Isnin, 7 March 2016 | 12:03am

Racun orientalis Barat kelirukan Timur

AHLI panel Wacana Bersiri 2016 Manuskrip Alam Melayu Peringkat Antarabangsa, Md Zuraini Mashrom (kanan) dan Prof Madya Dr Mohd Syukri Yeoh Abdullah di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. - Foto Saifullizan Tamadi
AHLI panel Wacana Bersiri 2016 Manuskrip Alam Melayu Peringkat Antarabangsa, Md Zuraini Mashrom (kanan) dan Prof Madya Dr Mohd Syukri Yeoh Abdullah di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. - Foto Saifullizan Tamadi

RACUN yang disebarkan orientalis Barat menerusi ilmu dan kajian negatif terhadap perkembangan Islam dan budaya di alam Melayu memberikan kesan cukup besar khususnya kekeliruan sejarah, pemikiran serta penghayatan agama dalam masyarakat.

Campur tangan mereka dengan merampas manuskrip dan melakukan kajian semula terhadapnya secara tidak langsung, mengubah kiblat sistem kehidupan masyarakat Islam di alam Melayu sehingga lebih terarah kepada kehidupan kebaratan.

Hal itu dikupas secara tuntas dalam Wacana Bersiri 2016 Manuskrip Alam Melayu Peringkat Antarabangsa di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Dalam wacana itu, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu (PPMAM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, Prof Madya Dr Mohd Syukri Yeoh Abdullah yang membentangkan makalah berjudul Refleksi Sejarah Ilmu Tarekat Rohani Alam Melayu.

Mohd Syukri berkata, proses Islamisasi di alam Melayu yang bermula pada awal abad ke-8 hingga 17 Masihi dicemari dengan kehadiran penjajah Barat yang mempunyai niat jahat untuk menguasai ilmu dan ekonomi di Timur.

Bunuh ulama, rampas manuskrip

"Kesan penjajahan Barat seperti membunuh ulama mursyid, merampas manuskrip dan melakukan kajian semula terhadapnya sehingga ia menjadi sumber rujukan primer menyebabkan kerosakan disiplin ilmu dalam Islam.

"Salah satu disiplin ilmu yang terjejas ialah tarekat rohani yang berkembang daripada zaman Rasulullah SAW sehingga tersebar ke dunia Arab dan alam Melayu.

"Kesan campur tangan itu menyebabkan salah faham terhadap disiplin ilmu berkenaan sehingga menyamakannya dengan ilmu tasawuf sedangkan ia menjadi komponen penting seperti fiqh dan tauhid dalam tarekat rohani," katanya pada acara anjuran bersama ATMA dengan kerjasama Pusat Islam UKM.

Beliau turut menjelaskan proses Islamisasi di alam Melayu 'diganggu' oleh penjajah atas beberapa faktor antaranya bukan saja bagi mengaut kekayaan sumber buminya, bahkan bagi menebus semula kekalahan pada Perang Salib.

"Sarjana Barat, Jacques Barzun ada menyebut dalam kajiannya bahawa penjelajahan bangsa Eropah ke Asia bermatlamatkan 'Gold, Glory and the Gospel,' iaitu mencari kekayaan, kejayaan dan menyebarkan agamanya.

KETUA Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu (PPMAM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, Prof Madya Dr Mohd Syukri Yeoh Abdullah. - Foto Saifullizan Tamadi
KETUA Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu (PPMAM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, Prof Madya Dr Mohd Syukri Yeoh Abdullah. - Foto Saifullizan Tamadi

Tebus kekalahan Perang Salib

"Kenyataan itu juga diperkukuh dengan kenyataan Karel Blei apabila penjelajah Eropah, Christopher Columbus memulakan pelayaran ke Timur buat pertama kalinya yang mengakui bukan hanya ingin berdagang dengan penduduk tempatan, bahkan menukar agama mereka.

"Selain itu, kekalahan pada Perang Salib ke-8 juga mendorong untuk Barat menebusnya semula menerusi cara penjajahan," katanya.

Katanya, selepas Perang Salib ke-8, lebih ramai orientalis Barat muncul dengan melakukan penyelidikan terhadap manuskrip Timur yang dirampas ketika penjajahan.

"Banyak hasil penyelidikan Barat yang menjadi sumber rujukan primer ketika kiblat ilmu dari Islam dialih ke Barat.

"Antaranya menimbulkan keraguan ke atas Al-Quran dengan membuat penafian kesahihan pengumpulan naskhah itu yang dimulakan oleh Saidina Abu Bakar, membuat dakwaan mistik Kristian sebagai asas yang mempengaruhi tasawuf dan merendahkan Nabi Muhammad SAW.

"Lebih parah apabila kajian Barat ini diguna pakai oleh sebilangan besar sarjana Melayu tanpa melakukan analisis mendalam, sekali gus menunjukkan betapa berjayanya orientalis mengubah kiblat masyarakat Islam di alam Melayu dalam pelbagai aspek," katanya.

AHLI panel Wacana Bersiri 2016 Manuskrip Alam Melayu Peringkat Antarabangsa menyampaikan syarahan di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. - Foto Saifullizan Tamadi
AHLI panel Wacana Bersiri 2016 Manuskrip Alam Melayu Peringkat Antarabangsa menyampaikan syarahan di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. - Foto Saifullizan Tamadi

Kaji semula manuskrip Melayu

Beliau menambah, badan kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu memainkan peranan dalam melakukan kajian tuntas terhadap manuskrip alam Melayu bagi membangkitkan kesedaran dalam masyarakat yang masih berkiblatkan Barat.

"Badan kerajaan seperti Jakim, Jabatan Mufti dan Majlis Agama Islam perlu memainkan peranan dalam menolak sumber hasil kajian orientalis Barat yang selama ini dijadikan sumber rujukan utama.

"Banyak yang boleh diperbaiki antaranya memperkasakan semula institusi kesultanan Melayu melalui manuskrip Qanun dan mengangkat disiplin ilmu tarekat yang pernah menjadi dasar amalan rohani masyarakat alam Melayu, selain menggunakan dinar emas dan dirham perak yang satu masa dulu digunakan Sultan Melayu bagi membebaskan diri daripada penjajahan ekonomi," katanya.

Katanya, walaupun Barat sudah lama membebaskan alam Melayu daripada dijajah, hakikatnya kita masih terikat dengan sistem sekular Barat menerusi campur tangan dalam urusan pemerintahan politik dan memanipulasi sistem kewangan serta pelbagai bidang ilmu penting.

Berita Harian X