Sabtu, 23 April 2016 | 12:16am
PADIL sudah belajar menebar roti canai sejak berusia 10 tahun bersama bapa saudaranya. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PADIL sudah belajar menebar roti canai sejak berusia 10 tahun bersama bapa saudaranya. - Foto Mohd Yusni Ariffin
KEMAHIRAN menebar roti canai terbang membawa Padil ke beberapa negara asing dengan bayaran lumayan mengikut kontrak.
KEMAHIRAN menebar roti canai terbang membawa Padil ke beberapa negara asing dengan bayaran lumayan mengikut kontrak.

Roti canai "terbang" hasil pulangan lumayan


RAWANG: Kemahiran menebar roti canai 'terbang' membawa Mohd Padil Omar ke beberapa negara asing dengan bayaran lumayan.

Mohd Padil, 30, pada asalnya adalah penebar roti canai biasa sahaja dan pernah bekerja dengan orang lain, tetapi hasil latihan dan mahu menambah baik 'persembahan', dia berjaya menguasai kemahiran yang dimiliki sekarang.

Padil, anak kelahiran Johor, bukan sekadar menebar roti canai biasa tetapi dia mampu beraksi dengan memutar dan menerbangkan roti canai di udara sebelum menyambutnya kembali, kebolehan yang menarik minat banyak syarikat yang membawanya membuat persembahan ke luar negara.

Setiap kali memenuhi jemputan mana-mana pihak ke luar negara, Mohd Padil menerima antara RM6,000 hingga RM8,000 purata seminggu bertugas dengan keperluan lain ditanggung penganjur.

Namun, Mohd Padil berkata, bukan mudah mencipta kejayaan begitu, hanya kepada mereka yang gigih berusaha selain mempunyai kemahiran tersendiri menebar roti canai.

Katanya pada mulanya dia juga tidak pernah terfikir dengan menebar roti canai boleh membawanya ke luar negara dan membuat persembahan di hadapan kenamaan.

PADIL berlatih menebar roti canai terbang menggunakan tuala. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PADIL berlatih menebar roti canai terbang menggunakan tuala. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KEMAHIRAN Padil memutar dan melambung tepung roti canai menggagumkan banyak pihak. - Foto Mohd Yusni Ariffin
KEMAHIRAN Padil memutar dan melambung tepung roti canai menggagumkan banyak pihak. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Beliau berkata roti canai sudah sebati dengan dirinya kerana sejak usia 10 tahun lagi dia sudah belajar membuat dan menebar roti canai dengan bapa saudaranya namun hanya pada tahun 2008 dia mula terbabit secara serius dalam persembahan begitu.

"Saya mula tertarik dengan persembahan roti canai terbang ini sejak menonton satu video persembahan roti canai. Saya tengok dia boleh melambung, membuat aksi menari sambil memusingkan roti canai.

"Dari situ saya mula terfikir sampai bila nak menjadi penebar roti canai biasa. Saya perlukan perubahan dan sejak itu mula belajar aksi menebar roti canai.

"Saya belajar hanya menerusi video serta bertanya dengan penebar roti canai terbang yang lain melalui Facebook. Pada mulanya saya gunakan tepung untuk berlatih tapi sebab rasa rugi tepung itu tak boleh digunakan kembali, saya berlatih menggunakan tuala yang dibasahkan," katanya.

Sementara menanti undangan mengadakan pertunjukan, Mohd Fadil turut berniaga roti canai di Cafe Ana Nasi Arab bersebelahan Balai Polis Bukit Beruntung di sini. Beliau turut mempromosi kemahirannya menerusi akaun Facebook, Padil Roti Terbang.

PADIL belajar menerusi video serta bertanya dengan penebar roti canai terbang yang lain melalui Facebook. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PADIL belajar menerusi video serta bertanya dengan penebar roti canai terbang yang lain melalui Facebook. - Foto Mohd Yusni Ariffin

PADIL berlatih memutar dan melambung tuala untuk memberikan kemahiran membuat roti canai terbang. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PADIL berlatih memutar dan melambung tuala untuk memberikan kemahiran membuat roti canai terbang. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Ketika awal usahanya, setiap hari Padil berlatih memutar dan melambung tuala untuk memberikan kemahiran pergerakan tangannya selain memastikan tuala yang digunakan itu tidak berlipat atau bergulung di udara.

Padil berkata, dia berlatih sehingga tuala itu kembang dan bila diputar ia terbuka dengan sempurna.

Latihannya itu membawa perubahan kepada Padil dari hanya menjadi penebar roti canai biasa kepada penebar profesional.

Katanya, kemahirannya itu mula dikenali dalam kalangan penebar roti canai profesional sebelum mereka mengajaknya menyertai pertunjukan di dalam dan luar negara.

"Pertama kali dijemput membuat persembahan roti canai terbang, saya bagai tidak percaya ada juga pihak yang menghargai bakat penebar roti canai seperti saya.

"Paling manis apabila diberi peluang untuk membuat persembahan di luar negara. Walaupun masih baru dalam dunia persembahan kemahiran menebar roti canai, saya sudah pergi empat negara iaitu Australia, China, Thailand dan Singapura.

KENANGAN Padil ketika membuat persemabahan roti canai terbang di China.
KENANGAN Padil ketika membuat persemabahan roti canai terbang di China.

SELAIN China, Padil juga membuat persembahan di Australia, Thailand dan Singapura.
SELAIN China, Padil juga membuat persembahan di Australia, Thailand dan Singapura.

"Paling banyak kali adalah ke Australia, saya membuat persembahan di beberapa tempat di sana. Setiap kali pergi saya akan tinggal selama dua minggu atau lebih. Selain membuat persembahan saya juga menyajikan roti canai," katanya.

Padil berkata, dia berbangga kerana kemahirannya dihargai selain berpeluang menaikkan nama negara di luar, walaupun hanya sebagai penebar roti canai.

Katanya, masyarakat di luar negara sangat menghargai bakat dan kemahiran yang dimilikinya, sehinggakan ramai yang menyangkakan roti canai ini berasal dari Malaysia walaupun hakikatnya ia berasal dari India.

"Paling tidak boleh dilupakan saya adalah membuat persembahan roti canai terbang di hadapan Sultan Johor dan beberapa pemimpin negara dalam satu majlis di Istana Johor.

"Memang sangat berdebar, risau jika persembahan tidak menjadi apatah lagi di hadapan golongan kenamaan. Tapi saya jadikan itu sebagai satu semangat dan pengalaman baru untuk diri," katanya.

Katanya, satu lagi perkara yang menaikkan semangatnya adalah apabila melihat ramai anak Melayu bekerja di luar negara dan mampu menjana pendapatan yang lumayan hanya sebagai penebar roti canai.

"Ramai sebenarnya anak Melayu yang bekerja menebar roti canai di luar negara dan Padil berkata ia sebenarnya satu peluang yang terbuka untuk semua orang, membuktikan tidak semestinya tanpa pendidikan tinggi kita tidak boleh bekerja di luar negara," katanya.

Berita Harian X