Jumaat, 20 Mei 2016 | 12:10am

Kesatuan ummah berasaskan keimanan

KIBLAT ditetapkan sebagai peringatan supaya manusia tidak berpaling kepada sesuatu selain-Nya. Gambar hiasan
KIBLAT ditetapkan sebagai peringatan supaya manusia tidak berpaling kepada sesuatu selain-Nya. Gambar hiasan

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan Hari Akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi;

dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya -kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba abdi; dan mengerjakannya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. Orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang yang bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 177)

Allah SWT menjelaskan dalam ayat itu bahawa menghadapkan muka ke kiblat tertentu bukanlah hakikat kebaikan yang menjadi tujuan agama. Sebaliknya, kiblat ditetapkan semata-mata untuk mengingatkan orang yang bersembahyang bahawa mereka sedang bermunajat, berdoa kepada Tuhannya dan berpaling daripada sesuatu selain-Nya.

Kiblat juga menjadi lambang pertemuan umat dalam satu tujuan sahaja, sehingga dapat melatih mereka supaya bersatu dalam setiap langkah dan tujuan. Berdasarkan ayat itu, al-birr atau kebajikan yang menjadi sifat seorang hamba beriman harus mempunyai ciri-ciri kebaikan.

Keimanan bawa titik perubahan

Pertama, beriman kepada Allah SWT sesungguhnya keimanan kepada Allah SWT adalah dasar kebaikan dan kebajikan. Ia tidak akan wujud kecuali jika jiwa itu mantap dengan disertai rasa tunduk dan ketenangan hati.

Keimanan kepada Allah adalah titik perubahan dalam kehidupan manusia daripada perhambaan kepada pelbagai kuasa, benda dan perhitungan kepada perhambaan kepada Allah Yang Maha Esa sahaja.

Kedua, keimanan kepada hari akhirat dapat menyedarkan manusia mengenai kehidupan lain di alam ghaib yang berbeza daripada alam sekarang ini. Seseorang itu tidak akan berusaha sekadar terbatas kepada kepentingan jasmani dan tidak akan mencurahkan sebahagian besar cita-citanya untuk keenakan dunia.

Beriman kepada hari akhirat adalah keimanan kepada matlamat hidup yang penghabisan meliputi iman kepada adanya balasan baik dan buruk, adanya syurga sebagai balasan terhadap orang mukmin dan neraka sebagai balasan terhadap orang kafir.

Kehidupan di dunia adalah satu peluang keemasan yang diberi Allah SWT kepada manusia untuk berbakti kepada Allah SWT sebagai tanda kelayakan mereka untuk menerima kedudukan yang tinggi dan istimewa pada hari akhirat.

Ketiga, keimanan kepada malaikat adalah sumber keimanan adanya wahyu, kenabian dan hari kemudian. Sesiapa yang mengingkarinya, bererti dia mengingkari semua itu kerana wahyu itulah yang melimpahkan ilmu dengan izin Allah SWT kepada nabi mengenai perkara agama.

Beriman kepada malaikat juga sebahagian daripada iman kepada al-ghaib yang menjadi ciri utama seseorang Mukmin dan keimanan dengan kitab suci serta rasul kerana malaikat selaku utusan Allah SWT menyampaikan wahyu kepada rasul yang menjadi kandungan kitab suci.

Keempat, beriman kepada kitab yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai pedoman hidup untuk manusia. Antaranya hendaklah beramal dengan hukum yang ada dalam kitab-kitab itu sama ada kita mengetahui hikmah dan rahsia di sebaliknya atau tidak.

Kitab wahyu ajak manusia laksana perintah Tuhan

Walau bagaimanapun, kitab sebelum al-Quran telah dimansuhkan hukumnya setelah penurunan al-Quran.

Keimanan kepada kitab wahyu yang dibawa oleh Nabi mengajak manusia melaksanakan perintah dan larangan yang terkandung di dalamnya.

Kelima, beriman kepada nabi salah satu daripada rukun iman yang wajib terhadap orang Islam. Nabi adalah manusia biasa yang tidak ada unsur ketuhanan pada mereka, tetapi mereka dianugerahkan wahyu terus daripada Allah SWT.

Keenam, amal kebajikan yang berasaskan akidah, iman dan takwa pasti membuahkan kesanggupan berkorban dengan harta benda disayangi, sama ada atas nama zakat wajib atau sedekah sunat. Ia dapat membebaskan seseorang daripada haloba, kedekut, jiwa yang lemah dan mementingkan diri.

Islam memperkenalkan konsep berkebajikan untuk menegakkan konsep masyarakat sebagai satu badan, dengan asas kedamaian dan keselamatan setiap anggotanya bergantung pada bantuan daripada pihak yang mengukuhkan satu sama lain.

Itulah kesatuan sosial yang perlu diamalkan oleh setiap Mukmin untuk mewujudkan sebuah masyarakat umat Islam yang kuat dan berpengaruh. Di samping al-birr atau kebajikan, kesabaran adalah sikap yang berbuah daripada keimanan kepada rahmat dan iradah Allah.

Penulis ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X