Rabu, 18 November 2015 | 12:01am

Nanas Dinar tak rasa lidas


BERMULA dengan hanya mengeluar dan membekalkan anak benih nanas jenis MD2 dengan jenama Nanas Dinar yang dihasilkan menerusi teknologi pembiakan tisu kultur tujuh tahun lalu, syarikat Asma Agro Sdn Bhd kini berkembang dengan membuka ladang nanas seluas 40 hektar di Jelebu, Negeri Sembilan.

Bertempat di Stesen Mardi Jelebu, Simpang Durian, Jelebu, Asma Agro syarikat berstatus BioNexus membuka ladang komersial secara besar-besaran dengan mensasarkan pengeluaran nanas yang mampu bertapak di peringkat antarabangsa.

Berbeza dengan nanas biasa, nanas MD2 Dinar ini mempunyai keistimewaan tersendiri iaitu manis, harum, tidak mempunyai rasa lidas di lidah apabila menjamahnya, matanya besar serta rata, tiada duri pada buah atau daunnya.

Ia adalah jenis nanas hibrid terbaik yang mempunyai nilai komersial tinggi di pasaran antarabangsa serta menepati piawaian global. Jika tanaman nanas biasa, hanya 15,000 hingga 17,000 pokok boleh ditanam di tanah seluas 0.4 hektar berbanding nanas MD2 Dinar dengan jumlah 30,000 hingga 35,000 pokok. Ini kerana ia boleh ditanam secara rapat kerana tiada duri pada daun.

NANAS MD2. - Foto NSTP
NANAS MD2. - Foto NSTP

PENGARAH Eksekutif Asma Agro, Hisham Jabir. - Foto Dzulkeffli Mustapha
PENGARAH Eksekutif Asma Agro, Hisham Jabir. - Foto Dzulkeffli Mustapha

Bagaimanapun, tanaman berulang kali menggunakan sulur dari pokok sama akan menghasilkan buah yang kurang berkualiti, bermutu rendah dan tidak lagi menepati ciri-ciri ketulenan dan keaslian buah nanas elit MD2 Dinar yang asal.

Inilah yang terjadi pada kebanyakan benih nanas dari Filipina yang sudah hilang ciri ketulenan MD2 berikutan sudah mengalami proses tanam semula berulang-kali dari sulur. Keadaan ini sekali gus menyebabkan pokok mengeluarkan buah yang tidak berkualiti seperti mampu yang dituntut oleh pasaran antarabangsa.

Pengarah Eksekutif Asma Agro, Hisham Jabir menjelaskan perubahan kualiti dan mutasi tidak dapat dielakkan melalui tanaman yang berulang kali daripada sulur. Ia jelas boleh dilihat daripada pokok dan buahnya, misalnya, daun pokok yang mula berduri, perubahan warna pada buah dan bentuknya yang mula melonjong.

"Kita kecewa dengan lambakan benih nanas dari Filipina di negara ini yang sudah hilang ciri ketulenan MD2. Ia sekali gus menyebabkan penanam tidak berupaya untuk mengeksport nanas berikutan kualiti yang rendah," katanya ketika ditemui di ladangnya baru-baru ini.

PEKERJA sedang memotong rumput di ladang Asma Agro di Stesen Mardi Jelebu, Simpang Durian, Jelebu. - Foto Dzulkeffli Mustapha
PEKERJA sedang memotong rumput di ladang Asma Agro di Stesen Mardi Jelebu, Simpang Durian, Jelebu. - Foto Dzulkeffli Mustapha

PEKERJA sedang mengambil nanas yang sudah matang. - Foto Dzulkeffli Mustapha
PEKERJA sedang mengambil nanas yang sudah matang. - Foto Dzulkeffli Mustapha

Bukan itu saja, pengeluar benih tempatan terpaksa bersaing dengan benih yang diimport dari Filipina. Keadaan itu menyukarkan terutama tanpa sokongan daripada pihak yang berwajib.

