Rabu, 3 Februari 2016 | 12:07am

Sikap masyarakat punca kes denggi meningkat


Cuaca panas, kering dan suhu tinggi akibat fenomena El Nino yang melanda negara sehingga Mac ini dikatakan menyumbang kepada peningkatan kes denggi sehingga sebanyak 50 peratus.

Ia kerana kitaran hidup nyamuk aedes daripada telur ke peringkat nyamuk dewasa menjadi semakin singkat iaitu kurang daripada tujuh hari menyebabkan populasi unggas itu meningkat.

Cuaca panas turut menjadikan nyamuk lebih aktif dan meningkatkan frekuensinya untuk menggigit mangsa selain penyebaran virus denggi menjadi lebih luas.

Kemarau akibat El Nino pula memaksa masyarakat menakung air bagi menampung bekalan air harian sekali gus meningkatkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Takungan air perlu dipantau ketika kemarau bagi mengelakkan pembiakan aedess. - Foto Faiz Anuar
Takungan air perlu dipantau ketika kemarau bagi mengelakkan pembiakan aedess. - Foto Faiz Anuar

BEKAS menakung air menjadi punca pembiakan aedes. - Foto Faiz Anuar
BEKAS menakung air menjadi punca pembiakan aedes. - Foto Faiz Anuar

Berikutan peningkatan kes demam denggi akhir-akhir ini, kerajaan dan masyarakat kelihatan saling menyalahkan antara satu sama lain sebagai punca kepada kes peningkatan demam denggi di negara ini.

Masyarakat dikatakan gagal menjaga kebersihan, enggan bergotong royong memusnahkan tempat pembiakan nyamuk dan gagal memberi kerjasama ketika aktiviti semburan kabus manakala kerajaan didakwa gagal melakukan semburan lebih kerap untuk mengawal nyamuk aedes.

Bagaimanapun, salah faham itu sebenarnya berpunca daripada kurangnya pengetahuan masyarakat mengenai cara menangani nyamuk aedes.

Pensyarah Entemologi Perubatan di Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Hidayatulfathi Othman, berkata pengetahuan mengenai nyamuk aedes adalah sangat penting untuk orang ramai mencegah demam denggi.

PENSYARAH Entemologi Perubatan di Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Hidayatulfathi Othman. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PENSYARAH Entemologi Perubatan di Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Hidayatulfathi Othman. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang nyamuk aedes dan mobilisasi masyarakat terhadap denggi berkata, kajian mendapati hanya 50 peratus masyarakat mengetahui mengenai nyamuk aedes berbanding 75 peratus masyarakat tahu mengenai demam denggi.

"Kita sedar mencegah adalah lebih baik daripada berubat. Oleh itu, untuk mencegah demam denggi, kita sepatutnya mengenali dengan lebih baik nyamuk aedes ini," katanya ketika ditemui.

Hidayatulfathi berkata, nyamuk aedes terdiri daripada dua jenis iaitu Aedes aegypti dan Aedes albopictus yang sama kuat membawa virus denggi dengan kedua-duanya menggigit pada siang hari.

Aedes aegypti adalah sangat domestik kerana tinggal dalam rumah bersama manusia, membiak di bawah bumbung, anjung atau tempat letak kereta serta hinggap di celah langsir dan gantungan baju manakala Aedes albopictus tinggal di luar rumah dengan membiak di lubang pokok atau bekas sampah yang tidak diurus baik.

NYAMUK Aedes aegypti.
NYAMUK Aedes aegypti.

NYAMUK Aedes albopictus.
NYAMUK Aedes albopictus.

Nyamuk aedes perlu menghisap darah untuk mendapatkan protein dan zat besi bagi menghasilkan telur dengan seekor nyamuk Aedes aegypti boleh bertelur antara 80 dan 200 biji manakala Aedes albopictus boleh bertelur antara 40 dan 80 biji. Kitar hidup nyamuk aedes dalam air adalah antara tujuh hingga lapan hari manakala jangka hayat nyamuk dewasa ialah antara tiga dan empat minggu dengan seekor nyamuk mampu bertelur sebanyak lima atau enam kali.

Sebenarnya, sukar untuk mengelak daripada digigit nyamuk aedes kerana ia menggigit pada siang hari berbanding nyamuk lain yang aktif pada waktu malam dengan orang ramai boleh berlindung hanya menggunakan kelambu.

Hidayatulfathi berkata, waktu aktif nyamuk aedes ialah antara jam 6.30 pagi hingga 8.30 pagi serta antara jam 5.30 petang dan 8.30 malam tetapi ia juga boleh aktif menggigit pada waktu lain sekiranya cuaca persekitaran menyamai waktu aktifnya iaitu suhu kurang daripada 28 darjah celsius.

Beliau berkata, nyamuk aedes boleh bertelur dalam bekas sebesar syiling 20 sen yang mengandungi air bersih dengan telur akan melekat pada dinding bekas di sekeliling gigi air.

gn4id:11824361

gn4id:11824371

"Untuk membersihkan bekas pembiakan nyamuk, kita tidak boleh hanya membuang airnya sahaja tetapi perlu memberus dinding bekas untuk membuang telur atau menyiram dengan air panas yang suhunya lebih 80 darjah celsius untuk membunuh telur.

"Tanpa memberus atau membunuhnya dengan air panas, telur yang kelihatan seperti bintik tahi lalat itu boleh hidup dalam keadaan kering selama enam hingga sembilan bulan dan boleh menetas menjadi jejentik hanya dalam masa setengah hingga satu jam apabila terkena air," katanya.

