Isnin, 11 April 2016 | 12:10am

Anak Awal, Scha selebriti laman sosial


KUALA LUMPUR: Pada usia 20 bulan, anak pasangan selebriti popular, Awal Ashaari dan Scha Alyahya ini menjadi antara personaliti dalam talian yang paling 'diburu' rakyat Malaysia.

Mengapa tidak, si comel, Lara Alana diikuti lebih 1.6 juta orang di laman Instagram. Atas populariti diraih, Lara atau dipanggil 'Datin Rara' oleh ibu dan pengikutnya, menjadi calon termuda yang disenaraikan dalam kategori online Anugerah Bintang Popular BH Ke-29.

'Datin Rara' bersaing dalam kategori Personaliti Media Sosial Popular di samping Amran Fans, Faizdickie, Kevin Zahri, Mat Lutfi, Queen Of Luna, Atita Haris, Ucop, Vivy Yusof dan Wak Doyok.

Sejak mula diperkenalkan di alam maya, boleh dikatakan apa saja yang dikongsi ibu bapa Lara melalui akaun laman sosialnya akan mengumpul 'like' dan tontonan tinggi.

Setiap aktiviti harian si comel ini pasti dikongsi dan dikemaskini. Ini termasuk gelagat Lara mengenakan pakaian hingga diperkenalkan hashtag, #raraootd (rara outfit of the day).

Lara juga mempunyai jenama busana sendiri di bawah label rarababylara yang turut dipromosikan di Instagram dan dijual di premis GardeRobe. Dalam perkembangan terbaharu, sejak Januari, Lara sudah dihantar menjalani prapersekolahan.

LARA Alana diikuti lebih 1.6 juta orang di laman Instagram.
LARA Alana diikuti lebih 1.6 juta orang di laman Instagram.

Scha memberitahu BH, dia melihat perkembangan anaknya melalui sudut positif. Mengaku ada komen negatif dilemparkan terhadap Lara, namun, baginya, masih ramai yang terhibur dengan keletah anaknya itu.

"Sejak mula lagi, ketika Awal membuat keputusan mewujudkan akaun Instagram dan berkongsi gelagat Lara secara terbuka, Scha menerimanya.

"Cuma baik Scha dan Awal, kami kena ingat setiap apa yang dikongsi dan didedahkan berkemungkinan besar akan mengundang maklum balas kurang enak. Jadi, kami kena terbuka dan terima semua ini kerana sudah membuat keputusan dari awal.

"Secara jujur, Scha sendiri sebagai ibu seronok melihat keletah dan cara Lara membesar. Jadi memang banyak penanda dan perkembangannya kami kongsi dengan pengikut. Daripada kecil mula merangkak, bertatih, berjalan dan bercakap... Ia satu perkara yang kami ambil positif untuk berkongsi cara didikan anak secara terbuka," katanya.

Scha memberitahu, bukan setakat mendidik khalayak, mereka juga menerima nasihat positif pengikut yang berniat baik memperbetulkan cara didikan yang diamalkan.

"Ada yang cakap cara didikan atau terma itu dan ini yang tidak sesuai... Jadi komunikasi dua hala terbentuk di situ.

"Pastinya, saya nampak dengan jelas ramai yang sayangkan Lara dan mendoakan yang baik untuknya. Saya amat tersentuh," kata Scha yang mengacarakan program Gempak Superstar di Astro bersama Sharnaaz Ahmad.

SCHA sebagai ibu seronok melihat keletah dan cara Lara membesar. - Foto Adi Safri
SCHA sebagai ibu seronok melihat keletah dan cara Lara membesar. - Foto Adi Safri

Scha jadi lebih matang

Ketika temubual dikendalikan, pelakon yang sinonim dengan karakter Dania menerusi drama rantaian popular, Awan Dania, tampak bahagia melewati fasa hidup sebagai isteri dan ibu.

Akui Scha, ia suatu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Malah, kehadiran Lara banyak mengubah dimensi diri bekas pengacara Melodi TV3 itu untuk menjadi insan lebih baik.

