X
Ahad, 7 Februari 2016 | 12:01am

Wanita dan sastera sepanjang zaman

FAZLEENA Hishamddin antara penyair wanita yang mencipta nama di pentas indie.
FAZLEENA Hishamddin antara penyair wanita yang mencipta nama di pentas indie.

PEMBABITAN wanita dalam sastera termasuk puisi mengundang pelbagai dialog di media.

Sejak dulu, kehadiran penulis wanita sering menarik untuk diperkatakan, malah digembar-gemburkan sehingga mencapai taraf sensasi dan polemik.

Sememangnya kita perlu berterima kasih kepada akhbar yang selalu memberi perhatian.

Hal yang diperkatakan sudah tentu berubah dari dekad ke dekad. Pada dekad 1960-an, media gemar mengutarakan isu penulis wanita tidak setanding dengan pengarang lelaki dan menghilang diri selepas berkahwin.

Terdapat tulisan misalnya oleh Nik Safiah Karim di Dewan Masyarakat, yang menyatakan sasterawan wanita masih kekurangan dari segi kuantiti dan kualiti.

Pandangan bahawa penulis wanita kurang berkualiti disangkal dengan munculnya Hadiah Sastera Malaysia (HSM) 1972 yang menyaksikan ramai pemenang wanita.

Maka, dunia sastera mula membuka mata kepada nama seperti Dr Fatimah Busu dengan cerpen yang sukar ditandingi. Ini membuka mata bahawa tulisan penulis wanita tidak boleh dipandang ringan.

Selesai soal kualiti, pada dekad 1990-an dan 2000 topik kegemaran yang membabitkan wanita ialah mengapa belum ada wanita yang menerima Anugerah Sastera Negara (ASN).

Sejak ASN diwujudkan pada 1981, semua penerimanya adalah lelaki. Catatan terawal yang ada pada saya ialah tulisan Zabidin Ismail pada 15 April 1993 yang bertajuk Wanita Sasterawan Negara ke-7? Antara nama yang disebut Zabidin ialah Adibah Amin, Khadijah Hashim dan Zurinah Hassan.

Persoalan dan penantian berakhir dengan pengumuman ASN pada 13 Oktober 2015 yang lalu. Terima kasih kepada akhbar termasuk BH yang memberi liputan besar-besaran.

LAPORAN BH pada 9 Januari 2016.
LAPORAN BH pada 9 Januari 2016.

Isu wanita, novel cinta

Selesai soal ASN, perkara terbaru yang cuba dihangatkan ialah wawancara saya di Dewan Sastera (DS) pada bulan lalu yang menyentuh wanita sekarang lebih banyak menulis novel cinta yang mendatangkan pendapatan lumayan.

Rencana dalam ruangan Polemik BH pada 9 Januari itu disambut oleh Hani Salwah Yaakup untuk menunjukkan ramainya wanita yang masih menulis sajak.

Syabas atas keprihatinan Hani Salwah. Tidak ada siapa yang mengatakan beliau tidak layak untuk memberi pandangan, bahkan atas kelayakan itulah pihak Persatuan Penulis/Penyair Wanita (PENITA) dengan saya selaku Ketua Satunya menjemput beliau untuk bercakap dalam forum Wanita Dan Sastera: Bukan Cinta Biasa yang berlangsung di Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Kuala Lumpur pada 16 Mei tahun lalu.

Apa yang terkeluar daripada percakapan dengan editor DS itu berbangkit daripada pemerhatian dan kebimbangan tentang kedudukan wanita dalam puisi pada tahun-tahun terakhir.

Sebenarnya BH sendiri pada 12 Mac 2013 membicarakan isu wanita tidak lagi menulis puisi dalam rencana berjudul Wanita dan Puisi.

Mengikut rencana itu, tidak ada lagi nama wanita yang serius menulis puisi selepas 2000 dan genre puisi seolah-olah tidak mempunyai daya tarikan berbanding novel yang tidak sekuat dekad 1970-an yang melahirkan Zurinah, Prof Dr Siti Zainon Ismail dan Allahyarham Zaihasra.

Kebanyakan kertas kerja juga tidak menyebut kehadiran penyair wanita, berbanding penulis wanita yang menulis dalam genre cerpen dan novel.

BH juga menyebut kekurangan ini antara lain disebabkan wanita lebih cenderung untuk menulis novel terutama novel remaja dan popular yang mendatangkan pendapatan lumayan.

Mengikut BH pada 3 Februari 2011, pengarang wanita terutama pengarang angkatan baru mendominasi novel remaja dan novel popular.

Puisi ialah lapangan yang tidak memberi faedah kewangan dan semakin kurang orang yang mahu bersungguh-sungguh dalam puisi.

Jika demikian bagaimanakah masa depan puisi itu sendiri dan hal itu agak membimbangkan kerana tiada pelapis yang meneruskan kesinambungan penulisan puisi.

