Jumaat, 3 Jun 2016 | 12:27am
ANTARA pelanggan Restoran Ali Asam Pedas, Batu Pahat. - Foto Syarafiq Abd Samad
ANTARA pelanggan Restoran Ali Asam Pedas, Batu Pahat. - Foto Syarafiq Abd Samad
RESTORAN Ali Asam Pedas dibuka mulai jam 7.30 pagi sehingga semua hidangan habis. - Foto Syarafiq Abd Samad
RESTORAN Ali Asam Pedas dibuka mulai jam 7.30 pagi sehingga semua hidangan habis. - Foto Syarafiq Abd Samad
PEKERJA Restoran BP Bariani Power membawa hidangan beriani yang menjadi pilihan pelanggan ke restoran terbabit. Foto Syarafiq Abd Samad
PEKERJA Restoran BP Bariani Power membawa hidangan beriani yang menjadi pilihan pelanggan ke restoran terbabit. Foto Syarafiq Abd Samad
PEKERJA Restoran BP Bariani Power membuat persediaan menyediakan hidangan beriani. - Foto Syarafiq Abd Samad
PEKERJA Restoran BP Bariani Power membuat persediaan menyediakan hidangan beriani. - Foto Syarafiq Abd Samad

Beriani dan asam pedas ikon pelancongan Batu Pahat


BATU PAHAT: Nasi beriani dan asam pedas disajikan sembilan restoran di sini, kini diangkat sebagai produk pelancongan utama daerah ini, kerana keupayaannya menarik pelancong domestik, demi menikmati keenakan serta keaslian sebenar masakan itu.

Menyedari potensinya, Pejabat Daerah Batu Pahat kini membangunkan portal khas menyenaraikan semua nama restoran yang menyediakan menu terbabit bersama koordinat lokasi, maklumat ringkas serta gambar hidangan istimewa mereka.

Pegawai Daerah Batu Pahat, Mohd Halim Hasbullah, berkata usaha itu sebagai kemudahan kepada pelancong selepas pihaknya sering menerima pertanyaan mengenai lokasi tempat makan popular di sini, kerana sering viral menerusi media sosial.

"Sejak Le Tour De Langkawi pada April lalu, Pejabat Daerah menyiapkan risalah lengkap tempat makanan popular Batu Pahat ekoran permintaan khas daripada hampir 3,000 peserta, krew serta pengunjung yang mahu menikmati sendiri hidangan istimewa Batu Pahat.

"Portal khas sedang diperincikan dan kita bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) untuk memberi penarafan gred terhadap aspek kebersihan, keceriaan dan kualiti makanan tempat makanan popular berkenaan bagi rujukan pengunjung dan pelancong," katanya.

RESTORAN BP Bariani Power beroperasi sejak 10 tahun lalu. - Foto Syarafiq Abd Samad
RESTORAN BP Bariani Power beroperasi sejak 10 tahun lalu. - Foto Syarafiq Abd Samad

PEKERJA Restoran BP Bariani Power membawa hidangan beriani yang menjadi pilihan pelanggan ke restoran itu. - Foto Syarafiq Abd Samad
PEKERJA Restoran BP Bariani Power membawa hidangan beriani yang menjadi pilihan pelanggan ke restoran itu. - Foto Syarafiq Abd Samad

Bersesuaian dengan jolokan sebagai syurga makanan, Batu Pahat juga terkenal dengan keunikan beberapa makanan lain termasuk mi racun serta putu bambu di Ayer Hitam, yang turut popular dalam kalangan pengunjung.

Halim berkata, tempias populariti makanan berkenaan menyebabkan kedatangan pengunjung ke daerah ini semakin bertambah setiap tahun, terutama ketika hujung minggu, cuti persekolahan mahupun cuti musim perayaan.

"Kita mendapat maklum balas ada pelancong dari Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak bercuti ke sini semata-mata menikmati keenakan asam pedas serta nasi beriani yang mereka sifatkan tidak sama dengan tempat lain.

"Selalunya, mereka datang untuk menikmati makanan kegemaran dan bermalam sehari dua di sini. Keesokannya sebelum pulang, mereka singgah menikmati hidangan kegemaran sekali lagi mahupun membungkus hidangan berkenaan untuk dibawa pulang," katanya.

Sementara itu, pengunjung yang ditemui BH mengakui keterujaan datang ke daerah ini disebabkan reputasinya sebagai syurga makanan terutama populariti makanan seperti nasi beriani dan asam pedas asli Batu Pahat.

ANTARA pelanggan Restoran BP Bariani Power, Batu Pahat. - Foto Syarafiq Abd Samad
ANTARA pelanggan Restoran BP Bariani Power, Batu Pahat. - Foto Syarafiq Abd Samad

Pelancong dari Sabah, Asrul Musly, 25, berkata beliau yang sudah lama mengidam merasai sendiri keenakan nasi beriani serta asam pedas Batu Pahat sanggup mengambil cuti bersama tiga teman karibnya dari Kedah dan Perak semata-mata bagi bercuti 'jalan-jalan cari makan' di daerah ini.

