Sabtu, 20 Februari 2016 | 12:03am

Burger ketam kulit lembut

PENOLONG Ketua Cef, Abshar Abdullah menunjukan Burger Soft Shell Crab. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PENOLONG Ketua Cef, Abshar Abdullah menunjukan Burger Soft Shell Crab. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

MAKANAN segera dan ringkas seperti burger sering kali menjadi pilihan anak muda untuk memenuhi selera mereka.

Makanan itu yang mengenyangkan dan cepat dihidang membuatkan ia cukup disenangi untuk dinikmati pada bila-bila masa.    

Resipi asal hidangan burger, hanyalah roti yang dimakan bersama kepingan daging ayam mahupun lembu.

Namun, kini ia dipelbagaikan cara hidangannya bagi menambahkan kelazatan, termasuklah menambahkan sayuran seperti salad, timun mahupun tomato serta kepingan keju.

Tambahan bahan sampingan ini bukan saja menjadikan ia lebih sedap tetapi turut menambahkan khasiat hidangan itu.

Misalnya, tomato mengandungi lemak rendah dan tiada kolesterol, sekali gus menjadikan ia berkhasiat untuk dimakan.

Malah, tomato turut mengandungi banyak air dan serat yang mampu untuk mengenyangkan.

Begitu juga timun mempunyai sebahagian besar vitamin yang diperlukan oleh badan dalam sehari. Timun mengandungi vitamin A, B dan C, yang meningkatkan sistem imun badan, memastikan anda berseri dan memberi anda tenaga.

Sementara itu, keju yang berasal daripada susu adalah antara sumber yang membekalkan karbohidrat, kalsium, protein, lemak, vitamin dan mineral.

Pakar pemakanan turut mengakui, keju boleh diambil tetapi dalam kuantiti yang sederhana.

BURGER Soft Shell Crab yang sedia dihidangkan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
BURGER Soft Shell Crab yang sedia dihidangkan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Tampilkan kelainan rasa

Hari ini, pengusaha burger semakin kreatif dan sering menampilkan kelainan dalam menyediakan burger.

Untuk tampilkan keunikan, pelbagai inti burger diadun bagi menepati cita rasa luar biasa pelanggan mereka. Ini termasuk, menyediakan burger ketam berkulit lembut.

Cef Zawara Coffee Cafe, Ahmad Abshar Abdullah berkata, ketam berkulit lembut ini adalah ketam pramatang atau berusia 45 hari sebelum ia bertukar cengkerang.

"Kami sentiasa pastikan ketam yang diambil adalah segar dan menepati piawaian iaitu ketam yang masih berkulit lembut.

"Keistimewaan burger kami berbanding yang lain adalah roti yang dihasilkan sendiri serta penggunaan salad roket atau arugula," katanya.

Jelasnya, antara tips yang dapat dikongsikan adalah untuk tidak menggoreng ketam terbabit terlalu lama, paling maksimum tiga hingga lima minit saja dengan menggunakan api yang sederhana.

Ahmad Abshar berkongsi keenakan resepi burger Soft Shell Crab atau burger ketam berkulit lembut. Selamat mencuba!

BAHAN-bahan untuk membuat Burger Soft Shell Crab. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
BAHAN-bahan untuk membuat Burger Soft Shell Crab. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Bahan-bahan:
1 ekor ketam nipah berkulit lembut
20 milimeter (ml) sos lada hitam
10 ml sos worcestershire-
sos aioli 
5gram (g) serbuk cili
10g serbuk paprika
5g serbuk bawang putih-
100g tepung gandum
1 biji telur-
Garam secukup rasa
Sayur arugula (rocket salad)
Lapisan keju
Roti burger

 

Cara penyediaan:

1.Rendamkan ketam di dalam telur dan biarkan ia seketika sementara menyediakan rempah untuk disalutkan.

TELUR digunakan untuk merangupkan ketam. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
TELUR digunakan untuk merangupkan ketam. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

2.Campurkan sos lada hitam, sos worcestershire, serbuk cili, serbuk paprika, serbuk bawang putih serta masukkan garam secukup rasa. Kemudian gaul sehingga rata.

3.Masukkan ketam di dalam campuran itu tadi dan ratakan 

4.Salutkan ketam dengan tepung kemudian goreng sehingga keemasan.

KETAM dicelupkan ke dalam tepung untuk merangupkannya apabila digoreng. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
KETAM dicelupkan ke dalam tepung untuk merangupkannya apabila digoreng. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Cara menghidangkan:

1. Hidangkan roti dengan lapisan keju, sos aioli dan juga aragula

2. Letakkan ketam yang sudah digoreng itu di atas lapisan roti.

3. Hidangkan dengan cara tersendiri dan ia sedia di makan.

Berita Harian X