LAPORAN BH pada 30 Januari 2016.
LAPORAN BH pada 30 Januari 2016.

Tiada perbincangan serius

Timbul pertanyaan, tidak ada lagikah penyair wanita yang menjadikan puisi sebagai tulisan utama mereka selepas Siti Zainon, Zurinah, Zaihasra, Zaiton Ajmain, Salmiah Ismail dan Siti Zaleha M Hashim.

Belum ada perbincangan serius tentang ini dengan kali terakhir adalah pada Hari Puisi Nasional Ke-14 anjuran GAPENA di Seremban pada 1999 yang bertemakan Puisi, Kewanitaan dan Alaf Baru.

Situasi itu menyebabkan saya secara persendirian tanpa bayaran daripada mana-mana pihak menjalankan usaha mengumpul maklumat pembabitan wanita dalam puisi. Jalan termudah ialah melalui media sosial, Facebook.

Saya memanggil sesiapa saja wanita yang pernah menyiarkan sajak di media cetak untuk menghantar maklumat kepada saya dengan memberikan judul puisi dan tempat siaran.

Buat permulaan, saya hanya terdaya tumpukan kepada penerbitan di media cetak arus perdana. Setahun dua tahun terkumpul data yang sangat berharga. Saya juga bergabung bersama Siti Zainon dan Norazimah Abu Bakar untuk menerbitkan puisi yang berjaya dikutip dalam antologi.

Aktiviti mengutip maklumat dalam talian ini membawa kepada penubuhan PENITA dengan laman Facebook ditadbir oleh Norazimah yang turut memuatkan hampir semua maklumat termasuk aktiviti penulis wanita dan judul kumpulan perseorangan.

Nama penyair dibahagikan mengikut tahun mereka mula menulis tetapi semua maklumat penerbitan dan hadiah sehingga 2014 saja.

PENULIS, Rosmiaty Shaari. - Foto Halim Salleh
PENULIS, Rosmiaty Shaari. - Foto Halim Salleh

Penulis 1980-an, 1990-an

Bagi 1980-an, nama penulis yang dicatatkan ialah Amaruzati Noor Rahim, Asmira Suhadis, Anismas AR, Haryatie Ab Rahman, Rafflesia Darlina, Norazimah, Rosmiaty Shaari, Rositah Ibrahim, Rosnani Ahmad dan Rosani Hiplee.

Dekad 1990-an pula menyaksikan Azridah Ps Abadi, Hazama Harun, Kathirina Susanna Tati, Norgadis Labuan, Aflieza Arshad, Raihani Mohd Saaid, Nor Zaiton Hanafi, Zaiton Ahmad, Shasha Shakierah, Zaleha Ahmat dan Raja Rajeswari Seetha Raman.

Selepas tahun 2000 pula, ialah Dayana Chacoo, Dayangku Mastura, Hani Salwah, Nissa' Yusof, Ainunl Muaiyanah Sulaiman, Rabiatul Adawiyah Abdul Samad dan Teratai Abadi tetapi senarai itu hanya untuk puisi, manakala data selepas 2014 masih dikumpul.

Kumpulan puisi antara 2000 hingga 2014 pula ada 14 judul (tidak termasuk kanak-kanak dan remaja) antaranya Kristal di Laut Bulan karya Siti Zaleha M Hashim; Sari Rahsia Terindah (Rosani); Dari Hitam Putih Menjadi Zarah (Rosmiaty Shaari); Terminus A Quo (Raihani); Cenderahati Kasih (Ida Munira Abu Bakar); Bunga Di Atas Meja (Rositah); Mahagar (Norjana Mohd Adnan); Perahu (Ramlah Abd Rasid) dan Tentang Pertanyaan (Hani Salwah).

Dari senarai panjang pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) sejak 2000 terdapat pencapaian wanita yang membanggakan, iaitu Kristal di Laut Bulan bagi kategori buku 2006/2007, selain 15 puisi eceran daripada penulis wanita.

Hadiah Puisi Persatuan Sasterawan Numera Malaysia (NUMERA) pula menyaksikan Rosmiaty Shaari memenangi Hadiah Utama NUMERA 2014 melalui Risalah Melayu.

Sayembara Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)-Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)-BH 1 pula menyaksikan kemenangan karya kumpulan puisi penulis wanita dalam saguhati, iaitu Tentang Tanya dan Perahu serta Sidang Kultus (Raihani) tetapi sayembara keduanya tiada seorang pun wanita memenangi kategori puisi baik utama atau sagu hati.

PROFIL

Penulis ialah Sasterawan Negara (SN) Ke-13 yang menghasilkan kumpulan puisi seperti Keberangkatan, Pujangga Tidak Bernama dan Menghadap Pelabuhan.

Berita Harian X