Sabtu, 19 Disember 2015 | 12:29am
SEMUA kucing tempatan di kafe itu juga boleh dibawa pulang untuk dipelihara. - Foto Dzulkeffli Mustapha
SEMUA kucing tempatan di kafe itu juga boleh dibawa pulang untuk dipelihara. - Foto Dzulkeffli Mustapha

Kafe kucing tarikan baharu Lukut, Port Dickson

 

HASRAT membantu kucing jalanan menyebabkan lima sahabat membuka sebuah kafe kucing diberi nama Kafe The Country Cat di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kafe ini mudah dikenali kerana dari jauh sudah kelihatan patung kucing besar ungu, yang diberi nama 'Hi Gatto' dalam bahasa Itali yang bermaksud Hai Kucing.

Seorang daripada rakan kongsi kafe itu, Chris Lee, 59, berkata penubuhan kafe itu yang dibuka sejak Julai lalu, sebenarnya bukan baharu di negara ini kerana sebelum ini ia beroperasi di Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 2013.

Katanya, kafe di Kuala Lumpur itu diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai kafe kucing pertama di negara ini.

CHRIS Lee bersama sebahagian koleksi patung kucing di Kafe The Country Cat di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Dzulkeffli Mustapha
CHRIS Lee bersama sebahagian koleksi patung kucing di Kafe The Country Cat di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Dzulkeffli Mustapha

"Kami buka di Kuala Lumpur dua tahun lalu untuk melihat sambutan orang ramai serta mengenal pasti kelemahan yang ada.

"Akhirnya, kami memilih Lukut sebagai kafe tetap kerana daerah ini menjadi tumpuan pelancong dan yakin mampu menarik ramai pengunjung ke kafe itu, yang kini memiliki 30 ekor kucing tempatan dan lima baka mahal," katanya kepada BHPlus.

Beliau yakin kafe ini akan menjadi antara tarikan baharu kepada orang ramai, terutama peminat kucing kerana konsep yang ditampilkan di kafe itu amat berbeza.

Katanya, semua kucing tempatan diberikan oleh Pertubuhan Kebajikan Haiwan (PAWS), iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kebajikan haiwan jalanan.

ANTARA kucing yang terdapat di Kafe The Country Cat. - Foto Dzulkeffli Mustapha
ANTARA kucing yang terdapat di Kafe The Country Cat. - Foto Dzulkeffli Mustapha

Pada peringkat awal pembukaan kafe tiga tingkat itu, katanya, terdapat sebanyak 40 ekor kucing tempatan, tetapi bilangan kucing semakin berkurangan kerana diambil oleh pengunjung untuk dipelihara.

"Semua kucing tempatan bukan hanya untuk pameran, tetapi orang ramai boleh mengambil kucing berkenaan untuk dipelihara selepas mengisi borang yang disediakan oleh PAWS.

"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana walaupun semua kucing tempatan adalah kucing jalanan, kucing ini telah disuntik ubat dan vaksin bagi mengelakkannya dijangkiti penyakit," katanya.

Katanya, konsep yang ditampilkan di kafe itu berbeza berbanding di luar negara yang memberi peluang kepada pengunjung makan bersama kucing yang dibiarkan berkeliaran.

RUANG rehat di Kafe The Country Cat. - Foto Dzulkeffli Mustapha
RUANG rehat di Kafe The Country Cat. - Foto Dzulkeffli Mustapha

Di Kafe The Country Cat, kucing dan tempat makan untuk pengunjung diasingkan kerana faktor kesihatan serta mengelakkan pengunjung daripada berasa ragu dengan tahap kebersihan kafe.

Tingkat pertama bangunan itu menempatkan kafe dan kedai cenderahati serta ruang untuk pengunjung bergambar dengan pelbagai koleksi berkaitan kucing.

Tingkat kedua pula, ruang semua kucing dibiarkan berkeliaran dengan tema lorong belakang. Pengunjung boleh bermain dengan haiwan itu di sini.

Tingkat ketiga pula menempatkan kucing baka mahal iaitu American Curl dan orang ramai juga boleh bermain dengan kucing di sini. Kafe ini akan memelihara beberapa ekor baka lain, termasuk British Shorthair dan Maine Coon.

Selain itu, Kafe The Country Cat menyediakan kemudahan penginapan untuk kucing atau hotel kucing dengan kadar bayaran berpatutan.

Lee berkata, walaupun baru dibuka, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ramai pengunjung datang dari negeri lain, terutama sekitar Lembah Klang.

 

Katanya, beberapa penambahbaikan akan dibuat, terutama membabitkan makanan yang dihidangkan di kafe itu kerana ketika ini, hanya makanan ringan seperti minuman, kek, roti dan ais krim yang dijual.

"Mulai tahun hadapan, kami akan menghidangkan makanan lebih berat untuk sarapan, makan tengah hari dan  petang.

CHRIS Lee menunjukkan gambar aksi senaman Yoga Kucing. - Foto Dzulkeffli Mustapha
CHRIS Lee menunjukkan gambar aksi senaman Yoga Kucing. - Foto Dzulkeffli Mustapha

"Selain itu, kami juga akan mengadakan aktiviti senaman Yoga Kucing, untuk pengunjung. Senaman ini bagus untuk menghilangkan tekanan. Kelengkapan sudah ada, cuma buat masa ini kami menunggu tenaga pengajar," katanya.

Lee berkata, kafe yang mempunyai lima kakitangan itu bukan hanya untuk mencari keuntungan, tetapi memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyelamatkan kucing jalanan.

Selain menderma wang dan makanan kucing untuk kebajikan haiwan itu, katanya, pengunjung boleh membawa balik haiwan itu untuk dipelihara.

"Ini bersesuaian dengan slogan kami, `Setiap Kucing Layak Memiliki Tempat Tinggal'. Oleh itu, kami berharap pengunjung bukan hanya melihat, tetapi membawa balik kucing untuk dipelihara, sekali gus membolehkan lebih banyak kucing jalanan ditempatkan di sini," katanya.    

KAKITANGAN awam dari Ampang, Selangor, Nursyaffiza Mustaffa (kiri) dan rakannya, Anis Roozaine Ab Rahman. - Foto Dzulkeffli Mustapha
KAKITANGAN awam dari Ampang, Selangor, Nursyaffiza Mustaffa (kiri) dan rakannya, Anis Roozaine Ab Rahman. - Foto Dzulkeffli Mustapha

Sementara itu, kakitangan awam dari Ampang, Selangor, Nursyaffiza Mustaffa, 25, berkata beliau mengetahui kewujudan kafe itu selepas ternampak patung kucing besar itu.

"Saya suka dengan konsep kafe ini dan akan membawa ibu yang sangat sukakan kucing ke sini," katanya yang turut memelihara kucing di rumah.

Rakannya, Anis Roozaine Ab Rahman, 25, juga menyukai kucing tetapi tidak dapat memelihara haiwan itu kerana tidak dibenarkan ibunya.

"Bagaimanapun jika datang bercuti lagi ke sini, saya pasti akan singgah di sini kerana berpeluang bermain dengan kucing  sepuas-puasnya," katanya.

Berita Harian X