Selasa, 1 March 2016 | 12:13am
PAK Wan bermain ukulele di dalam karavannya. - Foto Nur Amirah Wan Mohamed Redza
PAK Wan bermain ukulele di dalam karavannya. - Foto Nur Amirah Wan Mohamed Redza
BEKALAN elektrik yang digunakan dalam karavan milik Pak Wan menggunakan tenaga solar. - Foto Nur Amirah Wan Mohamed Redza
BEKALAN elektrik yang digunakan dalam karavan milik Pak Wan menggunakan tenaga solar. - Foto Nur Amirah Wan Mohamed Redza

Karavan mudah makan angin


SEREMBAN: Bercuti sambil memandu karavan, boleh diumpamakan membawa sebuah rumah kecil yang lengkap segala keperluan ketika menuju ke sesuatu destinasi.

Percutian menggunakan karavan turut dikenali sebagai 'campervan', motorhome' dan kenderaan rekreasi (RV) di kebanyakan negara maju seperti Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand.

Walaupun popular di negara berkenaan sejak puluhan tahun lalu, kenderaan itu sukar ditemui di Malaysia kerana persepsi umum, cuaca panas dan lembap sepanjang tahun, tidak sesuai untuk percutian yang selesa dengan karavan.

Malah, beberapa syarikat swasta pernah cuba memasarkan kenderaan seumpama itu di Malaysia sekitar 1980-an dan 1990-an, tetapi mendapat sambutan menggalakkan.

Harga kenderaan terbabit dikatakan terlalu mahal, manakala golongan berpendapatan tinggi yang menjadi sasaran sebagai pelanggan, pula lebih selesa bercuti di hotel mewah.

PAK Wan bersama karavan model Ford Transit Motorhome miliknya. - Foto Nur Amirah Wan Mohamed Redza
PAK Wan bersama karavan model Ford Transit Motorhome miliknya. - Foto Nur Amirah Wan Mohamed Redza

Bagaimanapun, seorang pemilik karavan, Wan Mahamad Fuat Wan Chik, 60, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Wan, berkata suasana sekarang sudah berubah kerana ramai orang semakin berminat dengan aktiviti kembara mencabar termasuk percutian atau perkhemahan karavan.

"Golongan sebaya saya yang dahulu peminat aktiviti lasak, terutama berkhemah kini selesa bertukar kepada karavan yang lebih selesa dan praktikal.

"Orang muda menyukai karavan yang memberi kebebasan bercuti di mana saja tanpa perlu berfikir panjang mengenai bajet atau tempahan," katanya kepada BH.

Beliau berkata, percutian karavan di Malaysia boleh berkembang walaupun tanpa kenderaan khusus seperti model Ford Transit Motorhome keluaran tahun 1993 miliknya yang dilengkapi katil, meja makan, kabinet dapur, penghawa dingin, tandas dan bekalan elektrik dari tenaga solar.

KARAVAN dapat memberikan kebebasan bercuti di mana saja tanpa perlu berfikir panjang mengenai bajet atau tempahan penginapan. - Foto Nur Amirah Wan Mohamed Redza
KARAVAN dapat memberikan kebebasan bercuti di mana saja tanpa perlu berfikir panjang mengenai bajet atau tempahan penginapan. - Foto Nur Amirah Wan Mohamed Redza

Katanya, keperluan paling penting adalah katil dan bekalan elektrik untuk sistem penyejukan, sama ada menggunakan kipas atau penghawa dingin serta lampu kerana aktiviti seperti memasak atau menggunakan tandas boleh dilakukan di luar kenderaan.

Beliau berkata, ada peminat karavan di Malaysia kini mula mengubah suai kenderaan terutama van secara minimum mengikut keperluan, tanpa melanggar peraturan pengubahsuaian ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menceritakan mengenai karavan miliknya, Pak Wan berkata, dia membelinya daripada seorang rakan tiga tahun lalu dalam keadaan uzur sebelum membelanjakan hampir RM20,000 bagi membinanya semula.

Bekas pensyarah Pendidikan Seni Visual Institut Pendidikan Guru (IPG) Raja Melewar, Sikamat di sini, kini kerap menjelajah seluruh negara bersama isterinya, Mariam Shamsudin, 60, dan selalunya meluangkan masa merakamkan keindahan alam di atas kanvas lukisannya sambil sesekali meniup seruling atau bermain ukelele.

PAK Wan selalu meluangkan masa memandu karavan sebelum merakamkan keindahan alam di atas kanvas di lokasi persinggahan sambil sesekali meniup seruling atau bermain ukelele. - Foto Nur Amirah Wan Mohamed Redza
PAK Wan selalu meluangkan masa memandu karavan sebelum merakamkan keindahan alam di atas kanvas di lokasi persinggahan sambil sesekali meniup seruling atau bermain ukelele. - Foto Nur Amirah Wan Mohamed Redza

Bapa kepada empat anak berusia 18 hingga 34 tahun itu, berharap konsep percutian itu semakin berkembang di Malaysia dan pihak berkuasa atau swasta dapat menyediakan lebih banyak tapak perkhemahan di lokasi yang cantik dan selamat, dilengkapi kemudahan bekalan elektrik dan air.

 

Sementara itu, menyedari konsep percutian menggunakan karavan semakin mendapat perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk Ab Khalid Mat, dilaporkan berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif dengan merancang tapak perkhemahan karavan di daerah itu tidak lama lagi.

"Kita sedang mengenal pasti lokasi sesuai di kawasan tepi pantai dan menyediakan kemudahan sewajarnya dan ia dijangka dibuka dalam masa terdekat," katanya.

 

Berita Harian X