Jumaat, 16 Oktober 2015 | 12:00am

Alat solek punca jerawat

ACNE cosmetica kerap menyerang kawasan permukaan kulit yang sering diliputi alat solek seperti pipi dan dahi. - Foto hiasan.
ACNE cosmetica kerap menyerang kawasan permukaan kulit yang sering diliputi alat solek seperti pipi dan dahi. - Foto hiasan.

SAYA berusia 25 tahun dan masih ditumbuhi jerawat yang agak banyak. Saya memang suka bersolek bagi menutupi jerawat.

Pelbagai cara saya gunakan, tetapi masih kurang berkesan. Adakah ini berpunca daripada pemilihan alat solek yang salah?

Carolyn Johan, Seksyen 17, Petaling Jaya.

Kebanyakan remaja perempuan dan wanita dewasa ditumbuhi jerawat yang berpunca daripada alat solek yang mereka gunakan. Mereka terlampau bergantung kepada alat solek untuk menutup jerawat tetapi sebaliknya ia tumbuh lebih banyak dan mendatangkan kesan lebih buruk pada kulit.

Sebenarnya memang ada penyakit yang datang berpunca daripada alat solek. Ia dipanggil acne cosmetica. Penggunaan alat solek dan kosmetik tidak mengubah keadaan.

Acne cosmetica kerap menyerang kawasan permukaan kulit yang sering diliputi alat solek seperti pipi dan dahi. Keadaan ini akan mula berlaku dalam masa beberapa minggu atau bulan.

Pada peringkat awal, anda akan lihat bonjolan kecil kemerahan yang gatal seperti ruam. Ia akan kekal beberapa lama pada kulit jika anda terus memakai alat solek di permukaan kulit itu.

Walaupun ia tumbuh, tetapi ia tidak akan meninggalkan kesan parut.

Cara terbaik untuk menangani masalah jerawat yang berpunca daripada pemakaian alat solek ialah dengan membeli alat solek dan produk penjagaan kulit non-comedogenic dan elakkan daripada menggunakan produk yang menyebabkan berlaku radang pada kulit anda.

Comedogenic adalah bahan yang boleh menyebabkan liang roma tersumbat dan akhirnya menyebabkan alahan serta jerawat jenis acne cosmetica.

Kosmetik konvensional boleh memberikan reaksi terhadap kulit anda. Selain itu, ada beberapa bahan lain yang kerap digunakan juga memberi kesan pada kulit iaitu:

1. Serbuk talkum - menyebabkan liang tersumbat.

2. Bahan kimia Bismuth Oxychloride menyebabkan radang pada liang roma.

3. Minyak mineral menyebabkan kulit berminyak apabila berpeluh, liang tersumbat dan radang pada liang. Digunakan dalam bedak asas dan pembayang mata.

4. Pewarna tiruan boleh menyebabkan ruam kulit.

5. Bahan pengawet menyebabkan radang kulit.

Terdapat sejenis rangkaian alat solek berasaskan mineral semula jadi. Ia amat lembut dan `ringan'. Kosmetik yang menggunakan bahan asas mineral mungkin mengandungi:

  • Vitamin C,A, K dan E - dalam bentuk asli
  • Ekstrak teh hijau dan chamomile untuk melegakan radang kulit
  • Bahan mineral semula jadi
  • Talkum dan bismuth oxychloride. - yang mempunyai ciri antiseptik

Kelebihan rangkaian kosmetik mineral adalah:

  • Tidak menyebabkan liang roma tersumbat. Ini kerana partikel mineral ini mempunyai saiz yang lebih besar daripada liang kulit. Oleh itu, kosmetik hanya berada pada lapisan kulit atas tanpa diserap oleh kulit. Ia mengelak liang roma daripada tersumbat.
  • Tidak berisiko dicemari kuman. Ini kerana kosmetik mineral mempunyai asas berbentuk mineral iaitu bukan organik yang menyebabkan ia tidak mempunyai risiko pencemaran.
  • Boleh dipakai oleh kulit sensitif dan berjerawat. Amat sesuai untuk mengawal kulit berminyak. Ia juga boleh digunakan sejurus selepas rawatan chemical peel, extraction, mikrodermabrasion, laser dan rawatan platelet rich plasma (PRP).
  • Sesuai untuk lelaki yang mempunyai kulit berminyak kerana warna bedak yang 'natural'.

Panduan elak muka ditumbuhi jerawat

1. Membersihkan muka dan solekan sebelum tidur. Gunakan pencuci muka yang lembut pada kulit dan penyegar untuk

membersihkan kulit muka.

2. Pilih alat solek yang mempunyai label non-comedogenic untuk mengelak kesan solekan terkumpul dalam liang roma pada

muka.

3. Bersihkan alat solek seperti berus dan alat solek anda dengan sabun antimikrobial untuk menghapuskan bakteria.

4. Gunakan alat solek berasaskan bedak berbanding cecair kerana cecair mempunyai kandungan minyak yang tinggi.

5. Cuba tukar jenama alat solek jika yang anda gunakan sekarang menyebabkan kegatalan dan radang pada kulit muka anda.

6. Elak memakai alat solek terlalu kerap untuk memberi peluang kulit anda sembuh dan segar.

7. Elak menggunakan minyak wangi yang berbau manis kerana boleh menjadi punca alahan dan iritasi pada kulit muka dan leher.

8. Elak menggunakan bedak muka atau pemerah pipi yang berkilat atau `sparkle' kerana ia mengandungi mica, mempunyai struktur yang kasar dan boleh melukakan permukaan kulit anda.

Berita Harian X