Justeru, katanya, pihak Asma Agro mengamalkan sistem tanaman nanas yang dipanggil Sistem Tanaman 3F (Fruit 1, Fruit 2, Fruit 3) iaitu tanaman pertama bagi benih baka asli pertama diikuti dengan tanam semula sebanyak dua kali saja daripada sulur generasi pokok kedua dan ketiga bagi menjaga kualiti dan mutu buah pada tahap piawaian tinggi untuk pasaran antarabangsa.

"Kita membuat kajian pasaran dan mendapati nanas jenis MD2 ini berpotensi untuk dieksport ke Korea, Hong Kong, Jepun, Australia, New Zealand, Turki, negara Teluk dan Asia Barat. Turki, misalnya, mempunyai pasaran buah segar sangat luas dan mampu menjadi hab bagi pasaran di rantau setempat seperti selatan Eropah dan negara Balkan.

"Turki pun baru saja menandatangani Perjanjian Bebas Dagangan dengan Malaysia beberapa bulan lalu. Pasaran antarabangsa yang luas membolehkan Asma Agro menjamin belian balik nanas MD2 Dinar yang dituai dari anak benih pokok yang dihasilkan oleh Asma Agro daripada pengusaha ladang kontrak dengan nilai pulangan tinggi," katanya.

PEKERJA sedang membaja di ladang Asma Agro di Stesen Mardi Jelebu, Simpang Durian, Jelebu. - Foto Dzulkeffli Mustapha
PEKERJA sedang membaja di ladang Asma Agro di Stesen Mardi Jelebu, Simpang Durian, Jelebu. - Foto Dzulkeffli Mustapha

PEKERJA Asma Agro mengamalkan Sistem Tanaman 3F. - Foto Dzulkeffli Mustapha
PEKERJA Asma Agro mengamalkan Sistem Tanaman 3F. - Foto Dzulkeffli Mustapha

Katanya, nanas MD2 Dinar mampu meraih pulangan tinggi di pasaran tempatan dan eksport serta mempunyai potensi besar membasmi kemiskinan dalam kalangan petani jika benar-benar dikomersialkan secara besar-besaran seperti yang sudah terbukti di Costa Rica dan Ghana.

Ketika ini, makmal syarikat itu yang terletak di Skudai, Johor Baharu mempunyai keupayaan dan kapasiti untuk membuat pembiakan anak pokok yang berasal daripada germplasm (mother cell) dalam makmal. Seterusnya, benih dihantar ke nurseri dan disemai dalam beg poli sebelum dipasarkan untuk ditanam di ladang.

Tanaman ladang secara besar-besaran dapat mewujudkan industri hiliran dan huluan yang sekali gus mampu merancakkan perniagaan bagi bekalan bahan nurseri tambahan seperti arang atau sekam padi, pasir, sabut kelapa, beg poli serta bekalan untuk bahan pembungkusan, pelabelan serta bahan untuk rawatan tanaman dan buah dalam kuantiti yang besar.

Selain itu, ia juga ia boleh menjana pendapatan menerusi bekalan untuk haiwan ternakan fidlot daripada sisa tanaman nanas yang dituai.

"Pengurusan ladang nanas ini memerlukan tenaga kerja yang ramai. Justeru, secara tidak langsung ia membuka banyak peluang pekerjaan di kalangan penduduk luar bandar untuk menjalankan kerja ladang termasuk semaian, penanaman dan pembungkusan di samping pemangkin bagi pembangunan produk nanas seperti jus, kordial, jem dan gula-gula yang pada masa ini kebanyakannya diimport dari negara jiran," katanya.

Sambil memuji langkah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menerusi Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) serta Matrade yang banyak membantu dari segi kepakaran dan nasihat, pihaknya berharap mendapat kerjasama agensi dan kementerian lain yang berkenaan bagi menjana pertumbuhan industri pertanian, khususnya industri penanaman nanas.

Graduan jadi petani

PENOLONG Pengurus Ladang Asma Agro, Khairul Ammar Abdul Latib. - Foto Dzulkeffli Mustapha
PENOLONG Pengurus Ladang Asma Agro, Khairul Ammar Abdul Latib. - Foto Dzulkeffli Mustapha

TIDAK seperti anak muda biasa yang mahu berhijrah ke bandar besar untuk mencari pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khairul Ammar Abdul Latib, 25, memilih untuk mencari rezeki menggunakan kudrat empat kerat di bawah bahang matahari.

