Ahad, 13 Disember 2015 | 12:02am

Masyarakat perlu hargai kualiti kraf tempatan

BARANGAN kraf tempatan memiliki kelasnya tersendiri.
BARANGAN kraf tempatan memiliki kelasnya tersendiri.

HASILAN kraf dalam negara mampu disifatkan antara yang terbaik di dunia.

Jika sebelumnya, penghasilan produk kraf lebih bertumpu kepada barang kegunaan harian misalnya bakul, tikar, tudung saji, tembikar dan arca, kini, fungsi dan kegunaannya diperluaskan merangkumi perabot, perhiasan diri, malah elemen dekorasi.

Meskipun pelbagai usaha dilakukan, ia masih gagal menambat hati masyarakat negara ini.

Melainkan segelintir pencinta kraf, sambutan terhadap produk itu diakui dingin dan sekiranya ada yang cuba mendekati dan menanam minat, terpaksa melupakan hasrat itu berikutan harganya yang mahal.

Ini menjadikan penghasilan kraf buatan tempatan seolah-olah disasarkan kepada pelancong asing kerana mereka memiliki kuasa beli dan nilai mata wang yang lebih besar.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Zuraida Mokhtar, tidak menafikan barangan kraf tempatan memiliki kelasnya tersendiri, begitu juga nilaian ditetapkan untuknya, namun menyangkal produk itu gagal menguasai pasaran tempatan serta luar negara.

"Kraf ada berbilang cabang meliputi batik yang lazimnya popular di Kelantan, kayu (Pahang), seramik (Perak), logam menerusi tembaga, perak dan piuter, termasuk hasil rimba yang melahirkan ramai usahawan IKS berjaya (industri kecil dan sederhana), sekali gus menawarkan pelbagai karya menakjubkan lagi kompetitif.

"Menerusi rekod jualan, produk kraf bersaiz kecil amat popular dalam kalangan pelancong asing," katanya.

Penggemar hasil kerja tangan tidak lagi berlegar kalangan mereka berjiwa klasik dan memiliki selera antik sebaliknya mula menjangkiti generasi muda yang menghuni kediaman urban khususnya pangsapuri.

Kraf kayu kian mendapat tempat untuk binaan pergola dan wakaf, sekali gus membentuk sebahagian hiasan landskap.

Rekaan dan motif kraf kini banyak berciri kontemporari, yang memenuhi keperluan dan kriteria dituntut pangsapuri berkeluasan terhad.

Penggiat kraf disyorkan mengutamakan karya berciri inovatif dan teknikal di samping peka dengan trend serta kehendak pasaran bukan mengikut cita rasa peribadi.

Zuraida berkata, Kraftangan Malaysia memberikan kerjasama dari segi menyediakan pereka untuk berkongsi panduan mengenai reka bentuk dan maklumat pasaran, selain mencari bakat baharu yang boleh diketengahkan sebagai usahawan.

JIKA dulu penghasilan produk kraf lebih bertumpu kepada barang kegunaan harian.
JIKA dulu penghasilan produk kraf lebih bertumpu kepada barang kegunaan harian.

Kraftangan Malaysia juga memikul tanggungjawab membantu usahawan menetapkan nilai barang sehingga memperoleh harga kompetitif, selain mendidik masyarakat menghargai kualiti kraf tempatan.

"Masyarakat perlu didedahkan kesukaran penggiat dalam mengilhamkan sesuatu produk dan ini punca, ia dijual dengan harga tinggi. Jangan bandingkan harga kraf kita dengan Thailand, India dan Indonesia kerana mereka ada tenaga buruh yang murah selain pembabitan ramai usahawan kraf," katanya.

Mengikut rekod Kraftangan Malaysia, jumlah usahawan dan penggiat kraf dilaporkan menunjukkan perkembangan menggalakkan dalam tempoh 15 tahun ini iaitu pada 2001, sejumlah 1,853 usahawan direkodkan dan jumlah itu meningkat kepada 6,000 orang tahun ini.

Berita Harian X