Selasa, 15 March 2016 | 12:00am

Kungfu Panda 3, kelakar dan hebat macam dulu

MENGEKALKAN mutu untuk sesebuah filem susulan bukan usaha mudah. Acap kali berlaku sekuel filem yang dibikin tidak mampu menandingi keampuhan naskhah sebelumnya. Pernah juga berlaku, judul susulan dihentam teruk kerana gagal mengulangi pencapaian karya awal siri berkenaan.

Ia bagaimanapun, berbeza dengan Kungfu Panda 3 yang menemui penonton bermula 10 Mac lalu. Diperkenalkan kepada dunia bermula tahun 2008, filem animasi yang menampilkan watak beruang panda bertubuh comel dan mahir dalam seni bela diri kung fu itu terus menggamit perhatian orang ramai.

Bukan sekadar watak Po si Dragon Warrior yang memikat hati, malah pelbagai karakter lain daripada spesies berbeza turut ditampilkan. Filem ini juga diperkemaskan dengan skrip yang membuatkan penonton terleka mengikuti perjalanan cerita dan visual hebat yang mengasyikkan.

Begitu juga dengan aksi mendebarkan yang ditonjolkan, meskipun umum mengetahui ia sekadar hasil kecanggihan teknologi grafik komputer. Apabila ketelitian menjadi keutamaan, maka akan terhasil sebuah naskhah hebat. Semua itu terbukti menerusi filem animasi terbitan syarikat produksi DreamWorks Animation, Oriental DreamWorks, China Media Capital dan Shanghai Media Group ini.

Dalam siri ketiga filem ini, Po dengan gelagat dan sikap huru-haranya sekali lagi menggeletek jiwa khalayak. Sesuai dengan tayangannya pada musim cuti sekolah, judul terbaharu ini pastinya menjadi bahan tontonan wajib bagi penggemar filem animasi.

Dalam siri ketiganya, Po yang masih menggunakan suara Jack Black mengambil alih tugas Master Shifu untuk mengajar ilmu seni mempertahankan diri. Segala ilmu yang dimilikinya bagaimanapun, belum cukup hebat untuk menandingi kemahiran Kai, seekor kerbau jahat, yang mahu menghapuskan anak didik Grand Master Oogway, si kura-kura yang mempunyai kuasa luar biasa.

Kai tidak berpuas hati dengan ilmu Oogway yang memiliki kuasa diperturunkan oleh sekumpulan panda, suatu ketika dulu. Satu persatu chi yang ada pada anak didik Oogway diserap olehnya, termasuk yang dimiliki rakan-rakan Po iaitu Viper, Monkey, Mantis, Crane dan Shifu sendiri. Tigress bagaimanapun, sempat menyelamatkan diri daripada turut menjadi mangsa si jahat berkenaan.

Pada masa sama, Po dipertemukan kembali dengan bapa kandungnya, Li Shan. Hal itu membuatkan bapa angkatnya, Ping, tidak berpuas hati dan meragui apakah Li Shan ialah bapa Po yang sebenar.

Po pula, dalam usahanya untuk menewaskan Kai, perlu menguasai ilmu chi dimiliki Oogway. Dia mesti mendapatkan kuasa itu daripada sekumpulan panda yang tinggal di sebuah perkampungan rahsia di atas gunung.

Li Shan membawa Po kembali ke kawasan pergunungan itu untuk menemui sebahagian panda lain yang masih hidup. Ping yang meragui Li Shan bagaimanapun, turut sama mengikuti perjalanan itu.

Kai pula terus memburu Po bagi memperkuatkan lagi kuasanya selain berazam menghapuskan saki-baki panda yang ada. Bagi menyelamatkan bangsanya daripada kejahatan Kai, Po mengajar panda lain berkung fu.

Tetap membanggakan seperti naskhah pertama dan kedua, pengarahnya, Jennifer Yuh Nelson dan Alessandro Carloni berjaya menghasilkan filem yang sarat dengan elemen hiburan, aksi dan lawak.

Tidak diketepikan mereka ialah mesej berguna kepada penonton, sama ada cilik mahupun dewasa iaitu nilai persahabatan dan kekeluargaan yang tidak harus dilupakan dalam apa juga situasi dihadapi. Hubungan itu akhirnya menjadi senjata terbaik ketika diri dilanda musibah dan konflik.

Dengan cerita yang ringkas tetapi menghiburkan, khalayak juga akan kagum dengan kesan visual, terutama apabila dipersembahkan dalam versi tiga dimensi (3D). Ia membuatkan karakter dan persekitaran tampak lebih hidup. Semua elemen itu pula pastinya menjadikan hiburan pada musim ini lebih bermakna.

Judul: Kung Fu Panda 3

Pengarah: Jennifer Yuh Nelson dan Alessandro Carloni

Pelakon: Jack Black sebagai Po, Angelina Jolie (Tigress), Dustin Hoffman (Master Shifu), JK Simmons (Kai), Lucy Liu (Viper), Jackie Chan (Monkey), Seth Rogen (Mantis), David Cross (Crane) dan Bryan Cranston (Li Shan)

Genre: Animasi / Aksi / Komedi / Pengembaraan

Durasi: 1 jam 30 minit

Tarikh tayangan: Mulai 10 Mac 2016

Berita Harian X