Sabtu, 26 March 2016 | 12:19am

Perit menahan ketagihan

BUKAN mudah, susahlah nak berhenti. Itulah antara alasan yang lazim digunakan perokok tegar apabila dinasihatkan berhenti merokok.

Hakikatnya memang sukar berhenti merokok kerana penangan dan tarikan nikotin menimbulkan rasa ketagihan.

Faktor ini menyebabkan sebahagian besar perokok yang mempunyai niat berhenti gagal membebaskan diri daripadanya.

Mana tidaknya, nikotin dan pelbagai racun dalam asap rokok hanya mengambil tujuh saat untuk sampai ke otak dan memberikan kesan keseronokan kepada penghisapnya, menyebabkan niat murni itu terhalang.

Namun, seperti pepatah Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Berhenti merokok bukanlah sesuatu yang mustahil. Pengalaman itu dikongsi penyanyi, Imran Ajmain, 35, yang sudah lebih lima tahun berhenti merokok.

Merokok seawal usia

Mengakui mula merokok sejak berusia 14 tahun, penyanyi itu menyatakan kali terakhir dia merokok adalah pada 28 Februari 2012 selepas membuat persembahan di Pavilion, Kuala Lumpur.

"Ketika itu saya tidak dapat menyanyi dengan sempurna kerana kurang sihat namun saya masih tetap menerima ajakan seorang rakan untuk merokok selepas membuat persembahan kerana tarikan baunya.

"Kemudian setelah asyik terbatuk-batuk ketika merokok, tiba-tiba terdetik di hati saya supaya terus berhenti dan itulah kali terakhir saya merokok walau sudah beberapa kali cuba berhenti sebelum itu," katanya ketika dihubungi, BH Sihat, baru-baru ini.

Katanya, sebelum ini sudah beberapa kali cuba berhenti merokok tetapi selalu sahaja gagal. Dia hanya berhenti sementara apabila kurang sihat dan akan sambung semula dua atau tiga hari selepas sembuh.

"Bagi individu yang dalam proses berhenti merokok, bau asap rokok menjadi godaan besar. Tidak tahan dugaan, mereka boleh kembali merokok hanya kerana bau tembakau.

"Justeru, kekuatan diri amat penting kerana tanpa kemahuan yang tinggi, tidak mustahil seseorang kembali merokok," katanya.

Laman sosial cetus motivasi

Bercerita lanjut, Imran berkata pada peringkat awal cubaan berhenti merokok, beliau merahsiakan tindakannya itu daripada pengetahuan ramai terutama peminat dan hanya mendedahkannya selepas 100 hari.

"Saya menulis 'hari pertama', 'hari kedua' sehinggalah hari ke-100 menerusi laman sosial Twitter sehingga menimbulkan pertanyaan ramai pihak.

"Pelbagai spekulasi ketika itu sehinggakan ada yang sangka saya sedang mengira hari untuk tarikh pelancaran album. Ada pula yang menyangka saya mengira hari mendirikan rumah tangga," katanya.

Imran berkata, dia mengaku tempoh awal cubaan berhenti merokok bukanlah mudah.

Sepanjang tempoh itu beliau berkata, dia mudah marah. Dia mula banyak mengambil makanan untuk menghilangkan ketagihan. Keadaan ini menyebabkan berat badan saya bertambah.

Awalnya sekadar mencuba

Menceritakan kembali pengalamannya merokok sejak sekolah menengah, Imran berkata, tarikan rokok ketika itu lebih besar kerana kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap bahaya rokok masih rendah.

Malah, katanya, pelajar mahupun orang-orang tua merokok ketika itu hanyalah kebiasaan dan masih belum wujud stigma bahawa pelajar merokok sebagai `budak jahat'.

"Saya mula merokok ketika di sekolah menengah kerana ingin mencuba dan mengetahui rasa rokok. Ketika itu, saya tidak begitu ketagih namun setelah melalui alam pekerjaan tabiat merokok menjadi-jadi.

"Kebetulan pula, saya dikelilingi perokok tegar dan tabiat itu sukar dibendung. Setiap kali tertekan dan penat, saya pergi merokok dan rutin itu menyebabkan saya sering batuk dan tidak sihat.

"Saya pernah cuba berhenti merokok pada bulan Ramadan kerana memikirkan kalau dapat menahan diri daripada merokok selama 18 jam kenapa tidak boleh berhenti terus.

"Tetapi cubaan itu gagal kerana masih kurang kesedaran. Saya bersyukur kerana akhirnya dapat berhenti dalam tempoh 100 hari kerana tidak mampu menanggung kesan merokok," katanya.