Malah, tanpa rasa sekelumit kesal atau iri hati dengan rakan yang bekerja di bandar, graduan agro teknologi itu mahu lari dari kebiasaan hidup di bandar hutan batu yang penuh hiruk pikuk serta kesesakan jalan raya hampir setiap waktu dengan mencari rezeki bekerja di ladang nanas Asma Agro yang terletak dalam Stesen Mardi Simpang Durian, Jelebu.

Memegang jawatan Penolong Pengurus Ladang Asma Agro, Khairul Ammar turut turun padang menjalankan kerja seperti pekerja ladang lain termasuk menanam, meracun, membaja dan merumput.

"Saya tidak kisah kerja dari bawah seperti buruh kasar kerana inilah pengalaman berharga yang sukar untuk di dapati di mana-mana syarikat. Walaupun saya dibesarkan di bandar, tetapi bekerja di ladang ini adalah pengalaman yang menarik dan menyeronokkan," katanya yang tinggal di kontena pekerja di ladang itu.

Jika tidak pulang ke rumah ibu bapanya, di Kajang, pemuda yang masih bujang ini menghabiskan masa hujung minggu dengan menyertai aktiviti penduduk kampung berhampiran ladang itu, Kampung Lakai. Antara aktiviti yang disertai termasuk gotong royong, kenduri, majlis tahlil dan hari keluarga.

"Kadang kala, apabila habis kerja di waktu petang saya akan ke kampung berhampiran untuk mengikuti aktiviti yang dijalankan penduduk kampung, jadi tidak lah bosan walaupun tinggal jauh di pedalaman ini," katanya.

PEKERJA am, Muhammad Hashim Abd Karim. - Foto Dzulkeffli Mustapha
PEKERJA am, Muhammad Hashim Abd Karim. - Foto Dzulkeffli Mustapha

Bagi pekerja am, Muhammad Hashim Abd Karim, 23, beliau bersyukur diterima bekerja di ladang itu walaupun beliau cacat pendengaran.

"Sebelum ini saya hanya membuat kerja kampung yang pendapatan tidak menentu. Kini dengan bekerja di ladang ini bukan hanya saya dapat gaji tetap tetapi juga saya turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sekali gus dapat membantu meringankan beban keluarga," katanya menggunakan bahasa isyarat.

Kata anak sulung empat beradik itu, selain dapat membantu meringankan beban keluarga, beliau turut mempunyai ramai rakan yang turut bekerja di ladang itu.

PEKERJA ladang, Fauziah Yusuf. - Foto Dzulkeffli Mustapha
PEKERJA ladang, Fauziah Yusuf. - Foto Dzulkeffli Mustapha

Bagi ibu tunggal, Fauziah Yusuf, 48, mengakui dia seronok dan gembira dapat menampung perbelanjaan harian keluarganya dengan bekerja sebagai pekerja ladang kerana sebelum ini beliau hanyalah suri rumah.

Antara tugasannya termasuk penyediaan di peringkat nurseri seperti memasukkan anak nanas dalam beg poli dan penjagaan di peringkat nurseri.

Bagaimanapun sejak diserang angin ahmar dua bulan lalu beliau tidak lagi bertugas di bahagian kerja berat.

"Saya bersyukur kerana majikan masih memberi peluang untuk saya bekerja. Memandangkan keadaan kesihatan saya, majikan memberikan tugas yang ringan seperti menjaga gerai nanas di hadapan ladang ini," katanya.

Katanya, sejak bekerja di ladang itu, anaknya turut sama membantu ketika musim cuti semester.

"Lazimnya, apabila anak yang belajar di Politeknik Sabak Bernam bercuti beliau juga akan membantu di ladang, dapatlah sedikit sebanyak mengumpul wang untuk perbelanjaannya di kolej," katanya.

Berita Harian X