Rabu, 4 Mei 2016 | 12:00am

Jiwa murni ATM di Kampung Titingan di Tawau

MOHD Zaki (kanan) meninjau mangsa kebakaran dari Kampung Titingan dan Kampung Habib Abdul Rahman di Tawau, yang hilang tempat tinggal dalam kejadian pada 13April lalu. - Foto Abdul Rahemang Taiming
MOHD Zaki (kanan) meninjau mangsa kebakaran dari Kampung Titingan dan Kampung Habib Abdul Rahman di Tawau, yang hilang tempat tinggal dalam kejadian pada 13April lalu. - Foto Abdul Rahemang Taiming

SIKAP keprihatinan dan jiwa murni yang tinggi tidak pernah diabaikan oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membantu masyarakat yang ditimpa musibah.

Atas sikap prihatin itu, ATM menerusi 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berpangkalan di Tawau membantu mangsa kebakaran di Kampung Titingan dan Kampung Habib Abdul Rahman di Tawau yang hilang tempat tinggal dalam musibah itu, baru-baru ini.

Sejak hari pertama kebakaran, ATM mengerah anggotanya dalam operasi membantu memindahkan barangan penduduk, membina khemah sebagai tempat tinggal sementara sebahagian mangsa, selain bergotong-royong memasak kepada mangsa pemindahan.

Panglima Medan Timur, Tentera Darat Malaysia (TDM), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar, ketika meninjau mangsa kebakaran dan menyerahkan bantuan daripada ATM dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien, berkata ATM akan terus berusaha untuk melihat bentuk bantuan lain yang diperlukan penduduk terbabit.

"Kita sudah menempatkan pegawai dan staf perubatan untuk sentiasa memantau keadaan kesihatan mangsa kebakaran, khususnya kanak-kanak dan warga tua yang ketika ini berhadapan dengan keadaan cuaca panas berikutan fenomena El Nino.

"Selain itu, ATM bekerjasama dengan ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan agensi lain untuk menyalurkan bantuan sewajarnya termasuk mengadakan gotong-royong seperti memasak untuk mangsa kebakaran.

"Kita berharap semua mangsa tragedi itu yang ditempatkan di pekarangan Masjid Habib Abdul Rahman ini bersabar menghadapi dugaan," katanya.

Yang turut hadir dalam lawatan itu ialah Panglima Angkatan Petugas 450, Mejar Jeneral Datuk Zulkapri Rahamat; Panglima 5 Briged, Brig Jeneral Datuk Mohd Anuar Rijaludin dan Pegawai Memerintah Batalion Ke-26 RAMD, Kolonel Saiful Bahari Zainol.

ANGGOTA 26 RAMD bergotong-royong bersama penduduk kampung bagi menyediakan makanan kepada mangsa kebakaran.
ANGGOTA 26 RAMD bergotong-royong bersama penduduk kampung bagi menyediakan makanan kepada mangsa kebakaran.

Sedia bantu penempatan sementara

Mengulas lanjut, Mohd Zaki berkata, ATM sedia untuk membantu membina dan mendirikan penempatan sementara sekiranya diperlukan sementara menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) berdasarkan keupayaan dan kepakaran pasukan keselamatan itu dalam bidang berkenaan.

Sementara itu, pembantu pegawai penyelaras tempat memasak mangsa kebakaran di kampung berkenaan, Leftenan Muda Muhammad Faiz Hashim, berkata pasukannya yang diketuai oleh Mejar M Idris Odding bersama 10 anggota menyediakan makanan kepada hampir 300 mangsa di pusat pemindahan di Masjid Kampung Habib Abdul Rahman.

"Kami perlu memasak nasi sebanyak 50 kilogram setiap hari selain lauk pauk.

"Walaupun kepenatan, kami gembira kerana dapat menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran yang berdepan kesukaran susulan hilang tempat tinggal.

"Penduduk kampung turut membantu kami memasak dan menyediakan makanan dan kebanyakan bahan mentah diperoleh hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai," katanya.

ANGGOTA 26 RAMD bergotong-royong bersama penduduk kampung bagi menyediakan makanan kepada mangsa kebakaran.
ANGGOTA 26 RAMD bergotong-royong bersama penduduk kampung bagi menyediakan makanan kepada mangsa kebakaran.

Terima kasih di atas sumbangan

Ketua Kampung Habib Abdul Rahman, Habib Abdul Rahim Habib Abdul Rahman, merakamkan terima kasih kepada ATM dan Menteri Pertahanan kerana prihatin serta mengambil berat terhadap kebajikan mangsa kebakaran.

"Segala bentuk sumbangan kepada mangsa kebakaran ini adalah bukti kerajaan tidak pernah mengabaikan rakyat yang ditimpa bencana dan musibah.

"Sekurang-kurangnya sumbangan ini memberi kelegaan kepada mangsa dan diharapkan mereka bersabar sementara menunggu kelulusan berkaitan pembinaan penempatan sementara oleh MPT," katanya.

Dalam kejadian pada 13 April lalu, lebih 3,000 penduduk hilang tempat tinggal apabila kira-kira 300 rumah papan musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan dan Kampung Habib Abdul Rahman di Tawau.

Kejadian pada kira-kira jam 1.30 pagi itu dipercayai bermula dari sebuah rumah di blok 10 Kampung Titingan sebelum api merebak dengan pantas hingga memusnahkan puluhan lagi rumah di Kampung Habib Abdul Rahman yang terletak bersebelahan.

Berita Harian X