Jumaat, 26 Februari 2016 | 12:05am
BURUNG botak perlu meluncur turun dari dahan pokok sebelum dapat terbang. - Foto Badrul Kamal Zakaria
BURUNG botak perlu meluncur turun dari dahan pokok sebelum dapat terbang. - Foto Badrul Kamal Zakaria
HUTAN bakau menjadi tempat untuk burung botak membuat sarang, tidur, makan dan membiak. - Foto Badrul Kamal Zakaria
HUTAN bakau menjadi tempat untuk burung botak membuat sarang, tidur, makan dan membiak. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Burung botak "jauhi" Parit Jawa


MUAR: Kawasan sekitar Pangkalan Nelayan Parit Jawa, di sini sudah hilang satu daripada tarikannya berbanding 10 tahun lalu.

Burung botak atau nama saintifiknya Leptotilos Javanicus yang biasanya banyak berhijrah ke kawasan berkenaan kerana melarikan diri daripada cuaca sejuk melampau di Siberia, Russia, Kanada dan Tibet, hampir tiada lagi.

Fenomena penghijrahan burung botak yang tinggal sementara di sekitar kawasan itu menjadi tarikan tersendiri sehingga menarik pelancong asing dan peminat burung serta alam sekitar.

Burung botak menjadikan kawasan berpaya atau pesisir pantai berlumpur sebagai `syurga' mereka kerana mempunyai banyak makanan seperti ikan kecil, ketam dan siput yang menjadi daya tarikan utama kepada burung itu.

Pencinta alam sekitar dan penduduk mengaitkan fenomena itu dengan kemusnahan habitat dan persekitaran termasuk hakisan dan penebangan pokok tinggi yang sering dijadikan sarang oleh spesies itu.

BURUNG botak atau nama saintifiknya Leptotilos Javanicus. - Foto Badrul Kamal Zakaria
BURUNG botak atau nama saintifiknya Leptotilos Javanicus. - Foto Badrul Kamal Zakaria

PENDUDUK Parit Jawa, Quek Hang Yam. - Foto Badrul Kamal Zakaria
PENDUDUK Parit Jawa, Quek Hang Yam. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Penduduk asal Parit Jawa, Quek Hang Yam, 65, mendakwa kemerosotan jumlah burung di kawasan ini disebabkan masalah hakisan pantai, selain beberapa faktor lain seperti pembangunan pesat di kawasan Parit Jawa dan sekitarnya.

"Tengok hari ini sahaja, hanya dua tiga ekor burung botak yang ada. Dahulu, datang ke sini sahaja dapat lihat sekurang-kurangnya 20 hingga 40 ekor burung botak.

"Selain burung botak, dulu ada juga ratusan burung dari spesies yang lain termasuk yang berhijrah dari kawasan seperti Siberia, Russia, China, Kanada dan Tibet," katanya.

Hang Yam berkata, kehadiran pelbagai jenis spesis unggas menjadikan Muar khususnya Parit Jawa sebagai kawasan persinggahan juga menyebabkan ramai pelancong asing datang ke kawasan itu untuk melihat dengan lebih dekat spesis unik yang sukar dilihat di kawasan lain.

Hang Yam berkata, kebanyakan peminat burung dan pelancong asing tinggal dengan menyewa hotel atau inap desa mahu pun berkhemah di kawasan berhampiran untuk tempoh yang agak lama hanya untuk melihat burung unik ini.

BURUNG botak menjadikan pokok-pokok tinggi seperti pokok pulai sebagai habitatnya untuk bersarang. - Foto Badrul Kamal Zakaria
BURUNG botak menjadikan pokok-pokok tinggi seperti pokok pulai sebagai habitatnya untuk bersarang. - Foto Badrul Kamal Zakaria

AHLI Malaysia Birds Photography, Loh Chee Meng. - Foto Badrul Kamal Zakaria
AHLI Malaysia Birds Photography, Loh Chee Meng. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Ahli Malaysia Birds Photography, Loh Chee Meng, berkata burung botak dipercayai diambang kepupusan berikutan jumlahnya yang semakin berkurangan sejak beberapa tahun lalu.

