Ahad, 22 November 2015 | 12:07am

Nelydia Senrose masih sayang Qi Razali


BERCINTA dan putus cinta itu perkara biasa dalam hidup mana-mana pasangan. Sedangkan pasangan berkahwin juga diuji dengan dugaan hingga mengundang perceraian.

Ini lumrah bagi insan di dunia. Sesiapa sahaja yang bernama manusia pasti diuji. Mereka yang bergelar artis juga tak terkecuali. Harapkan panas hingga ke petang, tetapi hujan pula di tengah hari, menggambarkan apa yang dimaksudkan.

Selepas tiga tahun menjalin cinta, Nelydia Senrose, 21, sekitar Ogos lalu akhirnya mengesahkan hubungannya dengan Qi Razali, sudah berakhir.

Punca perpisahan terus dikunci rapi. Biar sudah tiada ikatan istimewa, baik Qi mahu pun Nelydia memilih untuk berkawan baik. Malah beberapa acara hiburan turut menyaksikan kedua-duanya hadir memberikan sokongan.

NELYDIA Senrose. - Foto Nik Hariff Hassan
NELYDIA Senrose. - Foto Nik Hariff Hassan

Bertemu Nelydia baru-baru ini ketika sesi pratonton supertelefilem Strawberi & Karipap Hello Gold Coast terbitan Global Station Sdn Bhd, si cantik yang pernah meledak menerusi drama Setia Hujung Nyawa di TV3 itu mengakui masih ada perasaan sayang dan istimewa terhadap mantan kekasihnya itu.

"Betul...perasaan sayang dan kasih itu masih ada biarpun kami sudah tidak bersama. Tak saya nafikan, perasaan istimewa itu masih ada di satu sudut di dalam hati saya.

"Bukan mudah untuk menghakis perasaan itu begitu sahaja. Ia takkan hilang terus dengan drastik. Kami sudah bercinta dan rapat selama tiga tahun. Nak masuk empat tahun sebenarnya.

"Kami bersetuju untuk jadi kawan. Cuma apabila atas dasar kawan, kami tahu batas dan status itu tak seperti dahulu. Nak jumpa kerap seperti zaman bercinta itu memang tidaklah kerana masing-masing tahu keutamaan yang perlu didahulukan. Tapi iyalah, dalam kita bercakap soal jodoh dan takdir, soal ini saya sendiri tak tahu penghujungnya.

gn4id:10679493

"Buat masa sekarang, memanglah kata tak ada hubungan istimewa antara kami. Tapi siapa tahu, kalau jodoh kembali bertaut antara kami. Saya sendiri bersikap terbuka kepada sesiapa sahaja...saya sedia berkawan.

"Cuma fokus sekarang, walaupun sudah solo, saya tak mahu ada ikatan lebih serius dengan sesiapa. Saya masih muda dan mahu fokus pada kerjaya," katanya.

Menyelami apa yang cuba Nelydia katakan, jelas adik kepada Uqasha Senrose ini seakan memberi bayangan yang luka hatinya masih sedia untuk diubati kembali oleh Qi.

"Tidak bermakna kami putus itu perlu bermusuh dan tak berhubung lagi. Ada sesetengah perkara, saya masih berjumpa dan merujuk kepadanya.

"Apa terjadi mungkin ada hikmah untuk kami belajar daripada kesilapan dan lebih kuat menempuhi kehidupan. Kita tak tahu apa sahaja yang bakal terjadi pada masa mendatang," katanya.

NELYDIA pada majlis pratonton supertelefilem Strawberi & Karipap Hello Gold Coast. - Foto Aziah Azmee
NELYDIA pada majlis pratonton supertelefilem Strawberi & Karipap Hello Gold Coast. - Foto Aziah Azmee

Kesempatan bertemu Nelydia, turut ditanya mengenai kontroversi demi kontroversi yang terpalit membabitkan kakaknya, Uqasha Senrose.

