengajak kepada kepada beriman kepada Allah yang Maha Esa ada dua kaedah yang digunakan iaitu dalil naqli dan dalil aqli.

Dalam ayat ini al-Quran memberi satu contoh dialog antara Ibrahim dengan pemimpin yang ingkar dan sombong. Apa yang menariknya ialah Ibrahim menggunakan kekuatan dalil aqli dan kesabarannya tanpa menggunakan perkataan yang kasar dan tidak sopan.

Ayat di atas menjelaskan bagaimana Nabi Ibrahim AS mendapat taufik dan perlindungan Allah SWT ketika baginda mengemukakan hujah yang kuat sehingga dapat menghapuskan segala bentuk keraguan yang dilontarkan oleh musuhnya hingga akhirnya baginda memperoleh kemenangan dan kejayaan lantaran hujahnya yang mantap.

Melalui ayat ini Allah, SWT mengisahkan dialog di antara Nabi Ibrahim dengan seorang raja di zamannya yang berdebat mengenai Allah.

Al-Quran tidak menyebut nama raja itu kerana pengkhususan kepada nama tertentu tidak akan menambah apa-apa dari segi teladan dan pengajaran yang hendak disampaikan oleh ayat ini. Al-Quran dan hadis tidak menyebutkan masa dan nama orang yang berdebat dengan Nabi Ibrahim ini namun demikian kebanyakan ahli tafsir menamakan Namrud atau Namruz sebagai orang yang berdebat dengan baginda.

Perdebatan yang diceritakan oleh al-Quran kepada nabi-Nya dan kepada pengikut baginda sepanjang zaman sebagai contoh kesesatan dan kedegilan pemimpin terdahulu dan sebagai satu pengalaman yang dapat dijadikan bekalan kepada Nabi SAW dan umatnya untuk menghadapi para pengingkar sepanjang zaman.

Dalam hal ini telah diriwayatkan raja tersebut memerintahkan supaya dibawa dua orang hamba rakyatnya. Seorang daripadanya dibunuh dan seorang lagi dibiarkan hidup. Lantas dia berkata: "Lihatlah yang dibunuh ini bererti aku telah mematikan dia. Manakala yang seorang lagi ini aku menghidupkannya dan tidak dibunuh.

Kemudian, Nabi Ibrahim AS berkata: "Oleh sebab engkau mendakwa bahawa engkau ialah Tuhan dan berkemampuan mematikan seseorang seperti Tuhan aku juga, maka aku mencabarmu untuk mengubah ciptaan Tuhan aku. Cuba kau naikkan matahari dari timur ke barat ataupun dari barat ke timur jikalau betul-betul engkau berkuasa." Maka tercenganglah raja yang kafir itu dan diam membisu.

Nabi Ibrahim dengan kepintarannya segera mengalih hujahnya dengan menukar kepada dalil yang lain untuk mengalahkan raja zalim melalui hujah yang lebih singkat dan konkrit.

Cara Nabi Ibrahim berhujah cukup baik bagi menutup mulut pihak lawan yang sombong dan tinggi diri, sekalipun pada hakikatnya masalah menghidup dan mematikan adalah jauh lebih besar dan lebih penting dari segi hujah dan dalil wujud Allah SWT berbanding pergerakan matahari dari timur ke barat dan sebaliknya.

Tidak akan beri petunjuk

Allah SWT tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang menolak hidayah. Tidak mahu berfikir bersungguh-sungguh mengenai bukti yang sampai kepadanya, sebaliknya mengikut jalan yang sesat dan tidak mahu menggunakan kesanggupan yang Allah SWT kurniakan kepadanya untuk memahami kebenaran, lantaran rayuan hawa nafsu yang terlihat indah olehnya.

Jadi pada saat ini, dia sememangnya telah berbuat zalim kepada dirinya sendiri dan menjadi sesat sejauh-jauhnya. Ayat ini menyatakan pihak berkuasa yang menentang kebenaran adalah zalim dan tidak menyokong langkah ke arah keadilan dan islah.

Mereka takut jika keadilan ditegakkan nescaya mereka akan menjadi orang yang pertama dihukum mengikut keadilan undang-undang.

Justeru di mana suara keadilan diketengahkan, orang zalim pasti berdiri teguh membantahnya.

Begitulah al-Quran mengajar adab berdialog berdebat di mana Nabi Ibrahim tetap mempertahankan nilai-nilai ketinggian akhlak ketika berhujah dan berdialog sehingga memaksa raja yang zalim itu terdiam dan mati hujahnya.

Inilah antara hikmahnya apabila sesuatu hujah yang kuat dan benar itu disampaikan dengan penuh sopan, berakhlak dan beradab, maka ia secara semula jadi akan menjadi lebih diterima dan dapat mematahkan kebatilan.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X