Isnin, 1 Februari 2016 | 12:07am
RAFFLESIA yang baru mula bertunas dan berputik dengan rupanya seakan kobis merah. - Foto Muhaizan Yahya
RAFFLESIA yang baru mula bertunas dan berputik dengan rupanya seakan kobis merah. - Foto Muhaizan Yahya
RAFFLESIA di Taman Negeri Royal Belum. - Foto Muhaizan Yahya
RAFFLESIA di Taman Negeri Royal Belum. - Foto Muhaizan Yahya
RAFFLESIA mengambil masa tujuh hingga 14 hari untuk berkembang sebelum mengecut dan warnanya bertukar kehitaman. - Foto Muhaizan Yahya
RAFFLESIA mengambil masa tujuh hingga 14 hari untuk berkembang sebelum mengecut dan warnanya bertukar kehitaman. - Foto Muhaizan Yahya
KETUA Renjer Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) Royal Belum, Safri Muhiyuddin. - Foto Muhaizan Yahya
KETUA Renjer Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) Royal Belum, Safri Muhiyuddin. - Foto Muhaizan Yahya

Rafflesia Royal Belum perlu dipulihara


GERIK: Bunga terbesar di dunia, Rafflesia atau pakma, adalah di antara keindahan flora serta fauna yang subur dalam Taman Negeri Royal Belum di sini.

Tiga daripada 20 spesies Rafflesia yang ada di dunia, tumbuh subur di situ iaitu spesies R.cantleyi dan R.kerrii serta R.azlanii yang dinamakan sempena Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Kem X-Tray yang terletak di Sungai Gadong, adalah antara kawasan dikenal pasti subur dengan Rafflesia, dalam Taman Negeri Royal Belum.

Lokasi itu boleh dilawati menerusi perjalanan bot selama 15 minit dari jeti awam Pulau Banding, sebelum pendakian ke lokasi selama hampir setengah jam.

JETI awam Pulau Banding. - Foto Muhaizan Yahya
JETI awam Pulau Banding. - Foto Muhaizan Yahya

Ketua Renjer Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) Royal Belum, Safri Muhiyuddin, yang membawa BH mendekati dan melihat spesies bunga itu dengan lebih dekat, berkata Rafflesia lazimnya tumbuh di kawasan lereng bukit.

Jadi untuk sampai ke Kem X-Tray, antara cabaran yang terpaksa dilalui termasuklah meredah denai dan laluan pendakian agak curam.

Bagaimanapun, trek disediakan dan pelawat boleh berpaut pada tali bagi memudahkan pendakian ke kawasan berkenaan.

Nasib bagaimanapun tidak begitu menyebelahi kami kerana tidak ada kuntum Rafflesia yang sedang berkembang, kerana kebanyakannya baru mula bertunas dan berputik dengan rupanya seakan kobis merah.

LALUAN pendakian ke Kem X-Tray. - Foto Muhaizan Yahya
LALUAN pendakian ke Kem X-Tray. - Foto Muhaizan Yahya

Safri berkata, lazimnya bunga pakma mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk kembang mekar sepenuhnya.

"Namun, sebaik sahaja bunga berkenaan kembang, ia hanya mengambil masa tujuh hingga 14 hari untuk berkembang sebelum mengecut dan warnanya bertukar kehitaman.

"Di sebalik keindahannya, Rafflesia adalah tumbuhan parasit yang menumpang pada akar pokok lain dan bergantung punca makanan daripada perumahnya," katanya.

Safri berkata, sama seperti ikan kelah di Taman Negeri Royal Belum, Rafflesia juga diancam kepupusan berikutan kegiatan mengutipnya.

RAFFLESIA yang baru mula bertunas dan berputik dengan rupanya seakan kobis merah.
RAFFLESIA yang baru mula bertunas dan berputik dengan rupanya seakan kobis merah.

"Bagi pencari hasil hutan, Rafflesia atau bunga pakma adalah tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan yang tinggi.

"Jika mereka menjumpainya, ia akan diambil kerana nilai perubatan yang ada sama seperti akar kayu lain seperti Tongkat Ali dan Kacip Fatimah, kerana dipercayai mampu memulih tenaga khususnya oleh wanita yang dalam tempoh berpantang selepas bersalin," katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengurus Besar PTNP, Noor Asmah Mohd Nawawi, berkata usaha membina tangga memudahkan pengunjung melawati Kem X-Tray bagi melihat Rafflesia tumbuh dan berkembang sedang dalam perancangan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Kami sudah mengemukakan pelan membina tangga dan trek yang sempurna bagi menggantikan laluan sedia ada. Ia masih dalam perancangan dan keputusan mengenainya akan diputuskan dalam mesyuarat PTNP dalam sedikit masa lagi," katanya.

Berita Harian X