Satu persatu gosip melanda hingga ada pihak menganggap cerita negatif lebih menonjol berbanding bakat seni. Terbaharu, pelakon drama 'Sebenarnya Saya Isteri Dia' ini terpalit dengan kisah kononnya terbabit dengan aktiviti pelayan kelas atasan atau escort girl.

"Sebagai adik, saya lihat dia sebagai kakak yang sangat kuat berdepan kehidupan. Banyak cerita yang tak betul daripada betul. Ada yang direka dan ditokok tambah untuk menjatuhkan nama dan reputasinya.

"Untuk seorang gadis berusia 23 tahun sepertinya melalui semua ini dan melihat dia menanganinya, saya sendiri belum tentu boleh kuat sepertinya.

"Kami hanya berbeza usia dua tahun sahaja. Saya yakin belum pasti gadis yang seusia dengannya boleh berdepan semua ini. Silap hari bulan boleh tertekan.

"Sebagai adik, saya lihat dia juga kakak yang sanggup terima apa saja skeptikal orang dengan lapang dada. Dia banyak pekakkan telinga untuk meneruskan hidup ini. Saya tak rasa malu untuk berada di belakangnya memberikan sokongan," kata Nelydia.

NELYDIA mengakui masih sayang bekas kekasihnya, Qi Razali. - Foto Munira Abdul Ghani
NELYDIA mengakui masih sayang bekas kekasihnya, Qi Razali. - Foto Munira Abdul Ghani

Beralih pada cerita perkembangan seni, Nelydia baharu saja selesai penggambaran drama Lara Terindah bagi siaran TV9. Difahamkan drama lakonan Nelydia bersama Nazrief Nazri itu akan disiarkan menerusi slot Ratu.

Kata Nelydia, jika tiada aral melintang, dia akan menjalani penggambaran sebuah lagi drama bersama produksi Global Station bagi slot Zehra.

"Alhamdulillah, tahun 2015 yang bakal berlabuh cukup manis untuk saya kenang, malah turut memberi kejutan yang tak pernah saya jangka.

"Contohnya seperti anugerah Bintang Filem Meletop Anugerah Meletop ERA 2015 yang saya menangi. Saya ingat akan diiktiraf lima tahun lagi tapi anugerah itu datang awal dari tempoh dijangka.

"Saya juga terus ditawarkan rezeki berlakon. Saya juga mengharapkan keindahan dan kejayaan ini akan terus mekar hingga tahun hadapan dan mendatang.

"Saya juga akan menjalani penggambaran filem dengan Astro Shaw berjudul 'Kimchi Untuk Awak' di samping Aiman Hakim Ridza pada tahun hadapan.

"Malah, banyak juga projek saya dengan Global Station akan berterusan pada tahun hadapan," katanya yang pernah membintangi filem Mat Tudung dan Cinderella.

Dalam perkembangan lain, Nelydia juga teruja menantikan supertelefilem Strawberi & Karipap Hello Gold Coast.

Supertelefilem dengan genre komedi famili ini turut dibintangi Zizan Nin dan dua bintang cilik utamanya, Mia Sara, yang juga pengacara bersama Ceria All Stars dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27, Rykarl Iskandar.

Ia akan bersiaran di Astro First Eksklusif saluran 480 mulai 26 November 2015 ini. Zizan Razak turut menggamatkan supertelefilem ini dengan membawa watak Bro Z.

"Siri Strawberi & Karipap ini cukup bermakna dalam kerjaya seni saya. Berbanding telefilem Strawberi & Karipap Sesat Di Paris, episod Hello Gold Coast lebih banyak aktiviti ketika penggambaran diadakan di Gold Coast.

"Saya sendiri menikmati cerita ini. Drama ini pun seperti sedia maklum diminati ramai golongan kanak-kanak. Cuma episod Hello Gold Coast ini, Zizan Razak paling menghidupkan jalan cerita.

"Zizan sangat mencuit hati dan dia cepat serasi dengan pelakon kanak-kanak. Ini juga kali pertama saya bergandingan dengan Zizan," katanya sambil menambah terpaksa beberapa kali ulang penggambaran kerana banyak tergelak apabila membabitkan babak dengan Zizan .

Berita Harian X