"Saya lapan tahun tidak ke sini (Muar). Dulu saya dapat merakam gambar banyak spesis burung khususnya burung botak dari spesis Lesser Adjuntant, tetapi hari ini hanya terdapat dua ekor sahaja.

"Kalau tidak silap saya, spesies terbabit adalah antara yang terancam dan terdapat kira-kira 200 ekor sahaja burung terbabit di seluruh Malaysia dan 5,000 di seluruh dunia, menjadikannya antara spesis yang paling ingin dirakam oleh jurugambar," katanya.

Beliau percaya kemerosotan jumlah unggas di kawasan terbabit berpunca daripada kemusnahan kawasan ekosistem yang menjadi habitat semula jadinya.

"Saya tengok di sini juga banyak hakisan dan juga kerja tambakan laut. Itu mungkin punca yang menyebabkan spesis burung ini makin berkurangan setiap tahun.

SUMBER makanan yang banyak menyebabkan Pantai Leka, Parit jawa, Muar dikunjungi gerombolan burung botak namun kini tiada lagi pemandangan itu. - Foto Badrul Kamal Zakaria
SUMBER makanan yang banyak menyebabkan Pantai Leka, Parit jawa, Muar dikunjungi gerombolan burung botak namun kini tiada lagi pemandangan itu. - Foto Badrul Kamal Zakaria

"Sumber makanan yang kurang memburukkan lagi keadaan kerana ia juga lihat menyebabkan spesis ini tidak dapat membiak seperti biasa sehingga menyebabkan populasinya menurun," katanya.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Johor, Vincent Chow, mendakwa kemusnahan habitat semula jadi, selain turut menjadi hidangan makanan menyebabkan populasi burung botak semakin diancam kepupusan.

Katanya, selain Malaysia, burung dari jenis terbabit boleh didapati di kepulauan Sumatera, Indonesia, Bangladesh, selatan India, Myanmar dan Thailand, namun jumlah keseluruhan unggas terbabit dianggarkan dalam lingkungan 5,000 ekor sahaja.

"Saya sendiri pernah mengiranya (burung botak) di Parit Jawa dahulu dan terdapat 129 ekor semuanya, namun angka terkini dijangka terus menurun. Selain di Muar, MNS pernah menerima maklumat, burung terbabit juga ditemui di Tanjung Piai, Pontian dan Sungai Melayu di Gelang Patah," katanya.

TIDAK banyak lagi burung botak singgah di sekitar Parit Jawa yang didakwa berpunca daripada kerosakan habitatnya. - Foto Badrul Kamal Zakaria
TIDAK banyak lagi burung botak singgah di sekitar Parit Jawa yang didakwa berpunca daripada kerosakan habitatnya. - Foto Badrul Kamal Zakaria

"Bagaimanapun, jumlahnya terlalu sedikit berbanding kawasan seperti Pantai Leka dan Sungai Balang di Muar dan beberapa tempat di Batu Pahat," katanya.

Chow berkata, faktor utama menyebabkan jumlah burung terbabit semakin merosot adalah disebabkan oleh kekurangan pokok tinggi, selain burung terbabit juga turut diburu sebagai makanan oleh penggemar dagingnya.

"Burung botak khususnya dari jenis lesser adjuntant ini biasanya akan membuat sarang di atas pokok yang mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya 15 meter seperti pokok pulai.

"Tidak seperti burung lain, burung botak perlu meluncur turun dari dahan pokok sebelum dapat terbang. Jika di atas tanah pula, ia perlu meloncat terlebih dahulu untuk terbang menyebabkannya sering membuat sarang di puncak pokok yang tinggi.

