Selasa, 8 March 2016 | 12:15am

Warisan kimono dipertahankan

TERDAPAT lebih 100 corak kimono dihasilkan dan bilangannya ditambah dari semasa ke semasa bergantung kepada permintaan. - Foto NSTP
TERDAPAT lebih 100 corak kimono dihasilkan dan bilangannya ditambah dari semasa ke semasa bergantung kepada permintaan. - Foto NSTP

KIMONO yang pernah menjadi pakaian harian masyarakat Jepun, kini lebih dikenali sebagai pakaian tradisional negara matahari terbit itu.

Justeru itu, kimono kini lebih cenderung dikenakan wanita pada hari-hari istimewa atau tertentu, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Seiring dengan peralihan zaman dan kemajuan dicapai negara itu, kebanyakan generasi baharu di negara itu lebih senang mengenakan pakaian moden.

Apatah lagi, ibu negaranya iaitu Tokyo dikenali sebagai antara kota fesyen gah di Asia dengan menampilkan pelbagai rekaan dan gaya fesyen, termasuk yang unik serta pelik.

Biar pun diasak arus kemodenan dan dipengaruhi budaya barat, pembuatan baju tradisional ini masih terus bertahan.

Walaupun, tidak ramai pengusaha bertahan dalam industri ini kerana permintaan semakin berkurangan, masih ada yang gigih mempertahankannya.

Generasi ketiga pusat tenunan, Usui Shokufu di Ise Momen yang terletak di Shenshuji, wilayah Mie Prefecture di Nagoya, Jepun antara yang kekal dan memberikan komitmen tinggi bagi menghasilkan kimono.

KAEDAH penghasilan kimono dilakukan secara kaedah tradisional, bermula daripada pintalan benang hinggalah ditenun menjadi kain. - Foto NSTP
KAEDAH penghasilan kimono dilakukan secara kaedah tradisional, bermula daripada pintalan benang hinggalah ditenun menjadi kain. - Foto NSTP

PRESIDEN Usui Shokufu, Naruo Usui mahu kimono terus menjadi satu kebanggaan warisan budaya masyarakat Jepun. - Foto NSTP
PRESIDEN Usui Shokufu, Naruo Usui mahu kimono terus menjadi satu kebanggaan warisan budaya masyarakat Jepun. - Foto NSTP

Kekalkan kaedah tradisional

Presiden Usui Shokufu, Naruo Usui, berkata ia bukan sekadar meneruskan legasi perniagaan keluarga tetapi kecintaannya terhadap warisan seni budaya dan tradisional negara.

Justeru itu, perniagaan tradisi dan warisan keluarga itu menjadi satu kebanggaan dalam mengekalkan warisan budaya masyarakat di negara itu.

"Perniagaan keluarga ini sudah berusia lebih 200 tahun. Dulu, hanya kimono untuk pakaian harian saja dihasilkan manakala penghasilannya pula semua dibuat secara manual. Malah, kini walaupun sudah ada mesin tenunan moden, kami masih mengekalkan kaedah tradisional," katanya ketika ditemui di kilang tenun, Usui Shokufu di Ise Momen, baru-baru ini.   

Sememangnya unik, pembuatan kimono di sini dilakukan secara kaedah tradisional, bermula daripada pintalan benang hinggalah ditenun menjadi kain. Lalu, terhasil kimono yang cantik dan anggun untuk digayakan.

Malah, kilang tenunan Usui Shokufu juga masih mengekalkan konsep rumah kedai tradisional daripada kayu yang menjadi pusat tenunan memintal benang, proses mencelupkan warna, membuat kimono, menyimpan stok kain kapas dan juga produk siap.

BIARPUN diasak arus kemodenan dan dipengaruhi budaya barat, pembuatan baju tradisional Jepun ini masih terus bertahan. - Foto NSTP
BIARPUN diasak arus kemodenan dan dipengaruhi budaya barat, pembuatan baju tradisional Jepun ini masih terus bertahan. - Foto NSTP

Ramai beralih perniagaan

Bagaimanapun, Naruo mengakui, banyak cabaran dan rintangan ditempuhi dalam meneruskan perniagaan legasi keluarga itu. Lebih-lebih lagi, pemakaian kimono dalam kalangan masyarakat Jepun pada masa kini, tidak begitu meluas lagi seperti suatu ketika dulu.

Katanya, malah sebelum ini banyak pengusaha gulung tikar dan beralih pada perniagaan lain yang lebih memberikan pulangan lumayan.

Tambahan, kos untuk menghasilkan kimono semakin meningkat manakala pembuatannya rumit, lebih-lebih lagi jika menggunakan kaedah tradisional. Selain itu, tidak ramai golongan muda berminat untuk bekerja dalam industri itu.

Kepakaran membuat kimono diwarisi dari generasi ke satu generasi dan pada masa kini, golongan mahir kebanyakan sudah pun berusia.

"Usui Shokufu adalah satu-satunya perusahaan tenunan fabrik di Ise Momen yang menghasilkan kimono pada masa kini. Kami menghasilkan kimono daripada 100 peratus kain kapas dan ia bermutu tinggi, licin serta lembut dan cukup selesa dipakai. Selain dipakai masyarakat tempatan, ada juga pelancong luar yang berminat memiliki kimono kami," katanya.

Corak tenunan

Naruo berkata, kimono dihasilkan menggunakan corak tenunan lama, seperti jalur yang dikenali dengan nama seperti kijoro, kasane, futon, yatara dan sebagainya serta corak berkotak merangkumi, window dan benkei. Hingga kini, terdapat lebih 100 corak dihasilkan dan bilangannya ditambah dari semasa ke semasa.

Selain mengekalkan corak tradisional, Usui Shokufu juga tidak lupa memperkenalkan corak moden yang menjadi pilihan generasi baharu hari ini.

Katanya, corak moden dan menggunakan warna cerah menjadikan pemakai kelihatan muda dan aktif manakala rona samar, sesuai untuk mereka sudah berusia, memperlihatkan kelembutan pemakainya.

"Ada pelbagai jenis kimono seperti formal yang dipakai untuk acara tertentu manakala kain kapas yukatas, dipakai di rumah untuk hari-hari. Dulu, mungkin kimono dipakai setiap hari tetapi kini lazimnya, ia pakai untuk menghadiri majlis atau acara tertentu seperti perkahwinan dan hari perayaan," katanya.

Naruo berkata, untuk menghasilkan kimono sebanyak 12.5 meter kain diperlukan manakala masa diambil untuk menyiapkan satu kimono adalah tidak menentu. Harga untuk satu kimono yang diperbuat daripada kain kapas kini dijual pada harga lebih RM800 satu.

Berita Harian X