Sabtu, 12 Disember 2015 | 12:04am

Keenakan udang bersalut mentega

UDANG antara makanan laut digemari ramai. Tidak kira dimasak sajian apa sekalipun, pasti ada peminatnya yang tersendiri.

Di negara kita, ada pelbagai jenis udang. Di Sabah, harga udang dikatakan sangat murah kerana ia lubuk hidupan laut itu dan mudah didapati.

Spesies udang meliputi ketak, geragau, galah, harimau, karang, merah dan kara. Ia dikatakan kaya khasiat Omega 3, vitamin B12 dan niacin, selain bahan galian seperti zink dan zat besi.

Udang geragau biasanya dihasilkan menjadi cencaluk dan belacan. Selain itu, ia juga boleh dibuat bahan tambahan untuk cucur goreng.

Masak apa saja menu berasaskan udang, ia tetap lazat, cuma pengambilannya perlu dikawal terutama mereka yang menghidapi gout.

Antara hidangan mudah dan popular dalam kalangan pelanggan ialah udang bersalut mentega.

Minggu ini, Aroma Kulinari berkongsi masakan udang bersalut mentega yang dihasilkan Chef de Cuisine, Chef Saad Othman dari Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Bahan:

  • 600 gram (g) udang (20-30 ekor)

  • 3 ulas bawang putih

  • 10 g daun kari

  • 30 g cili padi

  • 100 g telur goreng hancur

  • 120 g marjerin

  • 30 g lada putih

  • Garam secukup rasa

  • Minyak masak

Cara penyediaan:

1. Gorengkan udang hingga keemasan dan asingkan.

2. Kemudian tumiskan bawang putih hingga kekuningan, masukkan marjerin, daun kari dan cili padi.

3. Kemudian masukkan udang yang sudah digoreng tadi dan gaul sama rata.

4. Masukkan telur dadar yang sudah digoreng hancur dan gaul sehingga sebati bersama lada putih.

5. Boleh dihidangkan.

Berita Harian X