Rabu, 3 Februari 2016 | 12:05am

Siapa ganti Awang Sariyan?

SUDAH tentu persoalan hangat yang menjadi perbincangan khalayak bahasa, sastera dan budaya kini adalah siapakah yang bakal menduduki kerusi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selepas penyandangnya, Datuk Dr Awang Sariyan menamatkan tugas, semalam.

Bagi pihak DBP, khabarnya hasrat mereka adalah untuk melihat jawatan itu diserahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) sedia ada, iaitu Prof Dr Zaharani Ahmad atau mungkin calon lain yang boleh dipertimbangkan ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Kamarul Zaman Shaharudin.

Bagaimanapun, harapan itu tidak pasti mampu menjadi kenyataan kerana setakat ini Kementerian Pendidikan yang menaungi DBP belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Setakat ini, khabar yang dibawa oleh sumber menyebut kemungkinan orang baru dari luar pengurusan tertinggi DBP yang bakal dilantik menggantikan Awang.

Tanda tanya itu seolah-olah menjadi rutin setiap kali jawatan Ketua Pengarah DBP dikosongkan, sekali gus mencetuskan pelbagai khabar antara harapan untuk terus cekal berjuang mengikut amanah yang dibawa dan kegusaran tokoh yang dilantik sekiranya bukan 'orang DBP', tidak mampu menerima tekanan daripada amanah yang diserahkan.

Cabaran industri buku

Kegusaran itu tentu ada benarnya kerana menerajui DBP bukan tugas mudah, apatah lagi ketika ini DBP baru saja selesai 'perang' merebut hak komersialnya yang selama 11 tahun menjadi milik DAWAMA.

'Peperangan' yang terheret hingga ke mahkamah ini akhirnya menyaksikan kemenangan kepada pihak DBP selepas jenuh berladung air mata akibat penjualan dan pemasaran buku yang tidak lancar khususnya karya yang bukan teks sekolah.

Pada tahun ini, DBP yang baru mengambil alih fungsi komersialnya itu berhadapan jalan berliku apabila belanjawan tahunan yang diberikan kepadanya terhad berbanding peruntukan sebelum ini berikutan kelembapan ekonomi dunia yang turut mempengaruhi negara ini.

Teraju DBP mencabar

DBP ternyata perlu tangkas mencari biaya untuk meneruskan kelangsungannya sebagai badan yang bertanggungjawab dalam membangunkan sastera dan bahasa Melayu di negara ini.

Ia ditambah dengan antara cabaran utama kepada DBP yang terhimpit antara kehendak pejuang bahasa kebangsaan dan polisi Kementerian Pendidikan berikutan pengenalan Program Dwibahasa (DLP) yang mula dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun ini.

Bagi pejuang bahasa, DLP dilihat sebagai kesinambungan kepada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan hampir lapan tahun lalu tetapi diwujudkan semula yang turut memberikan tekanan kepada DBP.

Berada di tampuk teraju DBP memang sangat mencabar. Sebagai agensi kerajaan, DBP perlu patuh pada garis panduan dan polisi yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan tetapi badan berkanun itu sendiri memiliki tanggungjawab lain termasuk Akta DBP 1956 yang antara lain menggariskan pembinaan dan memperkayakan bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi.

Mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk A Aziz Deraman, menyifatkan tindakan menduduki kerusi itu sebagai tugas mencabar dalam situasi semasa.

Tokoh disegani

A Aziz berkata, sesiapa pun yang bakal dipilih oleh Kementerian Pendidikan, mestilah disegani dari segi ilmu pengetahuannya mengenai bahasa, sastera dan gerakan budaya.

"Tokoh itu juga sewajarnya pernah terbabit dalam gerakan memartabatkan dan membangunkan bahasa, sastera serta menyokong aktiviti bersifat budaya.

"Kalau pun tokoh itu nanti bukan sarjana dalam bidang berkaitan, memadailah dengan pengetahuannya tentang pembinaan dan pengembangan bahasa.

"Apatah lagi pada hari ini, cabaran terhadap bahasa Melayu sangat besar dan ia bukan hanya datang dari orang Melayu sendiri, bahkan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa," katanya.

Bagi pihak DBP sendiri, sudah tentu mereka sangat mengharapkan sesiapa pun yang bakal mengambil alih teraju kuasa DBP, peranan dan tanggungjawab yang diberikan kepada DBP sejak penubuhannya 58 tahun lalu dilaksanakan dengan penuh amanah.

Berita Harian X