Jumaat, 18 March 2016 | 12:13am
PELAKON, Zulin Aziz di malam gala filem Rembat di Cathy Cineplex, The Curve. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Zulin Aziz di malam gala filem Rembat di Cathy Cineplex, The Curve. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Peminat tak "restu" hubungan Zulin-Ariz

BIARPUN masing-masing menafikan wujudnya hubungan cinta antara mereka, sebaliknya sekadar bersahabat, namun keakraban pelakon, Zulin Aziz, 26, dengan anggota kumpulan Forteen, Ariz Lufias, 27, sering menjadi bualan hangat peminat.

Dilihat ibarat belangkas ketika menghadiri majlis dan acara hiburan bersama-sama, mereka juga ada kala menggayakan pakaian sedondon, yang tentu saja menguatkan lagi ura-ura mengatakan mereka sedang berkasih.

Bagaimanapun segelintir peminat kurang bersetuju dengan keintiman dua selebriti ini. Bagi mereka, kedua-duanya pasangan yang dilihat tidak sesuai. Wanita yang turut dikenali sebagai artis komedi dan pengacara itu paling teruk dikritik peminat Ariz dalam hal berkenaan, berbanding si jejaka.

Baik Ariz mahupun Zulin, masing-masing kini dilihat sudah jarang memuat naik video dan gambar mereka bersama di media sosial. Malah, persahabatan mereka juga dikatakan renggang dek cacian yang dilemparkan oleh peminat penyanyi berkulit putih ituAriz .

PEMINAT kurang bersetuju dengan keintiman dua selebriti ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PEMINAT kurang bersetuju dengan keintiman dua selebriti ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Kami tidak bertengkar atau bermasam muka, sebaliknya persahabatan yang dibina renggang kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing. Zulin semakin ligat merencana kerjaya seninya dan membataskan waktu untuk melepak seperti dulu.

"Kali terakhir kami meluangkan masa bersama adalah pada tahun lalu. Siapa yang mengikuti akaun Instagram Zulin pasti maklum dengan kesibukan jadualnya kerana terikat dengan pelbagai kerja pada satu masa.

"Lumrah dalam berkawan, tidak selamanya kita akan rapat. Ada kalanya akan renggang juga. Tidak selama-lamanya kita akrab seperti dulu. Keadaan inilah yang membuatkan pelbagai gosip mengenai persahabatan kami timbul," katanya kepada BH.

Tenang menyambung bicara, Ariz memahami situasi Zulin apabila peminat sukar untuk menerima kenyataan apabila beliau terlalu rapat dengan artis wanita itu. Tegas Ariz, beliau tidak dapat berbuat apa-apa bagi menangani kemelut antara Zulin dengan peminat tegarnya.

Ariz atau pemilik nama penuh Saiful Ridzuan Abdul Hamid mengakui, selama ini beliau tidak mempunyai ramai kawan karib. Keadaan itu barangkali jelas kelihatan di mata orang ramai, menyebabkan ada peminat yang sukar 'merestui' persahabatannya dengan Zulin.

ARIZ Forteen. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
ARIZ Forteen. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

 ARIZ mahupun Zulin, masing-masing kini dilihat sudah jarang memuat naik video dan gambar mereka bersama di media sosial. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ARIZ mahupun Zulin, masing-masing kini dilihat sudah jarang memuat naik video dan gambar mereka bersama di media sosial. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya memahami keadaan Zulin yang sedih dicemuh dan dikutuk dari pelbagai segi. Lumrah kehidupan, tidak semua orang menyukai kita. Namun saya simpati dengannya apabila terkena tempiasnya hanya kerana rapat dengan saya. Namun, ada juga yang memberikan kata-kata positif mengenainya.

"Mungkin lebih baik kami tidak terlalu kerap memuat naik gambar bersama bagi mengelakkan gosip cinta itu timbul lagi. Ia juga berikutan cerita kami bercinta lebih digembar-gemburkan oleh semua pihak berbanding kerjaya seni kami sendiri.

"Bagaimanapun, jika tiada aral melintang, saya dan Zulin akan bekerjasama untuk sebuah projek yang tidak boleh dikongsi bersama umum ketika ini. Sekiranya perancangan yang dibuat itu menjadi, pasti saya akan bercerita lebih lanjut lagi kepada semua," kata Ariz.

Dalam perkembangan lain, kata Ariz, beliau bersama anggota Forteen yang lain sibuk mempromosikan single baharu berjudul Dekat Tapi Jauh. Single ketujuh mereka itu adalah ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim dan masih mengekalkan identiti Forteen yang memperjuangkan muzik pop.

Dekat Tapi Jauh mengisahkan perasaan cinta yang tidak diluahkan dan hanya memandang individu yang dicintai dari kejauhan. Lagu berentak rancak itu meleraikan cinta yang terbuku di sudut hati, namun tidak dapat diungkapkan.

Berita Harian X