Rabu, 11 Mei 2016 | 12:34am

Bahasa Melayu dimusuhi orang Malaysia

PENERIMA Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir).
PENERIMA Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir).

SERDANG: Sikap orang Malaysia terhadap bahasa kebangsaan dikritik oleh Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir) yang menyifatkannya sangat pelik kerana sebahagiannya menolak dengan sikap negatif.

Sikap negatif itu sampai ke tahap memandang rendah dan memusuhi bahasa Melayu sehinggakan banyak keputusan dibuat secara sentimen.

Sekiranya ada yang beranggapan kritikan SM Zakir itu disebabkan bahasa Melayu adalah bahasa ibundanya, pandangan yang serupa dikongsi pengarang kelahiran Tanjung Malim, Chai Loon Guan.

Kedudukan bahasa Melayu dilupakan

PENGARANG, Chai Loon Guan.
PENGARANG, Chai Loon Guan.

Loon Guan mengingatkan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan menerusi Perkara 152 tidak bermakna ia bebas daripada sebarang cabaran.

Sifat sambil lewa juga menyebabkan bahasa dan sastera kebangsaan berada di pinggiran sehingga kerap kali 'dilupakan,' sekali gus memungkinkan ia 'ditindas.'

SM Zakir dan Loon Guan sependapat keghairahan untuk meningkatkan penguasaan bahasa lain terutama bahasa Inggeris menyebabkan kedudukan bahasa Melayu itu ada kalanya 'dilupakan.'

Loon Guan menyifatkan pelaksanaan program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang ditamatkan tiga tahun lalu disambung dengan Program Dwibahasa (DLP) sejak Januari tahun ini, membawa misi serupa meskipun dengan nama berbeza.

Salah beri 'ubat'

SM Zakir dan Chai Loon Guan pada acara Sembang Dewan Sastera berjudul Bahasa dan Sastera: Tertindas dan Ditindas di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 di Serdang.
SM Zakir dan Chai Loon Guan pada acara Sembang Dewan Sastera berjudul Bahasa dan Sastera: Tertindas dan Ditindas di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 di Serdang.

"Kita sebenarnya memberi ubat yang salah kepada penyakit yang lain. Saya berpandangan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) ialah program yang cukup baik dan bertepatan dengan Perkara 152.

"Kita tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris yang dicapai menerusi MBMMBI kerana apa yang perlu dilihat dalam pengukuhan bahasa Inggeris adalah mencukupkan jumlah guru bahasa Inggeris.

"Begitu juga kita perlu memastikan kelayakan mereka mencukupi dan jika tidak, berikan latihan lebih baik, selain kemudahan pengajaran serta bahan di pusat sumber," katanya pada acara Sembang Dewan Sastera berjudul Bahasa dan Sastera: Tertindas dan Ditindas di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 di sini.

INFO:

PPSMI

- dimulakan pada 2003

- semua sekolah di negara ini

- digantikan dengan MBMMBI pada 2012

DLP

- dimulakan pada Januari 2016

- babitkan 300 sekolah saja

Berita Harian X