Rabu, 4 November 2015 | 12:01am
ANGGOTA skuad BS1M memeriksa peralatan memotong pokok. - Foto Shahrizal Md Noor
ANGGOTA skuad BS1M memeriksa peralatan memotong pokok. - Foto Shahrizal Md Noor

Kecekapan sukarelawan BS1M diuji

SEBAHAGIAN skuad BS1M bergambar kenangan selepas selesai menjalani latihan lasak menggunakan pacuan empat roda. - Foto Shahrizal Md Noor
SEBAHAGIAN skuad BS1M bergambar kenangan selepas selesai menjalani latihan lasak menggunakan pacuan empat roda. - Foto Shahrizal Md Noor

MENYUSURI laluan balak yang becak dan dipenuhi selut sehingga ke paras lutut bukan suatu tugas mudah, lebih-lebih lagi tanpa menggunakan jentera atau peralatan bersesuaian.

Walaupun menggunakan jentera pacuan empat roda (4WD), perjalanan hampir tiga jam dari kawasan landai Gulau menuju hutan Lasau, di Sik, Kedah, terbukti mencabar terutama apabila kenderaan digunakan sering tersangkut di dalam lumpur tebal.

Itu antara pengalaman dilalui lebih 50 peserta majoritinya anggota Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M) yang berpangkalan di Sik, ketika menyertai cabaran dan latihan sempena Lasau Extreme Challenge.

Memilih hutan Lasau yang terletak kira-kira 50 kilometer (km) dari pekan ini, Lasau Extreme Challenge yang berlangsung tiga hari dua malam itu terbukti menguji kemahiran dan kecekapan peserta terutama dalam berdepan pelbagai cabaran, khususnya ikhtiar hidup.

Penulis yang turut menyertai Lasau Extreme Challenge, merasai sendiri pelbagai cabaran yang menanti lebih-lebih lagi ketika menempuhi laluan berliku sepanjang tiga hari berkampung di hutan terbabit.

SKUAD BS1M menjalani latihan lasak menggunakan motosikal. - Foto Shahrizal Md Noor
SKUAD BS1M menjalani latihan lasak menggunakan motosikal. - Foto Shahrizal Md Noor

Uji semangat peserta

Perjalanan masuk ke lokasi perkhemahan sahaja contohnya sudah benar-benar menguji peserta, namun semangat kerjasama tinggi di khususnya dalam kalangan ahli BS1M berjaya mengatasinya apabila masing-masing berpadu tenaga mencari penyelesaian setiap kali jentera terkandas di dalam lumpur tebal.

Selain laluan masuk, faktor cuaca yang tidak menentu ketika program di hutan turut menguji kesabaran peserta apabila terpaksa bermalam tanpa khemah dalam hujan lebat.

Seorang peserta, Ismail Ibrahim, 36, dari Gulau, mengakui hutan bukan suatu medan baharu bagi dirinya, namun pembabitan dalam Lasau Extreme Challenge banyak membantu terutama dalam memudahkan urusan dan tugas sesama anggota BS1M.

"Saya memang sudah biasa masuk ke hutan sejak umur 10 tahun lagi, namun itu bukan alasan untuk saya pandang lekeh Lasau Extreme Challenge kerana ia banyak membantu dari sudut tertentu terutama dalam menajamkan semangat kerjasama antara anggota BS1M.

"Lasau Extreme Challenge penting untuk merapatkan silaturahim dan semangat kerjasama antara kami warga BS1M, kita nak buat kerja bersama-sama, tetapi masih tak kenal hati budi satu sama lain.

"Sebab itu, kita perlu program sebegini untuk rapatkan hubungan sebagai satu pasukan," katanya yang sudah dua tahun terbabit dengan BS1M.

ANGGOTA skuad BS1M memeriksa ambulans supaya sentiasa berada dalam keadaan baik. - Foto Shahrizal Md Noor
ANGGOTA skuad BS1M memeriksa ambulans supaya sentiasa berada dalam keadaan baik. - Foto Shahrizal Md Noor

Erat semangat setia kawan

Berdasarkan perancangan, lokasi asal perkhemahan ditetapkan di kawasan dikenali Lipat Sanggul, namun terpaksa diubah selepas keadaan cuaca tidak mengizinkan.

Malah, kumpulan peninjau BS1M yang berkhemah terlebih dahulu di lokasi awal terperangkap dengan hampir semua bekalan makanan dan khemah gagal dipindahkan ke lokasi kedua di Lasau, apatah lagi 4WD digunakan turut mengalami kerosakan dan terkandas.

Keadaan itu menyebabkan pasukan diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadir Abdul Hamid, selaku Pengerusi BS1M, yang bermalam di Lasau terpaksa bergantung harap kepada bekalan kecemasan, selain bermalam di dalam khemah buatan sendiri.

Mahadir ketika ditemui, mengakui modul Lasau Extreme Challenge sengaja dirangka dengan cabaran sebegitu bertepatan dengan motif penganjurannya untuk mengasah dan mempertajam kemahiran sukarelawan BS1M.

"Program ini sengaja dilaksanakan di lokasi terbuka iaitu di hutan dan bukannya di kem latihan tertutup kerana kita mahu dedahkan sukarelawan dengan alam semesta yang sememangnya tidak pernah mengecewakan kita.

"Dalam program ini, kita bersahabat dengan alam dan kadangkadang ia menguji kesabaran kita.

"Contohnya dalam cabaran 4WD, kita berlawan dengan alam, cuaca dan bentuk muka bumi yang mana ia benar-benar menguji kesabaran dan semangat kerjasama antara peserta," katanya.

ANGGOTA skuad BS1M memeriksa peralatan sebelum keluar memberi bantuan. - Foto Shahrizal Md Noor
ANGGOTA skuad BS1M memeriksa peralatan sebelum keluar memberi bantuan. - Foto Shahrizal Md Noor

Babitkan rakan strategik

Selain warga BS1M, Mahadir berkata, peserta turut membabitkan rakan strategik badan sukarelawan itu termasuk dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Sik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik, Team 4WD Kampung Parit dan Team Gulau serta pengamal media.

"Saya percaya segala proses yang kita lalui sepanjang Lasau Extreme Challenge menuntut kesabaran dan keberanian peserta. Saya harap semua peserta dapat mengambil manfaat melalui semua yang dilalui sepanjang tiga hari dua malam berkenaan," kata Mahadir.

BS1M diwujudkan pada tahun 2012 lalu sebagai badan sukarelawan yang aktif dalam usaha membantu dalam pelbagai aspek khususnya bencana yang melanda terutama di sekitar daerah Sik, dengan jumlah keahlian mencecah 600 orang termasuk 50 ahli teras.

Antara aset yang dimiliki ketika ini termasuk 10 kenderaan membabitkan pelbagai jenis seperti ambulans, 4WD, kenderaan pengangkut dan van yang digunakan khusus untuk tujuan sukarelawan, termasuk di Kelantan ketika negeri itu dilanda banjir besar baru-baru ini.

Berita Harian X