Khamis, 14 Januari 2016 | 12:00am
KUNJUNGAN Raja Salman ke Amerika Syarikat untuk menjamin kedudukan Arab Saudi.
KUNJUNGAN Raja Salman ke Amerika Syarikat untuk menjamin kedudukan Arab Saudi.
PETA lokasi Syiah dan Sunah di seluruh dunia.
PETA lokasi Syiah dan Sunah di seluruh dunia.

Krisis Arab Saudi-Iran untungkan rejim Bashar Assad

 

BANGUNAN kedutaan Arab Saudi diserang di Tehran.
BANGUNAN kedutaan Arab Saudi diserang di Tehran.

PERMULAAN 2016 agak hambar bagi negara rantau Asia Barat apabila pada 3 Januari lalu, Kementerian Luar Arab Saudi mengumumkan negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran susulan keganasan berlaku di luar bangunan kedutaannya di Tehran dan Mashhad.

Hubungan yang ibarat 'retak menanti belah' sebelum ini terjalin sejak 1929 ketika era pemerintahan Dinasti Pahlavi. Hubungan antara dua negara itu bermula dengan menandatangani perjanjian persahabatan.

Bagaimanapun, hubungan itu tidak mesra sehingga 1960-an disebabkan perbezaan mazhab dan juga kerana tindakan Iran mengiktiraf Israel.

Pada 1966, almarhum Raja Faisal, berusaha mengukuhkan hubungan dua jiran itu dengan melakukan lawatan ke Iran. Lawatan baginda di balas Shah Mohammad-Reza Pahlavi yang melakukan kunjungan ke Arab Saudi yang akhirnya membawa kepada penyelesaian secara aman.

Sebagai tanda persahabatan, Shah Pahlavi menyokong usaha Raja Faisal, terutama dalam soal perpaduan Islam dan baginda juga aktif menyumbang kepada penubuhan Institusi Multinasional Islam, termasuk penubuhan Kongres Dunia Islam, Liga Dunia Islam dan Pertubuhan Persidangan Islam.

Kegusaran Arab Saudi terhadap gelagat Iran bermula pada 1970-an apabila Iran mula memodenkan tentera dan penguasaan tentera di seluruh rantau itu. Kedua apabila Iran mempertahankan beberapa pulau antaranya, Pulau Besar Tunb, Pulau Kecil Tunb dan Abu Moussa pada 1971.

Harga minyak jadi punca

Tindakan itu mencabar Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut menuntut pulau terbabit. Pertikaian itu kekal sehingga hari ini. Hubungan antara Arab Saudi dan Iran tidak pernah mesra seperti tahun 1968 dan 1979.

Keadaan menjadi bertambah tegang apabila Shah Palavi cuba membina sistem keselamatan Iran di rantau itu yang mendapat tentangan Arab Saudi. Sebaliknya Raja Khalid pada ketika itu cuba membina hubungan dua hala dengan jiran negara Parsi serta sekitar Teluk yang berlangsung hingga ke hari ini.

Selain isu ketenteraan, harga minyak menjadi punca perselisihan antara dua negara terbabit. Arab Saudi bertegas mahukan kenaikan sederhana pada harga OPEC 1976 dan 1977 berbanding apa yang dimahukan Iran.

Apa yang berlaku pada 3 Januari lalu, bukan tindakan kali pertama Arab Saudi memutuskan hubungan dengan Iran. Pada 1988, insiden yang sama berlaku di Teheran. Kedutaan Arab Saudi di serang penunjuk perasaan. Ia mengambil masa yang lama untuk dipulihkan iaitu sehingga Allahyarham Saddam Hussein menyerang Kuwait pada 1990.

Keadaan itu sukar dipulihkan kerana kedua-dua negara saling bercanggah pendapat dan sering terbabit dalam peperangan secara tidak langsung.

