Selasa, 24 November 2015 | 12:02am
KESAN pengambilan makanan laut menyebabkan risiko sehingga tujuh peratus.
KESAN pengambilan makanan laut menyebabkan risiko sehingga tujuh peratus.

Jangan pandang ringan serangan gout

GOUT adalah masalah bengkak sendi dan tisu disebabkan pengumpulan kristal asid urik, iaitu bahan kumuh protein yang perlu dibuang menerusi air kencing.
GOUT adalah masalah bengkak sendi dan tisu disebabkan pengumpulan kristal asid urik, iaitu bahan kumuh protein yang perlu dibuang menerusi air kencing.

KAJIAN terbaharu Pusat Penyelidikan dan Latihan Epimologi Klinikal, Universiti Boston, Amerika Syarikat mendapati sindrom tidur obstruktif (sleep apnea) meningkatkan risiko gout, bengkak sendi dan alahan.

Gout adalah masalah bengkak sendi dan tisu disebabkan pengumpulan kristal asid urik, iaitu bahan kumuh protein yang perlu dibuang menerusi air kencing.

Ketua penyelidik institut berkenaan, Yuqing Zhang, berkata kajian mendapati gangguan tidur menyebabkan pesakit tidak dapat bernafas dengan teratur, kekurangan oksigen dan mencetuskan pengeluaran asid urik berlebihan dalam pembuluh darah.

Beliau berkata, berat badan berlebihan atau obesiti menjadi punca utama menyebabkan sindrom tidur obstruktif dan gout.

Namun katanya, pertambahan berat badan menyebabkan berlakunya gangguan tidur dan perkara ini meningkatkan risiko serangan gout.

"Bahkan, ia turut menyebabkan masalah lain seperti tekanan darah tinggi, serangan jantung, strok dan kegagalan injap jantung," katanya.

Kajian berkenaan membabitkan 10,000 individu baru yang didiagnosis mengalami sindrom tidur obstruktif dan 40,000 individu normal daripada kelompok usia, gender dan komposisi badan sama untuk menyaksikan perbandingan kandungan asid urik dalam darah.

Keputusan kajian diterbitkan dalam Jurnal Artritis dan Reumatologi itu mendapati masalah gout dua kali lebih tinggi dalam kalangan pesakit sindrom tidur obstruktif.

Zhang berkata, sindrom tidur obstruktif turut berlaku dalam kalangan individu kurus dan mereka tidak terkecuali diserang gout, dengan risiko sehingga 80 peratus.

"Rawatan terhadap sindrom tidur obstruktif berupaya mengurangkan risiko gout. Ini menunjukkan hubung kait antara sindrom tidur obstruktif dan gout," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Penjagaan Luka, Jabatan Perubatan Am, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Harikrishna K R Nair, menjelaskan lelaki berisiko tinggi mendapat serangan gout berbanding wanita, yang berisiko tinggi terkena gout hanya selepas menopaus.

Katanya, situasi berlaku berikutan buah pinggang gagal menyingkirkan asid urik. Proses berkenaan boleh tersekat apabila asid urik, atau turut dikenali sebagai purin berlebihan, berkumpul dalam sendi atau salur kencing.

"Gout kerap berlaku selepas musim perayaan berikutan pesakit tidak menjaga corak pemakanan mereka," katanya.

GOUT lazimnya menyerang ibu jari kaki, buku lali, lutut dan pergelangan tangan menyebabkannya merah, panas, bengkak dan tersangat sakit.
GOUT lazimnya menyerang ibu jari kaki, buku lali, lutut dan pergelangan tangan menyebabkannya merah, panas, bengkak dan tersangat sakit.

Punca serangan

  • Genetik
  • Kandungan asid urik dalam badan tinggi
  • Masalah metabolisme
  • Pengambilan ubat diuretik
  • Alkohol berlebihan

Gejala

  • Bengkak, merah, panas dan sakit melampau pada sendi seperti ibu jari kaki, buku lali, lutut dan pergelangan tangan.
  • Serangan berlaku secara tiba-tiba dan lebih kerap dalam tempoh semalaman.
  • Serangan pada sendi. Misalnya, geseran kertas menyebabkan pesakit menderita kesakitan
  • Sakit berlarutan, sekurang-kurangnya satu atau dua minggu.
  • Sakit berulang, menyerang kembali selepas seminggu atau bulan berikutnya.

Usia

  • 20-an - 50-an

Jenis Gout

  • Gout kronik - pembentukan benjolan gout yang mengganggu kehidupan pesakit.
  • Gout akut - bengkak pada sendi dalam skala kecil dan pesakit masih boleh berjalan, melakukan kerja harian serta pulih dalam tempoh singkat.

Kandungan asid urik

  • Lelaki dewasa (3 - 7 mg)
  • Wanita dewasa (2 - 6 mg)
  • Gout (10mg ke atas)

Rawatan

  • Ubat penahan sakit - Voltaren atau Colchixine (tetapi tidak boleh diambil bersama ubat harian pesakit)
  • Non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAID) - ibuprofen, naproxen dan indomethacin NSAID (kawal keradangan dan kesakitan pada sendi dalam tempoh 12-24 jam)
  • Halang pengeluaran asid urik - Allopurinol (Diambil dalam tempoh seminggu atau dua selepas serangan bagi mengekalkan tahap asid urik dalam darah)
  • Jaga berat badan
  • Ambil air putih sekurang-kurangnya lapan hingga 16 gelas (anggaran dua hingga empat liter)
  • Kawal pengambilan sarapan pagi (hanya 100 hingga 150 mg asid urik setiap hari).

Makanan berisiko

1) Alkohol

Pengambilan alkohol meningkatkan tahap asid urik dalam darah. Bayangkan, pengambilan secara kerap? Ini termasuk bir dan arak.

2) Minuman berkarbonat dan jus buah

Minuman tinggi gula meningkatkan sehingga 85 peratus serangan gout terhadap lelaki. Fruktosa, nutrien merangsang pengeluaran asid urik memiliki kesan sama dengan alkohol.

Jika anda begitu berselera dengan minuman manis, kurangkan kandungan gula bagi mengelak risiko serangan.

3) Ayam, Daging

Pengambilan produk tenusu secara kerap meningkatkan risiko serangan sehingga 21 peratus. Kesan pengambilan makanan laut menyebabkan risiko sehingga tujuh peratus.

Lebih baik, amalkan makanan tambahan, minyak ikan Omega-3 yang tinggi kualiti dan bebas purin dalam diet anda

4) Organ dalaman

Tinggi kandungan asid urik berbanding makanan lain. Pengambilan tenusu dan organ dalaman bersama perlu dielakkan berikutan boleh menyebabkan serangan gout akut.

5) Buahan manis

Tembikai dan mangga mempunyai gula fruktosa yang tinggi. Kadang-kadang pesakit tidak sedar mereka mengambil buahan berkenaan secara kerap dan menyebabkan kesakitan berulang.

6) Aspirin, Diuretik

Dos ubatan mengandungi dadah terbukti mencetuskan gout, walaupun diambil pada jangka masa pendek.

Makanan mencegah :

1)Nenas (tinggi kandungan vitamin C)

2)Halia

3)Kunyit

4)Pegaga

5)Ceri

6)Lemon

7)Cili

Berita Harian X