Cepat sedar bahaya nakotin

Beliau merasakan keputusan berhenti merokok itu adalah keputusan terbaik pernah dilakukan dalam hidupnya.

Katanya, ada fatwa menyatakan rokok itu haram kerana apabila seseorang itu merokok sebenarnya mereka sedang memusnahkan dirinya sendiri.

"Kita semua mengetahui akan bahaya merokok, benarlah kita memudaratkan diri. Fakta perubatan juga membuktikan aktiviti merokok adalah amalan membunuh diri dengan perlahan.

"Daripada menggunakan duit itu untuk melayan ketagihan seperti itu, lebih baik gunakan untuk tujuan yang lebih baik," katanya.

Rokok punca penyakit bahaya

  • Asap rokok mengandungi 4,000 bahan kimia, 200 daripadanya beracun dan 63 lagi punca kanser.

Kandungan racun dalam rokok iaitu:

  • Tar, bahan asas membuat jalan,
  • Nikotin, racun serangga
  • Aacetone, penanggal pengilat kuku
  • Arsenic, racun anak-anai
  • Ammonia, pencuci lantai
  • Formaldehyde, bahan pengawet mayat
  • Naphthylamine, ubat gegat
  • Nikotin bertindak balas dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan.
  • Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung berpunca daripada tabiat merokok.
  • Risiko kesihatan yang dikaitkan dengan asap rokok termasuk ketagihan, katarak, sakit dada atau angina (20 kali ganda), kemurungan, ulser duodenum, alahan kronik dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD).
  • Serangan ini menyebabkan keupayaan paru-paru merosot, merosakkan sistem imun, menopaus awal, psoriasis dan arthritis.
  • Bahan racun dalam asap rokok mengakibatkan pengurangan bilangan sperma dan merangsang pembentukan sperma tidak normal (yang tidak mampu melakukan persenyawaan).
  • Ini menyebabkan kemerosotan kesuburan sebanyak 30 peratus.

  • Bahan kimia dalam asap rokok juga menyebabkan penyempitan salur darah dalam uri dan biasanya bayi yang dilahirkan ibu perokok agak kecil (intrauterine growth retardation, IUGR).
  • Suhu api rokok ialah 900 darjah celsius, boleh menyebabkan reaksi kimia. Asap rokok mengandungi banyak zat kimia dengan jumlah mencapai lebih 3,000 jenis.
  • Sekitar 1,200 jenis zat kimia ini adalah racun dan kebanyakan racun ini merangsang pembentukan barah.
  • Asap rokok, cerut atau paip terdiri daripada dua bahagian iaitu bahagian isi dan gas. Bahagian isi terdiri daripada pelbagai sebatian racun yang boleh membunuh antaranya nikotina, fenol, kresol dan piren.

INFO: Panduan berhenti merokok

  • Pengambilan buah-buahan dapat menghalang keinginan merokok. Amalkan mengunyah kismis (atau buah-buahan kering lain) perlahan-lahan. Kandungan fruktosa membantu membina perlindungan terhadap kesan nikotin rokok.
  • Minum air dalam kuantiti yang banyak setiap kali terasa hendak merokok.
  • Kunyah makanan seperti gula-gula getah atau gula-gula berperisa pudina tanpa gula untuk membatasi keinginan merokok.
  • Amalan pemakanan herba seperti halia dan cengkih. Halia mempunyai kuasa `bakar' seperti rokok. Anda boleh mengunyah cengkih. Selain membuat nafas segar, cengkih juga mengandungi bahan antiseptik.
  • Sederi, lobak merah, buahbuahan segar dan salad membantu menghilangkan keinginan merokok. Bawa dalam bekas buah-buahan atau sayur yang dipotong ke mana sahaja anda pergi. Amalkan mengunyah perlahan-lahan. Lebih lama anda mengambil masa untuk makan, lebih kurang keinginan untuk merokok.
  • Ambil makanan kaya galian seperti susu. Kalsium dalam susu dikatakan dapat menenangkan gerak balas yang menyebabkan anda ingin merokok. Caranya, pastikan susu segar atau skim sentiasa ada. Apabila keinginan muncul, tuang segelas susu dan minum perlahan-lahan.
  • Minum teh herba. Caranya, bancuh teh (tanpa gula) dan masukkan perahan limau nipis dan madu. Minum beberapa cawan (teh yang baru disediakan) setiap hari.
  • Kuatkan semangat anda untuk berhenti merokok. Jangan terpengaruh dengan ajakan atau perlakuan kawan. Katakan pada mereka, anda sedang berusaha untuk berhenti.
  • Sentiasa tanamkan motivasi diri dan jika anda berjaya berhenti merokok, beri penghargaan kepada diri sendiri.
Berita Harian X