"Selepas hampir setahun dirancang, baru kami berpeluang datang ke sini. Sebelum datang kami sudah melakukan penyelidikan menerusi blog dan portal di Internet bagi mencari tempat makan popular serta dicadangkan pengunjung yang pernah datang ke sini.

"Memang berbaloi kami mengumpul duit untuk datang dan mencuba sendiri keenakan nasi beriani dan asam pedas di Batu Pahat kerana rasanya memang asli dan tidak sama di tempat lain," katanya.

Pengurus Restoran BP Bariani Power Sdn Bhd, Taib Mahmood, berkata sejak dibuka 10 tahun lalu, kakitangannya tidak menang tangan melayan pengunjung yang datang dari seluruh pelusuk negara apatah lagi sejak keenakan nasi berianinya sering diviralkan pengunjung menerusi laman sosial.

"Setiap kali musim cuti sekolah dan perayaan serta hujung minggu, ada kalanya sebanyak 100 kilogram (kg) beras dan 150 kg ayam serta kambing diperlukan bagi menghasilkan nasi beriani gam istimewa.

"Kami terpaksa memasang khemah khas di luar restoran bagi menampung kehadiran pengunjung yang agak luar biasa setiap kali musim cuti. Ada hari kami kehabisan nasi walaupun sudah dimasak berulang kali hingga terpaksa meminta pelanggan datang keesokan hari," katanya.

PEKERJA Restoran Ali Asam Pedas menunjukkan kepala ikan masak asam pedas yang menjadi pilihan pelanggannya. Foto Syarafiq Abd Samad
PEKERJA Restoran Ali Asam Pedas menunjukkan kepala ikan masak asam pedas yang menjadi pilihan pelanggannya. Foto Syarafiq Abd Samad

Pemilik Restoran Ali Asam Pedas, Arshad Utoh, 80, mengakui hasil perniagaan sejak 1968 bermula dengan gerai kereta tolak di kawasan Pasar Batu Pahat, beliau mampu membeli rumah kedai dua tingkat sejak 1992.

"Sejak dulu, pelanggan percayakan kualiti masakan kami. Apa yang menggembirakan saya, ada pelanggan daripada generasi pertama hingga kelima keluarga mereka setia menikmati hidangan asam pedas kami walaupun selepas berhijrah ke tempat lain.

"Restoran kami mula dibuka jam 7.30 pagi sehingga semua hidangan habis. Setiap hari kakitangan memasak sehingga 60 kilogram pelbagai jenis ikan termasuk merah, pari, kembung, jenahak dan unga. Jika musim cuti pula ia ditingkatkan sehingga hampir 100 kilogram ikan," katanya.

PEKERJA Restoran BP Bariani Power membuat persediaan menyediakan hidangan. - Foto Syarafiq Abd Samad
PEKERJA Restoran BP Bariani Power membuat persediaan menyediakan hidangan. - Foto Syarafiq Abd Samad

INFO: Rancangan Pelancongan Batu Pahat

  • Batu Pahat dijenamakan sebagai Daerah Berbudaya
  • Nasi beriani dan asam pedas sebagai Ikon Pelancongan
  • Persembahan kebudayaan termasuk gambus, zapin, barongan, kuda kepang, kaplingan, kentongan di Dataran Penggaram secara mingguan pada musim cuti

FAKTA: Antara restoran dan kedai makanan popular di Batu Pahat

  • Ali Asam Pedas, 4A, Jalan Syahbandar, Batu Pahat, Johor
  • Yana Asam Pedas, 38, Jalan Flora Utama 5, Taman Flora Utama, Batu Pahat.
  • Kedai Asam Pedas Mak Limah, 3, Jalan Tay Kim Piaw, Batu Pahat, Johor. (Berhampiran Stesen Bas Batu Pahat).
  • Asam Pedas AA Teluk Wawasan, Pantai Teluk Wawasan, Kampung Parit Hj Abdul Salam, Simpang Lima, Batu Pahat.
  • Asam Pedas Man, Cathay Gerai MPBP,Jalan Rahmat, Batu Pahat. (Bersebelahan bekas panggung wayang Cathay dan Pejabat Pos Besar Batu Pahat).
  • Selera Best Istana Asam Pedas Ikan Air Tawar, Batu 9, Kampung Melayu Manong (Empangan Sembrong), Jalan Batu Pahat-Kluang.
  • Beriani Power, 18 Jalan Tukas 2, Taman Soga, Batu Pahat.
  • Beriani Mat Shah, Kompleks Niaga Peserai, Gerai No. 14, Benteng Peserai (Berhadapan Hospital Pakar Putra Batu Pahat).
  • Mi Racun, TL1, Jalan Rotan Tunggal, Taman Sri Jaya, Batu Pahat.
Berita Harian X