  "Dahulu, jumlah burung ini juga sangat banyak, namun selepas ia diburu dan ditembak untuk dijadikan makanan menyebabkan jumlahnya terus berkurangan. Lebih malang, pemburuan yang dilakukan turut merangkumi burung botak dewasa dan yang kecil," katanya.

KAWASAN berpaya atau pesisir pantai berlumpur menjadi pilihan burung botak kerana lokasi berkenaan mempunyai banyak sumber makanan. - Foto Badrul Kamal Zakaria
KAWASAN berpaya atau pesisir pantai berlumpur menjadi pilihan burung botak kerana lokasi berkenaan mempunyai banyak sumber makanan. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Burung botak petunjuk ekologi

Sementara itu, Ketua Jabatan Biologi Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmad Ismail, berkata burung botak jenis lesser adjuntant stork ini sering ditemui di Kuala Gula, Kuala Selangor, Sungai Buloh, Parit Jawa dan Tanjung Piai.

Katanya, di Malaysia, kebanyakan burung botak ini mendiami kawasan hutan bakau di lokasi air pasang surut yang berlumpur serta menjadi sumber makanan utamanya.

"Hutan bakau dan kawasan berlumpur ini kaya dengan haiwan benthic sebagai makanannya. Selain itu, hutan bakau juga menjadi tempat untuk burung botak membuat sarang, tidur, makan dan berkembang biak.

"Kemusnahan kawasan seumpama ini pastinya akan mengganggu habitat ekosistem burung botak dan seterusnya menjadi punca kemerosotan jumlah populasinya," katanya ketika dihubungi semalam.

Ahmad yang juga Naib Presiden Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) berkata, pemantauan oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sangat penting bagi memastikan ekosistem burung botak dan haiwan lain tidak terganggu.

HAKISAN dan kerja tambakan laut mungkin faktor penyebab burung botak "merajuk" dan makin kurang datang ke Parit Jawa setiap tahun. - Foto Badrul Kamal Zakaria
HAKISAN dan kerja tambakan laut mungkin faktor penyebab burung botak "merajuk" dan makin kurang datang ke Parit Jawa setiap tahun. - Foto Badrul Kamal Zakaria

BURUNG botak juga menjadi antara haiwan petunjuk berkenaan kestabilan ekosistem hutan. - Foto Badrul Kamal Zakaria
BURUNG botak juga menjadi antara haiwan petunjuk berkenaan kestabilan ekosistem hutan. - Foto Badrul Kamal Zakaria

"Ancaman utama kepada kelangsungan burung ini adalah berpunca daripada gangguan habitat seperti pokok bakau tumbang akibat hakisan pantai dan penebangan haram atau dibenarkan, hakisan permukaan tanah yang membawa selut ke pantai, gangguan ombak, pencemaran bahan kimia membabitkan penggunaan racun makhluk perosak, minyak, logam berat, biocide yang digunakan pada bot dan kapal serta bahan kimia lain kegunaan manusia harian.

"Selain itu, difahamkan terdapat juga gangguan daripada manusia seperti pemburuan haram. Selain itu, kewujudan haiwan lain seperti monyet dan burung helang juga didapati sering mengganggu telur serta sarang burung botak," katanya.

Justeru katanya perlu lebih banyak penyelidikan berkaitan kawasan terbabit dijalankan dengan mengambil kira keadaan biologi dan ekologi burung botak dan masalah yang dihadapi.

Katanya, harus diingat burung botak ini juga menjadi antara haiwan sebagai petunjuk kestabilan ekosistem hutan.

"Kita perlu meningkatkan pengetahuan dan kesedaran perlindungan dan pemuliharaan burung ini. MNS sebelum ini menerusi beberapa program kelab pencinta alam turut melatih sukarelawan untuk memantau keadaan seumpama ini yang perlu dilakukan secara berterusan.

"Kita perlu pengiktirafan dan sumbangan dana serta tenaga daripada pihak kerajaan, agensi kerajaan dan swasta," katanya.

Berita Harian X