Sabtu, 17 Oktober 2015 | 12:11am
GAMBAR kenangan Pekin Ibrahim bersama Allahyarham Azwan Annuar.
GAMBAR kenangan Pekin Ibrahim bersama Allahyarham Azwan Annuar.

Janji Pekin pada Azwan Annuar


MUNGKIN ada yang tidak tahu pelakon Pekin Ibrahim adalah sahabat baik kepada Allahyarham Azwan Annuar yang terkenal menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Ke Rumah.

Malah, ada perjanjian sudah diikat antara kedua sahabat ini kala Azwan yang juga Pegawai Perhubungan Awam Excellent Pictures, masih hidup iaitu bersama-sama melanjutkan pengajian.

"Azwan adalah sahabat yang banyak memberikan semangat kepada saya dan turut sama-sama mengajak saya untuk menyambung pengajian.

"Kami memang memohon untuk menyambung pelajaran, cuma kuasa Allah mengatasi segalanya," kata Pekin dalam nada sebak kala ditemui BH PLUS.

PELAKON, Pekin Ibrahim. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman
PELAKON, Pekin Ibrahim. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

SALAH satu babak yang dilakonkan Allahyarham Azwan Annuar dalam filem Hantu Kak Limah Balik Ke Rumah. - Foto NSTP
SALAH satu babak yang dilakonkan Allahyarham Azwan Annuar dalam filem Hantu Kak Limah Balik Ke Rumah. - Foto NSTP

Tambah Pekin, kelmarin sepatutnya menjadi detik bersejarah dua sahabat itu, kerana apa yang diimpikan bakal menjadi kejayaan, iaitu menggenggam segulung ijazah.

Lantaran, Pekin mengakui perasaannya bercampur baur ketika menerima surat tawaran menyambung pelajaran bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kreatif (BCIM) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Biarpun sibuk menjalani rutin seharian sebagai anak seni, namun dia nekad menunaikan janji yang dikotakan kepada sahabatnya, Azwan yang meninggal dunia pada 18 April lalu.

Bagi pemilik nama sebenar, Mohd Iznan Ibrahim amanat yang ditinggalkan oleh sahabat lamanya itu harus dilaksanakan sebaik mungkin sekali gus memberi kebaikan untuk masa depan Pekin sendiri.

"Saya sebenarnya sebak bercampur gembira kerana Allahyarham Azwan tak dapat bersama-sama dengan saya naik ke pentas sebentar tadi. Ajal terlebih dahulu memanggil arwah sebelum sempat untuk melanjutkan pelajaran.

"Kami sama-sama memohon untuk menyambung pelajaran, rasa ralat juga rasanya apabila arwah tidak berada di sisi bagi meraikan saat indah menerima borang tawaran melanjutkan pelajaran.

PEKIN bergambar bersama surat tawaran bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kreatif (BCIM) di Universiti Utara Malaysia (UUM). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PEKIN bergambar bersama surat tawaran bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kreatif (BCIM) di Universiti Utara Malaysia (UUM). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya berjanji walau sibuk bagaimanapun, saya akan meluangkan masa bagi meneruskan pengajian. Ini janji saya kepada arwah," tuturnya dalam nada tersekat-sekat.

Aktor kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu menambah, artis harus merebut peluang menyambung pelajaran yang jarang sekali dilaksanakan buat mereka. Ia dianggap sebagai inisiatif untuk meningkatkan kerjaya masing-masing dan akan menambahkan lagi pengetahuan.

"Artis yang berkualiti itu seharusnya mampu menguruskan masa dengan baik, berfikir secara rasional, tahu matlamat hidup dan tidak tenggelam dengan arus populariti.

"Setelah diteliti, tidak ramai artis kita yang boleh berhujah dengan yakin di depan khalayak. Malah tidak ramai yang boleh memberikan pandangan bernas apabila diminta mengupas sesuatu isu.

"Inisiatif ini antara usaha bagi memajukan diri dan dapat meletakkan diri sebagai satu produk berkualiti," kata Pekin.

Selain itu, Pekin menjelaskan tiada sengketa antara dia dan pengarah Ahmad Idham rentetan isu aktor itu didakwa mengkhianati penerbit filem itu dalam perjanjian menghasilkan filem Mat Motor.

MOHD Iznan Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Pekin Ibrahim. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
MOHD Iznan Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Pekin Ibrahim. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Hubungan kami baik-baik saja. Tidak timbul isu bergaduh seperti yang digembar gemburkan oleh sesetengah pihak. Walaupun menghasilkan filem berasaskan mat motor, namun kedua-dua kami mengetengahkan plot berbeza untuk peminat.

"Anggap saja ia sebagai persaingan antara penerbit filem bagi menghasilkan yang terbaik. Saya berharap agar filem Mat Motor mendapat sambutan hangat seperti kejayaan filem Polis Evo yang menyuntik semangat penggiat filem seperti saya," kata Pekin dalam nada teruja.

Filem Mat Motor terbitan Viper Studios diarahkan sendiri oleh Pekin dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).

Filem itu selesai menjalani penggambaran di tujuh buah negeri iaitu di Kelantan, Terengganu, Johor, Melaka, Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Selain Pekin, filem Mat Motor dijayakan oleh barisan pelakon popular seperti Shaheizy Sam, Syamsul Yusof, Faizal Hussein, Rosyam Nor, Cat Farish dan Zul Huzaimy.

Berita Harian X