Selain itu, Hidayatulfathi berkata, nyamuk aedes mempunyai kelebihan unik iaitu boleh melakukan jangkitan secara transovarial selama lima keturunan. Ia adalah keadaan di mana nyamuk dewasa akan menyimpan virus denggi dalam ovari selepas menggigit pesakit denggi dengan setiap kali telur yang dihasilkan akan mempunyai virus di dalamnya.

"Bila telur menetas, jejentik yang dihasilkan akan sedia ada dengan virus berkenaan dan apabila menjadi nyamuk dewasa, ia boleh menularkan virus kepada orang lain yang sihat tanpa perlu hisap darah orang berpenyakit dengan virus ini boleh bertahan sehingga lima keturunan," katanya.

gn4id:11824410

JEJENTIK bertukar kepada nyamuk dalam tempoh tujuh hari. - Foto Nurul Shafina Jemenon
JEJENTIK bertukar kepada nyamuk dalam tempoh tujuh hari. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Jurnal antarabangsa dan kajian oleh universiti awam mendapati nyamuk aedes di kawasan Lembah Klang kini mula menunjukkan kerintangan terhadap racun serangga sejak tiga tahun lalu.

Dr Hidayatulfathi berkata jika dahulu, 100 ekor nyamuk disembur racun serangga, semuanya akan mati tetapi sejak tahun 2013, lima daripadanya boleh hidup kerana sudah mula rintang akibat berlaku perubahan genetik.

Katanya, kerintangan itu terbentuk akibat penggunaan semburan kabus yang berleluasa kerana sebelum ini setiap kawasan berisiko denggi akan disembur setiap enam bulan sama ada mempunyai kes denggi atau tidak.

Beliau berkata, oleh itu, sejak tiga tahun lalu, Kementerian Kesihatan membuat keputusan bahawa semburan kabus hanya dilakukan apabila sesuatu kawasan itu mempunyai kes denggi untuk mengelak kerintangan dan pencemaran alam sekitar.

OPERASI menyembur kabus di kawasan perumahan antara usaha mencegah aedes. - Foto Faiz Anuar
OPERASI menyembur kabus di kawasan perumahan antara usaha mencegah aedes. - Foto Faiz Anuar

gn4id:11824616

"Bagaimanapun, peningkatan kes denggi sejak dua tahun lalu menyebabkan semburan terpaksa dilakukan lebih kerap kerana ia adalah prosedur operasi standard kementerian," katanya.

Hidayatulfathi berkata, usaha mengurangkan semburan kabus untuk mengelak masalah kerintangan itu menyebabkan salah tanggapan masyarakat terhadap kerajaan, kononnya tidak melakukan apa-apa untuk menangani masalah nyamuk aedes.

Beliau berkata, masyarakat sebenarnya juga perlu tahu bahawa semburan kabus tidak menyelesaikan masalah kerana ia hanya membunuh nyamuk dewasa tetapi tidak membunuh jejentik dan pupa.

"Sebenarnya, selagi ada tempat pembiakan nyamuk, selagi itu kita akan mendapat bekalan nyamuk aedes. Apabila pegawai Jabatan Kesihatan datang melakukan semburan kabus, orang ramai pula kebanyakannya bertindak menutup pintu dan tingkap rumah dan tidak memberi kerjasama kakitangan berkenaan untuk datang dekat rumah.

"Walhal, nyamuk Aedes aegypti duduk dalam rumah. Bila kita tidak membuka pintu dan tingkap untuk membolehkan semburan kabus memasuki dalam rumah, ia antara sebab mengapa semburan itu 'gagal' sedangkan ia disebabkan kesalahan sendiri," katanya sambil menyatakan tiada lagi masalah rumah berminyak kerana kebanyakan semburan kabus kini menggunakan bahan berasaskan air.

Selain itu, orang ramai juga perlu meluangkan masa selama 10 minit seminggu untuk menjalankan aktiviti memeriksa, mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di rumah masing-masing dengan antara lokasi yang boleh diberi tumpuan ialah tempat rak pinggan, bawah sinki, tangki dan mangkuk tandas duduk.

Masyarakat juga boleh menubuhkan pasukan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) atau menggunakan platform sedia ada seperti Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) atau persatuan penduduk untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya nyamuk aedes.

Bagi kerajaan pula, antara usaha yang boleh dilakukan ialah menghasilkan iklan baharu yang menarik dengan kerjasama tokoh terkenal untuk membanteras nyamuk aedes serta mencari racun serangga yang lebih mesra alam dan berkesan dengan kerjasama institusi penyelidikan dan universiti awam.

Selain itu, menjalinkan kerjasama antara pelbagai kementerian untuk menjalankan aktiviti mencari dan memusnahkan nyamuk aedes serta menggalakkan pembinaan rumah kebal nyamuk yang mempunyai reka bentuk atau struktur bangunan yang dapat mengelak pembiakan nyamuk.

Hidayatulfathi berkata, antara usaha yang boleh dilakukan oleh orang ramai untuk mengurangkan risiko digigit nyamuk aedes pula ialah menggunakan repelan sama ada dalam bentuk semburan, krim, gegelang atau tampalan yang banyak dijual di farmasi atau pasar raya besar.

Selain itu, penggunaan baju lengan panjang dan seluar panjang terutama yang berwarna cerah juga dapat mengurangkan tarikan nyamuk untuk menggigit mangsa, menutup pintu dan tingkap sebelum waktu Maghrib seperti amalan orang tua dahulu serta menyembur aerosol dalam rumah untuk membunuh nyamuk dewasa.

Berita Harian X