Rabu, 6 April 2016 | 12:25am
ANTARA rutin senaman yang dilakukannya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
ANTARA rutin senaman yang dilakukannya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
NORMAN beruntung kerana dia tidak perlu menjalani diet secara intensif. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
NORMAN beruntung kerana dia tidak perlu menjalani diet secara intensif. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Usia bukan penghalang gaya hidup sihat - Norman


KUALA LUMPUR: Kepuasan menjaga dan membina badan bagi pelakon dan ahli perniagaan, Norman Hakim sukar digambarkan dengan kata-kata.

Disiplin ketat kepada diri sendiri dengan memastikan dia bersenam, sama ada di gimnasium atau tidak, antara 20 minit hingga 90 minit sehari memberi faedah besar kepada Norman, sekurang-kurangnya dia tidak perlu menjalani diet ketat untuk menjaga badan pada usia 40 tahun.

Pada satu tahap, rutin bersenam yang diamalkan sejak lima tahun lalu secara konsisten membuatkan dirinya kini lebih bertenaga.

Suami kepada Memey Suhaiza ini tidak melihat faktor umur sebagai kekangan untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Malahan pembukaan perniagaan pusat kesihatan, Mr Sado Gym & Fittnes di Petaling Jaya Ogos tahun lalu turut menjadi bukti kecintaan dan kesungguhan beliau terhadap dunia penjagaan kecergasan.

Lebih daripada itu, pusat senaman itu juga menjadi kelangsungan kepada dunia perniagaan yang diceburinya sejak beberapa tahun lalu selain tumpuan kepada lakonan.

NORMAN Hakim dengan badan sasanya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
NORMAN Hakim dengan badan sasanya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Disiplin menjadi kunci utama kepada kejayaan pelakon yang cukup terkenal menerusi drama dan filem Gerak Khas itu membina tubuh badan sasa atau "sado" yang digunakan ketika ini.

Malahan pada tahap ini juga, Norman beruntung kerana dia tidak perlu menjalani diet secara intensif kerana "sistem badannya sudah mula memahami dan membaca keupayaan dirinya".

"Terus terang memang saya tak lakukan diet ketika ini. Saya makan apa saja yang saya mahu sejak lima tahun lalu.

"Makanan berminyak pun saya ambil. Tapi tak semestinya cara saya dengan tak berdiet ini boleh dipraktikkan orang lain. Sistem badan kita masing-masing ada perbezaan. Saya pun sebenarnya tak sasarkan untuk dapat badan yang "berketul-ketul", cukup memiliki otot badan yang 'lean'.

"Cuma konsep saya, saya bakar apa saja yang dimakan dengan bersenam. Apa yang saya makan semalam akan dibakar dengan aktiviti bersenam keesokan harinya. Ia jadi motivasi untuk saya bangun setiap pagi untuk bakar semula segala jenis makanan yang dihadam. Nak dapat semua ini kena istiqamah. Paling penting pada tahap sekarang, saya tak boleh ketinggalan melakukan senaman kardio.

USIA bukan halangan buat Norman untuk menjalani gaya hidup sihat. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
USIA bukan halangan buat Norman untuk menjalani gaya hidup sihat. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Buat badan ini bukan boleh jadi terus hanya dalam sehari. Kita memang kena fokus dan terus istiqamah. Penetapan minda kena kuat. Selalunya kita sendiri tak perasaan hasil yang diperoleh selepas gigih bersenam. Tapi orang lain pasti akan menyedarinya. Malah ada yang perasan saya sudah 'sado' biarpun tak sasar jadi begitu," katanya yang mempunyai berat badan 90 kilogram.

Bagaimanapun Norman memberitahu hanya pada peringkat awal beliau mula berjinak-jinak dengan dunia gimnasium, diet menjadi elemen penting dalam mendapatkan hasil tubuh badan yang diingini.

Pastinya konsep perhatian kepada 70 peratus dalam menjaga soal pemakanan yang diambil dan selebihnya dengan senaman antara yang dipraktikkannya Norman ketika itu.

"Saya pernah setahun setengah tak jamah nasi awal pembabitan dulu. Cuma sebelum bina badan lagi, saya memang ada aktif bersukan. Saya memang kawal diet serta pemakanan saya.

"Diet saya ketika itu juga ada macam peringkat. Pernah pada ketika peratusan lemak dalam badan saya tak sampai 7 peratus. Kerja keras dan disiplin saling memainkan peranan.

DISIPLIN menjadi kunci utama buat Norman. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
DISIPLIN menjadi kunci utama buat Norman. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Pada tahap sekarang, jika saya ada sasaran contohnya perlu membuka baju untuk memenuhi undangan fotografi contohnya, saya memang kena jaga makan. Selalunya dua minggu sebelum sesi fotografi, saya akan kurangkan makanan berasaskan karbohidrat dan lebihkan kepada sumber protein," katanya yang turut membintangi filem Kabali di samping pelakon legenda Rajinikanth di Chennai, India Januari lalu.

Mengenai rutin senamannya, Norman menekankan dia bersenam hampir setiap hari. Selain melakukan senaman membabitkan beban atau peralatan, larian atau kayuhan membabitkan cardio juga menjadi kemestian.

Bagi Norman, 20 minit menjadi durasi minimum buatnya bersenam dan paling 'solid' selama sejam setengah sudah memadai.

"Kalau kita bersenam selama sejam contohnya, ia umpama 4 peratus saja masa yang diambil daripada keseluruhan (100 peratus). Saya pun ada komitmen kerja seni, keluarga dan perniagaan. Cuma rutin bersenam ini sudah menjadi gaya hidup saya dan ia tak boleh dilepaskan setiap hari. Macam kalau saya sibuk manapun, saya cuba curi masa untuk bersenam.

"Macam Januari lalu saya ke India menjalani penggambaran filem Kabali, saya tetap mahu bersenam biarpun tak ada kemudahan. Saya boleh lakukan senaman seperti 'pumping', 'push-up', 'sit-up' dan 'crunches' di bilik hotel saja selama 20 minit. Malah katil yang berat juga menjadi beban untuk saya angkat.

PELAKON, Norman Hakim di Sado Gym miliknya yang terletak di Taman Sri Manja. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PELAKON, Norman Hakim di Sado Gym miliknya yang terletak di Taman Sri Manja. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Selalunya juga apabila kita mengamalkan gaya hidup aktif begini, kalau bercuti sekalipun... memang ketika berjalan pun saya akan cuba cenderung menukarnya menjadi berlari secara perlahan atau pecutan," katanya.

Di akhir temubual, Norman juga menjelaskan pembukaan gimnya juga mempunyai signifikan tersendiri buat beliau.

Berita Harian X