PASUKAN keselamatan terpaksa mengawal penunjuk perasaan di Tehran berikutan hukuman bunuh ulama fahaman itu di Arab Saudi.
PASUKAN keselamatan terpaksa mengawal penunjuk perasaan di Tehran berikutan hukuman bunuh ulama fahaman itu di Arab Saudi.

Krisis lama mazhab

Riyadh mengusir Duta Iran susulan tindakan penunjuk perasaan yang menyerang kedutaannya di Tehran, kali ini ia adalah tindak balas kepada pelaksanaan hukuman mati Arab Saudi ke atas ulama terkemuka Syiah, Sheikh Nimr al-Nimr, menyemarakkan lagi kemarahan Iran dan pastinya konflik yang sedia ada di rantau itu sukar untuk diselesaikan.

Krisis terbaharu ini menampakkan kesanggupan Arab Saudi yang semakin bersemangat untuk berdepan dengan Iran dan sekutu ketenteraannya sejak Raja Salman mengambil alih kuasa setahun lalu. 

Malah, demi memastikan kesinambungan pemerintahan baginda melantik anakanda Putera Mahkota Mohammed Salman sebagai pewarisnya.

Cendekiawan terkenal dan Naib Presiden  di Pusat Woodrow Wilson Antarabangsa, Aaron David Miller menerusi tulisannya menggariskan beberapa punca perbalahan antara Arab Saudi dan Iran.

Pertama, kerana krisis lama mazhab antara Sunnah dan Syiah yang menyebabkan perpecahan (secara kasarnya terdapat 85 peratus Sunnah dan 15 peratus Syiah di seluruh rantau itu).

Pada masa sama, persengketaan antara dua negara itu adalah disebabkan perebutan kuasa dan keinginan untuk meluaskan pengaruh masing-masing. Perebutan itu tidak akan terhenti dan bakal menjadi satu beban hingga generasi akan datang.

Miller dalam tulisannya turut mengatakan Arab Saudi takut dengan kebangkitan Iran. Ia membabitkan program nuklear Iran serta pembabitan negara itu dengan perang saudara di Yaman iaitu jiran Arab Saudi.

BARACK Obama, Mohammad Javad Zarif dan Shah Mohammad Reza Pahlavi.
BARACK Obama, Mohammad Javad Zarif dan Shah Mohammad Reza Pahlavi.

Cabaran untuk AS

Campur tangan Iran di Syria, terutama sokongannya terhadap regim Presiden Bashar al-Assad menambahkan lagi kebimbangan Arab Saudi.

Selain itu, menurut Miller, krisis Arab Saudi-Iran bakal mengalihkan tumpuan negara Arab dalam usaha memerangi militan IS. Ia juga bakal mencerahkan masa depan regim Assad dan sudah pasti rundingan untuk mencari jalan penyelesaian di Syria menjadi semakin sukar.

Seandainya terdapat usaha untuk menenangkan Riyadh dan Tehran hingga membolehkan mereka duduk bersemuka di meja rundingan masih belum memadai untuk menghentikan krisis di Syria.

Peluang yang dianggap tipis sebelum ini menjadi tertutup, malah Syria mampu menjadi pencetus perang antara kedua-dua negara berbeza mazhab itu.

Ketika ketegangan ini berlaku Iran kelihatan seperti sudah kalah dengan keadaan. Beberapa rakan dagangan terbesar seperti UAE, Sudan, Bahrain dan Kuwait turut memutuskan hubungan diplomatik.

Semuanya kerana kegagalan Iran menghalang mahupun mengekang keganasan terhadap kedutaan Arab Saudi di negara itu menjadikan ia semakin terpinggir.

Akhirnya menurut Miller krisis Arab Saudi-Iran membuatkan Amerika Syarikat semakin pening dan terpaksa berdepan dengan cabaran besar.

Siapa yang mengambil alih jawatan Presiden Amerika Syarikat selepas ini suka atau tidak, terpaksa berdepan dengan situasi perang dingin antara dua negara kuasa besar rantau Arab itu.

Berita Harian X