Ahad, 20 Disember 2015 | 12:19am
Waris Hang Tuah, Khalid Hussin menunjukkan keris lama yang didakwa digunakan oleh moyangnya.
Waris Hang Tuah, Khalid Hussin menunjukkan keris lama yang didakwa digunakan oleh moyangnya.

Penafian segelintir sarjana tidak jejaskan kewujudan Hang Tuah

gn4id:11145647

Ratusan sarjana, bukti sahkannya sejak seratus tahun lalu, pengkaji diminta kumpul dan susun dokumentasi sejarah supaya tidak mengulangi jawapan

Sehubungan dengan polemik terbaru mengenai wujud atau tidak wujudnya Hang Tuah, saya ingin merujuk kepada pernyataan yang dianggap konklusif daripada persidangan antarabangsa mengenai Hang Tuah yang diadakan di Melaka pada tahun 2012:

"Hang tuah dilahirkan sebagai seorang manusia yang berdarah daging, mempunyai jasad dan jiwa, kuasa dan rasa, akal dan fikir; bukan seorang yang diwujudkan hanya dalam ruang fantasi, sebagai lambang keagungan dan keperkasaan tamadun suatu bangsa, (bangsa Melayu).

"Keperkasaan dan keagungan tamadun Melayu juga bukan sekadar ilusi yang dilakar dan diisi dengan khayalan dan emosi; tetapi suatu realiti yang dirakam bersama sejarah, keringat, darah dan air mata bangsa Melayu.

"Tamadun Melayu atau alam Tamadun Melayu telah memberikan sumbangan yang penting dalam kewujudan dan perkembangan tamadun Dunia."

Bukti kewujudan Hang tuah terakam dalam dua sumber tertulis, iaitu Hikayat Hang Tuah, sebagai epik atau roman sejarah dan Sulalatus-Salatin atau Sejarah Melayu sebagai karya sastera sejarah atau historiografi Melayu tradisional.

PENGERUSI Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) , Datuk Prof Mohd Jamil Mukmin, menunjukkan buku mengenai Hang Tuah ketika ditemui di Muzium Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Bandar Hilir. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
PENGERUSI Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) , Datuk Prof Mohd Jamil Mukmin, menunjukkan buku mengenai Hang Tuah ketika ditemui di Muzium Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Bandar Hilir. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Sebati dalam darah daging Melayu

Lebih daripada itu, kewujudan manusia atau tokoh wira itu terjalin sebati dengan darah daging dan pemikiran manusia Melayu. Seterusnya menjadi tunjang kepada jati diri dan akal budi bangsa Melayu.

Pembicaraan mengenai Hang tuah, dirinya sebagai wira Melayu, epik, budaya dan kebangsaan banyak dikemukakan oleh sarjana, penulis dan pengkaji budaya, sastera, bahasa, sejarah serta psikologi dan dalam bidang ilmu lain, bukan saja oleh ilmuwan tempatan, bahkan pada peringkat serantau dan antarabangsa.

Seminar Antarabangsa Hang Tuah - Sebutir Permata di Persada Tamadun Bangsa Sempena 750 Tahun Melaka anjuran Kerajaan Melaka, pula membicarakan kewujudan Hang Tuah sebagai reaksi terhadap segelintir pendapat yang mempersoalkan kewujudannya. Sebelum itu juga Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu, Sulalat al-Salatin dan Hikayat Hang Tuah diadakan di negeri sama, setahun sebelumnya.

Pakar pelbagai bidang sama ada tempatan atau antarabangsa termasuk China, Eropah, Russia, Indonesia dan Singapura bukan saja memberikan pendapat yang positif, bahkan tidak ada seorangpun yang menafikan kewujudan itu.

Dalam sejarah pengkajian terhadap sastera, bahasa dan budaya Melayu yang dilakukan oleh beberapa sarjana, tempatan dan antarabangsa, iaitu sejak 100 tahun lalu hingga ke hari ini, tidak pernah ada pendapat yang definitif yang menafikan kewujudan Hang Tuah.

Malah secara keseluruhan kajian mereka misalnya seperti yang dikemukakan oleh Prof Dr Tatiana A Danisova dalam buku Sumber Historiografi di Alam Melayu - Koleksi Peribadi John Bastin terbitan Perpustakaan Negara Malaysia.

Tatiana menyatakan pelbagai sumber yang mengisahkan kejayaan dan pencapaian masyarakat Melayu di dunia Melayu serta Asia Tenggara dalam pelbagai bidang kemahiran yang tinggi, sejajar dengan pencapaian tamadun lain di dunia pada zaman berkenaan.

LAKARAN wajah Hang Tuah. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
LAKARAN wajah Hang Tuah. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Hang Tuah sebagai duta

Dari segi diplomatik raja dan kerajaan di Dunia Melayu menulis serta mengutus surat, menghantar duta ke beberapa negeri asing. Kehebatan duta itu diberikan contoh antaranya Hang Tuah dari Kesultanan Melayu Melaka.

Sesungguhnya aspek kewujudan Hang Tuah dalam masyarakat dunia Melayu ialah sebagai wira epik, nasional dan budaya sama seperti wira lain termasuk wira Panji dalam kesusasteraan Jawa.

