Ahad, 20 March 2016 | 12:01am

Corak penulisan wanita tidak berubah

HAFIZAH (kiri), Sarah dan Ridzuan berkongsi pengalaman pada sesi Kata Pembaca, Kata Pengarang di Rumah Pena. - Foto Mahzir Mat Isa
HAFIZAH (kiri), Sarah dan Ridzuan berkongsi pengalaman pada sesi Kata Pembaca, Kata Pengarang di Rumah Pena. - Foto Mahzir Mat Isa

BENARKAH penulis wanita masih terperangkap dalam ideologi dan gaya penulisan tipikal sehingga gagal menjelmakan pembaharuan, sebaliknya hanya menyogok pembaca dengan karya bersifat 'biasa-biasa' yang melingkari kehidupan mereka seperti hal kekeluargaan, kemasyarakatan dan isu moral?

Kritikan keras itu dilemparkan pengarang yang banyak menulis kritikan sastera, Zaleha Ahmat ketika mengulas kumpulan cerpen Salina Ibrahim bertajuk G.P.S pada acara Kata Pembaca Kata Pengarang (KPaP) di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, beliau bimbang dengan corak penulisan wanita yang tidak berubah, terutama olahan dan teknik penceritaan yang masih dibuai dalam tema bersifat 'ulangan' dengan kebanyakannya belum mampu menandingi kreativiti pengarang lelaki.

"Saya pelik mengapa penulis wanita cenderung menulis hal sosial, politik dan masyarakat, bukanlah tidak boleh, tetapi banyak benda baharu yang sepatutnya digali daripada menulis hal sama.

"Pengarang yang saya lihat betul-betul bagus teknik dan olahannya ialah Roslan Jomel dan Saharil Hasrin Sanin, manakala penulis wanita yang boleh dianggap baik seperti Nisah Haron kerana sifatnya yang rajin dan menulis sesuatu yang lain daripada yang lain," katanya.

Tema sama, hal biasa

Ketika mengulas mengenai kumpulan cerpen G.P.S, Zaleha berkata, hanya dua daripada 13 cerpen karya Salina yang menyerlah dan luar biasa.

"Sebagai pembaca karya Salina sejak 15 tahun lalu, tentunya saya mahukan sesuatu yang berbeza daripada karyanya, tetapi beliau masih menulis tema sama dan hal biasa, bahkan ada isu yang diangkat pernah ditulis dalam kumpulan cerpennya, Di Bawah Langit Copenhagen.

"Bagaimanapun, ada dua cerpennya yang baik dalam G.P.S, iaitu Gajah Pekan Mati kerana ia bersifat 'gender neutral', iaitu tidak menulis mengenai jantina sama ada lelaki atau wanita dan Telah Dipulangkan Jantung Itu yang sewajarnya diangkat sebagai tajuk kumpulan cerpen ini.

"Kekuatan bahasa Salina pula sangat baik tetapi faktor itu sebenarnya agak berbahaya kerana ia mungkin mampu mengaburi penilai jika ia dipertandingkan dalam sesebuah sayembara," katanya.

PENGARANG Cerpen G.P.S, Salina Ibrahim. - Foto Mahzir Mat Isa
PENGARANG Cerpen G.P.S, Salina Ibrahim. - Foto Mahzir Mat Isa

Tidak lihat secara negatif

Memberikan reaksi kepada pandangan Zaleha, Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir menyifatkan tanggapan penulisan pengarang wanita sebagai 'tipikal' tidak seharusnya dilihat dalam konteks negatif semata-mata.

"Saya mengikuti penulisan pengarang wanita seperti Mawar Shafei, Nisah dan Lili Haslina yang sememangnya ada satu bentuk yang disebutkan sebagai tipikal yang melingkari dunia mereka.

"Namun, saya tidak melihatnya secara negatif kerana unsur tipikal itu sangat rapat dengan jiwa wanita, bahkan ia boleh bergerak antara dua, iaitu menjadi sumber kekuatan atau kelemahan mereka.

"Apabila kita terlalu menuntut pembaharuan, saya khuatir ia tidak akan ke mana-mana, malah menggoyahkan kekuatan yang sedia ada terbina," katanya.

SALINA (kiri), Sarah (tengah) bersama Zaleha berkongsi pengalaman selepas membaca cerpen, pada sesi Kata Pembaca, Kata Pengarang di Rumah Pena. - Foto Mahzir Mat Isa
SALINA (kiri), Sarah (tengah) bersama Zaleha berkongsi pengalaman selepas membaca cerpen, pada sesi Kata Pembaca, Kata Pengarang di Rumah Pena. - Foto Mahzir Mat Isa

Legasi prosa lebih kukuh

Pandangan hampir selari daripada kaca mata pengarang lelaki turut disuarakan oleh Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Mohd Ridzuan Harun ketika mengulas selaku pembaca karya kumpulan cerpen Perempuan Berambut Merah, tulisan Hafizah Iszahanid dengan menyifatkan legasi penulisan prosa dalam kalangan penulis wanita lebih kukuh berbanding genre puisi.

"Sebagai orang puisi, saya fikir ramai pengarang wanita dalam genre prosa mampu meneruskan legasi yang dibina oleh penulis prolifik seperti Fatimah Busu dan Azmah Nordin.

"Bagaimanapun, dalam konteks puisi, kedudukan penulis wanita masih nipis dan belum cukup kuat untuk berdiri sebagai penyair," katanya.

Berita Harian X