Jumaat, 10 Jun 2016 | 12:00am

Janna Nick lali kontroversi



DIRINYA pernah terkait dengan isu 'bercakaran' sesama artis baru-baru ini. Begitupun, bakat yang semakin mendapat tempat di hati peminat, Janna Nick, menganggap perkara itu tidak memberikan kesan negatif terhadap kerjayanya sebagai anak seni. Sebaliknya, ia tentu sekali mengajar beliau untuk menjadi insan yang lebih berhati-hati.

Bukannya mahu bermusuh dengan sesiapa, apatah lagi pada tanggapannya artis baharu datang silih berganti, Janna, 21, menjadikan episod panas membabitkannya dengan Ruhainies sebagai pengajaran untuk menjadi lebih matang.

Tidak juga menjadikannya sebagai jalan pintas untuk melonjakkan nama, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner lebih suka menumpukan perhatian pada cara bagaimana untuk mengekalkan kedudukannya agar terus relevan dalam industri hiburan tanah air.

"Alhamdulillah, kontroversi terbabit tidak meninggalkan apa-apa kesan pada saya kerana saya lebih mementingkan usaha bagi mengekalkan kedudukan yang dilihat lebih sukar jika dibandingkan dengan mengejar populariti," katanya ketika ditemui di Sri Pentas, kelmarin.

Menurut pelakon drama rantaian Suami Tanpa Cinta ini, beliau sendiri berasakan persaingan bagi mendapatkan publisiti murahan tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada dirinya.

Daripada terus terkait dengan cerita sensasi sedemikian, katanya, lebih baik beliau menjaga sikapnya dengan mereka yang bekerja bersama-samanya.

JANNA atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner.
JANNA atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner.

JANNA berasakan persaingan bagi mendapatkan publisiti murahan tidak mendatangkan apa-apa faedah. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
JANNA berasakan persaingan bagi mendapatkan publisiti murahan tidak mendatangkan apa-apa faedah. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Kali terakhir saya bersua muka dengan beliau (Ruhainies) adalah pada Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) yang lalu dan saya memang tiada sebarang masalah dengannya.

"Orang lain tahu, masalah ini bukan berpunca daripada saya. Jadi, biarlah isu ini senyap begitu saja kerana saya tidak mahu ia terus berpanjangan. Kalau saya nak buat kontroversi untuk menarik perhatian orang, saya tidak akan bergaduh dengan beliau. Sebaliknya, saya akan pergi kelab dan mabuk-mabuk. Tetapi, saya bukan jenis begitu, jadi biarlah perkara itu (perhatian) datangnya daripada pencapaian dan drama lakonan saya," katanya.

Menjadikan Ramadan sebagai ruang untuk bermuhasabah diri dan memperbaiki kesilapan lalu, pelakon yang turut berjinak-jinak dalam dunia seni suara ini turut mengambil iktibar daripada isu berkenaan bagi mempelajari cara mengawal tingkah laku.

Walaupun dilihat kasar pada luaran, Janna tidak menjadikan sikapnya itu sebagai sebab sehingga timbulnya isu sebegitu.

"Kita akan sentiasa belajar pelbagai perkara baharu untuk menjadikan diri kita lebih baik. Kalau kita rasa benda itu satu kesilapan, kita takkan lakukan kesilapan sama dan tidak mahu pisang berbuah dua kali, walaupun kesilapan berkenaan daripada orang lain.

"Perlu ada perubahan pada diri walaupun kita tahu orang lain tidak menyukainya. Menjadi figura awam bukan sesuatu yang mudah kerana kita menjadi contoh kepada orang ramai. Kita harus sedar, mereka minat kita atas dasar apa? Atas dasar bakat, lakonan atau diri kita sendiri?

"Kalau orang minat kita atas dasar lakonan saja, tetapi sikap kita tak bagus, saya rasa ia juga satu masalah. Apa-apa yang terjadi, saya melihatnya dari sudut positif. Kita kena selidik isu yang berlaku itu supaya kita boleh berhati-hati pada masa akan datang," katanya.

JANNA Nick dan Hafidz Roshdi dilantik sebagai duta kempen Syukur Selalu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
JANNA Nick dan Hafidz Roshdi dilantik sebagai duta kempen Syukur Selalu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Berjanji akan lebih berwaspada dan mengawal setiap tingkah laku serta tutur katanya supaya tidak lagi timbul isu sedemikian, Janna yang ditemui pada majlis pelancaran dan memperkenalkan dirinya serta Hafidz Roshdi sebagai duta kempen Syukur Selalu, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad dan F&N di Petaling Jaya, berkata kontroversi berkenaan menjadikan dirinya semakin kuat.

"Apabila perkara ini terjadi, ia menjadikan saya semakin kuat dan berfikiran lebih matang dari segi insaniah kerana saya sendiri baru berusia 21 tahun. Banyak lagi perkara yang saya perlu pelajari.

"Saya perlukan pengajaran daripada setiap apa yang berlaku untuk menjadi lebih baik. Kalau orang nak saya menjadi tidak kasar, itu bukan Janna Nick kerana saya tidak boleh menjadi orang lain. Orang kena terima saya seadanya walaupun saya kasar, tetapi saya juga pada masa sama akan cuba untuk tidak melampaui batas dari segi pergaulan dengan orang terdekat," katanya.

Berita Harian X