Menurut sarjana Jawa yang mengkaji cerita Panji Jawa, Raden Mbah Ngabehi Poerbacaraka, kewujudan epik Panji adalah untuk menyaingi, malah mengenepikan nasionalisme dan patriotisme Hindu yang mempengaruhi seluruh kehidupan masyarakat Jawa bagi tempoh melebihi seribu tahun.

Betapa dalamnya pengaruh Hindu, karya sastera seperti Kekawin Ramayana dibacakan dalam istiadat pertabalan raja Jawa, ahli petapa Tantrik Hindu Buddha, setelah mempunyai kuasa sakti, memberikan kuasa saktinya kepada raja, hingga raja juga mempunyai kuasa sakti. Bagaimanapun dengan munculnya wira Panji, maka wira dan dewa Hindu berjaya disingkirkan.

Hikayat Hang Tuah menurut RO Winstedt, pada dasarnya juga dimaksudkan untuk menyaingi dan mengenepikan pengaruh nasionalisme dan patriotisme Jawa. Justeru, diserlahkan dalam apa juga perlakuan, sakti dan kebijaksanaan, semuanya dikalahkan oleh hulubalang Melayu, iaitu Hang Tuah kelima saudara.

Setelah selesai perkahwinan Sultan Melaka dengan puteri Majapahit, Gajah Mada menganugerahkan Inderagiri kepada Raja Melaka. Kemudian Hang Tuah pula mengadap Raja Jawa memohon negeri yang lain, lalu diberikan juga oleh raja begitu mudah.

MANUSKRIP Hang Tuah yang terdapat di Perpustakaan Negara. - Foto Saddam Yusoff
MANUSKRIP Hang Tuah yang terdapat di Perpustakaan Negara. - Foto Saddam Yusoff

Patriotisme Melayu, kalahkan Jawa

Jelas sekali menyerlahkan nasionalisme dan patriotisme Melayu lebih tinggi dan dapat mengalahkan Jawa. Dengan demikian Winstedt menolak anggapan yang menunjukkan kebergantungan Hang Tuah kepada Panji Jawa sehingga tindakan menolak Hang Tuah kerana terdapat sedikit kebersamaan dengan Panji Jawa, adalah tidak wajar diterima.

Kemahiran Prof Emeritus Ahmat Adam dalam menguasai ilmu filologi misalnya dalam analisis akademiknya terhadap Sulatus Salatin (Sejarah Melayu) memang dianggap cukup hebat dan sangat menyumbang dalam kajian sastera Melayu.

Namun untuk menghubungkan penemuan dan penggunaan filologi dalam menentukan kewujudan Hang Tuah, hingga menolak kewujudan tokoh itu serta menganggap keseluruhan kisahnya sebagai dongeng, fiksyen dan tidak berasas, rasanya sedikit keterlaluan. Justeru, sebaiknya disarankan supaya dapatan dan analisis berkenaan, dipertimbangkan sewajarnya.

Saya melihat ratusan sarjana dan bukti diberikan secara objektif bahawa Hang Tuah itu wujud. Kerana itu kalau seorang dua menafikannya, gagasan pertama itu tidak terjejas sedikit pun.

Ketika bangsa, bahasa, budaya dan tamadun Melayu pada masa ini sedang diperlekeh pelbagai pihak, maka nasionalis, budayawan serta intelektual Melayu sewajarnya bangkit mempertahankan keagungan dan keperkasaan tamadun yang sudah tegak berdiri gagah selama ratusan tahun.

Janganlah kita sewenang-wenangnya menggugat hal demikian apatah lagi wahana yang diguna pakai dalam gugatan itupun masih belum boleh dianggap berwibawa, konklusif atau definitif.

PROFESOR Emeritus Dr Ahmat Adam di forum Wujudkah Hang Tuah?, Universiti Malaya. - Foto Rohanis Shukri
PROFESOR Emeritus Dr Ahmat Adam di forum Wujudkah Hang Tuah?, Universiti Malaya. - Foto Rohanis Shukri

Tubuh panel, kumpulkan dokumentasi

Sehubungan itu, adalah disarankan supaya ditubuhkan panel penyelidik, manakala penulis dan pejuang bangsa, bahasa serta budaya Melayu pula perlu mengumpul dan menyusun semua dokumen yang membuktikan kewujudan, keperkasaan dan kebijaksanaan Hang Tuah sebagai wira Melayu.

Panel itu misalnya mungkin ditangani oleh institusi dan sarjana pengajian Melayu yang berwibawa antaranya Perpustakaan Negara Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Yayasan Karyawan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan badan akademik seperti Filologi Malaysiana yang sedang dirancang dan diusahakan penubuhannya.

Justeru, polemik seperti ini dapat menghasilkan hikmah yang positif dan bermanfaat untuk maksud yang berkebajikan. Sebarang persoalan yang ditimbulkan baik bersifat akademik mahupun provokatif dapat saja dirujuk kepada dokumen yang telah diterima sebagai mapan, definitif dan berautoriti tanpa mengulangi hujah, semata-mata untuk menangani persoalan yang tidak lagi relevan (malah berbahaya) dalam perkembangan masa kini dan akan datang.

PROFIL

Penulis ialah pengkaji kesusasteraan Melayu tradisional yang pernah berkhidmat sebagai Mualim Tamu Perpustakaan Negara Malaysia dan Karyawan Tamu DBP.

Berita Harian X