Selasa, 22 Disember 2015 | 12:03am

Naruto buat Jasmi lebih kreatif ketika menembak



MASYARAKAT masa kini mempunyai pelbagai minat serta kebolehan bagi mengisi masa lapang, begitu juga dengan atlet negara.

Bagi penembak elit kebangsaan iaitu Jasmi Mohamad Zin, 22, dia memilih untuk mengumpulkan figura aksi pelbagai watak sang wira sebagai hobi, termasuklah karakter popular yang menjadi kegemarannya - Naruto, Sasuke dan Hiroshima.

Koleksinya hingga kini sudah melebihi 100 watak dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM3,000 hingga RM5,000. Dia mula mengumpul figura itu pada usia 15 tahun ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said, Negeri Sembilan.

"Saya mula kumpul dari Tingkatan Tiga walaupun kewangan tidak begitu kukuh. Saya beli sikit-sikit dan sampai sekarang, masih beli lagi. Sesetengah orang hanya suka sejenis watak saja tapi berbeza dengan saya kerana suka campur-campur.

JASMI bergambar bersama koleksi figura aksinya. - Foto Owee Ah Chun
JASMI bergambar bersama koleksi figura aksinya. - Foto Owee Ah Chun

"Pemilihan watak itu lebih kepada pergerakan kerana saya suka mengambil gambar aksi, banyak boleh digayakan. Saya suka watak yang ada pedang dan pistol seperti samurai kerana kalau kita bermain permainan video, pedang digunakan untuk serangan jarak dekat, manakala pistol jarak jauh," kata atlet itu yang kini menuntut peringkat Sarjana Muda di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Rangkaian Komputer.

Menceritakan mengenai hobinya itu ketika ditemui di UPM, Jasmi berkata, dia begitu gemar watak figura aksi yang menggunakan pistol kerana mempunyai keunikan tersendiri, selain bertepatan dengan kerjayanya ketika ini iaitu penembak acara pistol 10 meter (m) dan 50 m.

"Kalau pistol ini, sukan saya pun menembak..sebab itu saya minat. Sebenarnya, bila dikatakan hobi, saya akan cari masa walaupun sibuk dengan belajar dan menembak. Bagi saya waktu malam dan hari Sabtu, Ahad akan digunakan untuk melepaskan tekanan.

JASMI bergambar bersama koleksi figura aksi Naruto miliknya. - Foto Owee Ah Chun
JASMI bergambar bersama koleksi figura aksi Naruto miliknya. - Foto Owee Ah Chun

"Apa yang boleh saya katakan apabila mengumpulkan watak ini dan mengambil gambar mereka dengan pelbagai aksi, ia secara tak langsung mengajar saya menjadi kreatif apabila melakukan tembakan ketika latihan mahupun kejohanan selain ia memberikan saya ketenangan," katanya yang turut mendapatkan koleksi dari Jepun.

Selain minat mengumpulkan figura aksi, Jasmi juga mempunyai kemahiran lain iaitu mengedit video, mengambil gambar, termasuklah perkahwinan, malah mempunyai kru sendiri dinamakan Light Motion Production.

"Kisah mengenai video ini bermula ketika berada di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan kami mula membentuk pasukan hingga lapan orang untuk menyertai pertandingan mengikut tema. Saya belajar mengedit video ini sendiri dan kalau ada masa, saya akan buat video kahwin," katanya.

Berbalik ke dunia kerjaya sebenar selaku atlet, Jasmi menyasarkan untuk membidik pingat emas pada temasya Sukan SEA 2017, sekali gus meletakkan namanya selaku penyumbang pingat.

Justeru, dia kini dalam proses memantapkan diri bagi mendapatkan tembakan terbaik bagi merealisasikan hasratnya itu.

PENEMBAK elit kebangsaan, Jasmi Mohamad Zin. - Foto Goh Thean Howe
PENEMBAK elit kebangsaan, Jasmi Mohamad Zin. - Foto Goh Thean Howe

"Saya akan cuba dapatkan pingat emas untuk acara kegemaran iaitu 50 m free pistol. Untuk itu saya akan menjalani latihan dengan sistematik bagi meningkatkan prestasi. Ini adalah sebagai satu penghargaan saya kepada negara selain menjayakan misi `Kita Juara'," katanya.

Jika layak, ia akan menjadi penampilan kedua buat atlet itu dalam temasya sukan dwitahunan berkenaan.

Pada penampilan pertamanya di Singapura, Jasmi meraih tempat keempat dalam acara 50 m free pistol.

Selain itu, dia turut memahat nama apabila meraih pingat perak acara 10 m pistol dengan himpunan 572 mata pada Kejohanan Menembak Grand Prix Antarabangsa Kuwait keempat, awal tahun ini.

Berita Harian X