"Banyak lagi perjalanan yang akan ditempuhi, insya-Allah jika dipanjangkan umur. Banyak lagi ilmu kemanusiaan dan keibuan yang Scha masih belum belajar dan tidak dikongsi.

"Cuma kini, kehadiran Lara dan pangkat ibu banyak menjadikan Scha tabah dan menepis segala perkara negatif yang bertandang.

"Kalau dulu, masa zaman solo, dapat saja komen tak seronok, mulalah nak mengamuk, melenting dan meluahkan segala-galanya di laman sosial terutama Twitter," katanya.

SCHA dan Lara Alana
SCHA dan Lara Alana

Lara Alana memiliki lebih sejuta pengikut Instagram
Lara Alana memiliki lebih sejuta pengikut Instagram

KEHADIRAN Lara banyak mengubah dimensi diri Scha untuk menjadi insan lebih baik. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KEHADIRAN Lara banyak mengubah dimensi diri Scha untuk menjadi insan lebih baik. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Ibu, anak sama bersaing dalam ABPBH 29

Dengan populariti yang diraih Lara, tidak hairanlah, ia turut membuka pintu rezeki apabila si comel itu dilantik menjadi duta produk minuman kesihatan Yakult dan Johnson Baby.

Ini memberi peluang kepada Lara untuk menjana pendapatannya sendiri ketika masih bayi.

Malah, populariti Lara juga membuatkan pihak penganjur Anugerah MeleTOP ERA 2016 mengundangnya bersama Scha dan Awal untuk menjadi penyampai trofi.

"Lara belum ada pendapatan sendiri. Apa yang dilihat, semua kontrak adalah membabitkan saya dan Awal. Setiap kali dilantik menjadi duta dan diminta buat iklan, saya akan memohon kebenaran untuk membabitkan suami dan anak.

"Nasib baik pihak syarikat terbabit bersetuju dan secara tidak langsung keluarga akan terbabit sekali. Hasil kerja itu akan kami akan bahagi tiga.

"Sejujurnya, apabila Lara diangkat sebagai duta, bahagian dia kami masukkan ke dalam akaun peribadinya. Ia akan menjadi seperti dana dan tabungan untuk kegunaannya apabila meningkat dewasa.

"Wang itu juga akan digunakan untuk tujuan pengajian," katanya.

Mengaku terhutang budi dengan peminat, Scha menyanjungi setiap insan yang menyayangi anaknya itu.

ANAK pasangan selebriti popular, Awal Ashaari dan Scha Alyahya ini menjadi antara personaliti dalam talian yang paling 'diburu' rakyat Malaysia. - Foto Adi Safri
ANAK pasangan selebriti popular, Awal Ashaari dan Scha Alyahya ini menjadi antara personaliti dalam talian yang paling 'diburu' rakyat Malaysia. - Foto Adi Safri

"Scha amat bertuah, kerana kami dikurniakan rezeki begini. Scha terhutang budi kepada peminat kami yang menyayangi Lara.

"Kami tak mampu membalasnya. Ini termasuk pengeluar produk yang memberi kepercayaan untuk Lara menjadi duta mereka. Scha dan Awal hanya mampu mendoakan yang baik kepada semua pihak," katanya.

Selain Lara, Scha juga mara dalam dua kategori online dalam ABPBH 29 untuk kategori Artis Ikon Respek dan Aksi Selfie Popular.

Bagi kategori Artis Ikon Respek, Scha bersaing dengan Aishah Sinclair, Daphne Iking, Datuk AC Mizal, Datuk Aznil Nawawi, Hafiz Hamidun, Heliza Helmi, Maya Karin, Mizz Nina dan Sazzy Falak.

Kategori Aksi Selfie Popular, artis lain yang turut dicalonkan adalah Datuk Siti Nurhaliza, Elfira Loy, Emma Maembong, Fazura, Nazim Othman, Nora Danish, Saharul Ridzwan, Shukri Yahaya dan Zizan Razak.

Undian bagi kategori online ABPBH 29 masih dibuka sehingga 22 April depan. Peminat boleh mengundi dengan melayari www.abpbh.com.my.

Berita Harian X