X
Jumaat, 13 Mei 2016 | 12:04am

Sembunyi kebenaran undang kemurkaan

AHLI agama memikul tugas menyampai dan menyebar kebenaran untuk dimanfaat orang yang mendengar. - Foto hiasan
AHLI agama memikul tugas menyampai dan menyebar kebenaran untuk dimanfaat orang yang mendengar. - Foto hiasan

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab siksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah al-Baqarah, ayat 174)

Menerusi ayat ini, Allah SWT sekali lagi mengecam dan mengancam orang Yahudi yang menyembunyikan dan meminda hukum Allah SWT serta keterangan-Nya dalam kitab suci yang diturunkan kepada mereka.

Ibnu Abbas berkata, asbabul nuzul ayat ini untuk mencela ketua dan pendeta Yahudi di Madinah yang mengambil hasil pendapatan atau hadiah daripada pengikut mereka. Mereka sememangnya mengharap nabi akhir zaman bakal dibangkitkan daripada bangsa Yahudi tetapi hakikat sebaliknya.

Takut hilang habuan hadiah daripada pengikut dan hilang kekuasaan memimpin, mereka sanggup menyembunyikan fakta yang termaktub dalam kitab mereka iaitu Taurat dan mengubahnya lalu mereka memberitahu inilah sifat nabi akhir zaman yang tidak menyerupai nabi ini.

Imam Tobari dalam tafsirnya menyebut, antara perkara yang disembunyikan oleh Ahli Kitab itu berkenaan kebenaran Islam dan sifat Nabi Muhammad SAW.

Mereka sanggup menyembunyikan sebahagian daripada wahyu diturunkan Allah SWT kepada rasul-Nya atau mentakwilkannya dengan mengubah keterangan serta menempatkan ayat bukan pada tempatnya hanya demi mendapatkan imbuhan harta dunia yang sedikit.

Mereka itu seperti menerima rasuah atau upah atas fatwa salah yang menguntungkan penguasa. Imbuhan dunia itu kerana menolak kebenaran amatlah sedikit jika hendak dibandingkan dengan kebahagiaan abadi bagi orang berpegang kepada kebenaran.

Sekalipun pelaku kebatilan menikmati upah perbuatan batilnya, namun kenikmatan ini hanya sementara.

Mereka yang telah menyembunyikan isi kandungan kitab Allah SWT kerana diupah akan menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam seksaan api neraka.

As-Syahid Sayyid Qutb berpendapat, kecaman terhadap perbuatan menyembunyikan keterangan dan ajaran Kitab Suci itu pada mulanya dituju kepada Ahli Kitab, tetapi pengertian nas yang umum itu meliputi penganut setiap agama yang menyembunyikan ajaran yang benar dengan tujuan mendapatkan faedah dunia.

Menyembunyikan kebenaran daripada pengetahuan umum adalah satu jenayah besar terhadap ilmu dan maklumat. Jenayah itu bertentangan akhlak ahli agama yang memikul tugas menyampai bukan menyimpan, menyebar bukan menyembunyikan kebenaran.

Nabi SAW galak sebar ilmu

Rasulullah SAW menggalakkan sahabat baginda dan seluruh umatnya menyebarkan ilmu yang mereka pelajari supaya manfaatnya melampaui zaman serta tempat.

Dalam khutbah al-wada' Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah orang yang hadir (di antara kamu dalam perhimpunan al-wada' dan mendengar ucapan nabi) menyampaikan kepada orang tidak hadir." (Riwayat Bukhari)

Mereka yang memperniagakan ayat Allah SWT iaitu menyembunyikan hukum sebenar untuk mengaut keuntungan hakikatnya rugi kerana kitab suci itu mahal harganya dan tidak mungkin dapat dinilai dengan wang. Sedangkan jika mereka ikhlas dengan kitab itu, nescaya mereka mendapat keuntungan sangat besar.

Mungkin mereka hanya melihat hasil atau kenikmatan di dunia hingga tidak nampak balasan terhadap mereka yang menyembunyikan dan menjual ayat Allah SWT ialah neraka yang membakar serta menjauhkan mereka daripada rahmat Allah SWT.

Mereka tidak akan dilayani dengan baik seperti orang mukmin dilayani, mereka tidak dibicarakan dengan rahmat dan kasih sayang seperti yang dijanjikan kepada Rasul-Nya.

Mereka juga tidak akan mendapat rahmat Allah SWT pada hari kiamat, tidak diizinkan berbicara dengan Allah SWT seperti yang diberi kepada orang mukmin.

Ini menunjukkan keistimewaan yang dicapai orang mukmin yang tidak dipalingkan daripada kebenaran termaktub dalam kitab suci ialah mendapat perhatian Allah SWT dan memperoleh kesucian daripada kekotoran dosa.

Penulis ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X