Selasa, 15 Disember 2015 | 12:05am
KAKA dan Alif pada Majlis Majalah EH! Top 20 di Aloft, KL Sentral. - Foto Shiraz Ali
KAKA dan Alif pada Majlis Majalah EH! Top 20 di Aloft, KL Sentral. - Foto Shiraz Ali

'Bukan Hal Aku' tiada kaitan kontroversi: Kaka



KONTROVERSI lalu yang memalit nama Kaka Azraff enggan lagi dikenang.

Nama anak saudara kepada ratu rock, Ella ini pernah hangat suatu ketika dahulu mengaitkan dirinya dengan sebagai punca hubungan pelakon Tasha Shilla dengan kekasihnya, Hans, putus.

Rentetan itu, Kaka juga dikatakan dalang kepada penyebaran gambar separuh bogel mirip pelakon terbabit oleh segelintir pihak.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff mengambil langkah untuk membenam rapat kisah lalu.

Baginya, semua itu sudah bernoktah. Empat tahun bekerja keras membina nama di persada seni hiburan tanah air, teman akrab kepada Juliana Evans ini tidak mahu terus-terusan memikirkan apa yang sudah terjadi, apatah lagi bermusuh dengan sesiapa.

Baginya, apa yang lebih penting ialah fokus terhadap perjuangan karier seninya.

PENYANYI, Kaka Azraff. - Foto Munira Abdul Ghani
PENYANYI, Kaka Azraff. - Foto Munira Abdul Ghani

"Ini masa untuk saya buktikan berada di arena seni atas paksi kerjaya dan bukannya hal peribadi atau kontroversi.

"Keutamaan dan kepentingan saya ialah untuk terus meneruskan kelangsungan seni. Bukan masa lagi untuk saya main-main

"Saya sedikit pun tidak berasa hati atau cepat melatah dengan apa yang pernah dilalui itu. Bagi saya, ia lumrah kehidupan seorang selebriti.

"Dalam soal dikaitkan dengan kisah sensasi ini, saya sebenarnya sudah mempersiapkan diri dari aspek mental dan fizikal untuk sentiasa tenang," katanya.

Lebih bermakna, lagu Bukan Hal Aku dendangannya menampilkan penyanyi Sleeq turut mara ke Anugerah Juara Lagu Ke-30 (AJL30), yang akan berlangsung pada 24 Januari ini.

Kejayaan itu terus menyemarakkan semangat Kaka untuk membuktikan bakat seninya yang diceburi sejak empat tahun lalu.

KAKA Azraff tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. - Foto Munira Abdul Ghani
KAKA Azraff tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. - Foto Munira Abdul Ghani

"Alhamdulillah kejayaan ini, kejayaan kerja pasukan. Terima kasih kepada syarikat pengurusan, Uprising Entertainment, yang tak putus putus memberikan sokongan.

"Insya-Allah tiada aral, album studio saya akan muncul pada tahun hadapan. Saya juga baharu selesai merakamkan single terbaharu yang belum berjudul," katanya.

Ditanya apakah lagu Bukan Hal Aku itu sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan dirinya dan kontroversi melanda, Kaka menafikan perkara itu.

Tegasnya, lagu itu menceritakan mengenai kekuatan wanita yang berdepan dengan pancaroba hidup.

Selain menyanyi, Kaka turut dilihat mempunyai bakat dalam dunia lakonan.

Baru-baru ini, dia muncul menerusi drama Plan Cinta Tak Jadi memegang watak Sarah.

LAGU 'Bukan Hal Aku' tiada kaitan dengan kontroversi melanda, ...Kaka Azraff. - Foto Munira binti Abdul Ghani
LAGU 'Bukan Hal Aku' tiada kaitan dengan kontroversi melanda, ...Kaka Azraff. - Foto Munira binti Abdul Ghani

Kaka turut membintangi filem 7 Dimensi Aliff bersama Juliana Evans, Izzue Islam dan Alif Satar. Kaka juga mendapat kepercayaan menyanyikan lagu tema filem itu, Kudrat.

Selain itu, Kaka juga membintangi filem Paradox di samping pelakon Josiah Hogan dan Kaka juga muncul sebagai cameo dalam filem Interchange. Filem terbaharu arahan Dean Said itu dibintangi Nicholas Saputra.

Peluang berlakon di bawah arahan Dean Said yang disifatkan Kaka penuh kaliber menjadi momen terindah dalam kerjaya seninya.

"Jika ada lagi tawaran berlakon selepas ini, saya tak menolak jika ada yang bersesuaian.

"Saya pernah berlakon teater, jadi tak janggal berlakon drama atau filem. Yang pasti, nyanyian tetap menjadi keutamaan saya," katanya.

PROFIL

Nama sebenar: Nor Atiqa Noor Azraff

Lahir: 20 Mei 1989

Asal: Klang, Selangor

Keluarga:

* Anak ketiga daripada empat beradik

* Anak saudara Ella

Pengalaman/pencapaian:

* Mula menyanyi sejak usia lapan tahun

* Pernah menghadiri saringan One In A Million (OIAM) ketika usianya 17 tahun tetapi hanya melepasi peringkat awal

* Mula dikenali melalui lagu Bawaku Pergi duet dengan Zizan pada 2010

* Dikenali melalui lagu duet, Infiniti Cinta dengan Zizan dan Bukan Hal Aku dengan Sleeq

* Pernah berlakon teater melalui Bukan 404 dan Projek Kahwin.

Berita Harian X